BAB 5

865 63 3
                                    

Ini adalah kali pertama Jimi merasakan tempoh empat jam berlalu dengan begitu lambat. Sejak pukul tiga pagi dia masih tidak berganjak dari bawah meja kaunter itu. Kayu besbol yang dipegang erat sesekali dilepaskan sebelum kelam kabut dia mengesat tapak tangan yang berpeluh.
Dia tidak pasti apa yang patut dia rasakan saat ini. Takut? Seram? Atau terpedaya?

"Rupa-rupanya...rupanya aku berkomunikasi dengan pembunuh bersiri...ketika aku sendiri dalam kedai ini, aku biarkan diri aku bersendirian dengan pembunuh dalam kedai ini..."
Jimi memejam mata seraya mengetap gigi.

Wajah pucat Suria yang tidak beriak tergambar jelas di fikiran. Beberapa kali dia menepuk dahi seolah berharap tindakannya itu bisa mengejutkannya dari mimpi, jika semua yang berlaku ini hanyalah mimpi. Namun hanya kesakitan yang dirasainya, menyedarkan Jimi semua ini benar-benar berlaku.

Seperti mahu menangis pun ada. Dia telah menyaksikan pembunuhan di hadapan matanya. Ianya bukanlah satu pengalaman yang boleh dilupakan dalam masa yang singkat.

"Aku sangkakan dia itu mangsa, rupanya dialah pemangsa! Dan dia sudah nampak aku nampak dia membunuh tadi! Habislah aku...matilah aku..." muka diraup kasar.

"Apa yang harus aku lakukan? Apa dia? Pasti dia menunggu aku di luar kedai ini. Dan...dan pasti dia akan potong kepala aku juga! Matilah aku..."

Tok! Tok!

Membulat mata Jimi. Dia kenal bunyi itu. Bunyi pintu kaca kedai yang diketuk!

"Dia sudah datang! Dia sudah datang!" bisiknya mulai panik. Seluruh badan mengeletar. Pemegang kayu besbol dipegang erat. Tidak! Dia tidak mahu keluar dari bawah meja ini! Biar apa pun! Jika Suria memecah masuk juga, dia akan bertarung habis-habisan, walaupun dia takut-takut berani.

"Jimi!" satu suara lelaki memanggilnya. Pastinya bukan suara Suria.

Tok! Tok!

"Jimi, kau ada kat dalam ke? Apahal pula kau kunci pintu ni? Tak pernah-pernahnya kita kunci pintu D'Kiosk ni. Jimi!"
Mendengarkan suara Roni itu, kelam kabut Jimi keluar dari tempat persembunyiannya.

***

Roni bercekak pinggang di tengah-tengah lorong belakang bangunan itu. Sekali lagi di memerhatikan sekeliling perlahan-lahan dan akhirnya menoleh pada Jimi yang berdiri tidak jauh dibelakangnya.

"Mana mayatnya?" soal Roni yang bertubuh tinggi lampai itu.

Jimi sedikit terkedu apabila disoal demikian. Terbata-bata dia seketika sambil matanya turut memerhatikan sekeliling, sebelum mendarat pada tong sampah besar yang berwarna hijau. Baru tujuh jam berlalu sejak Jimi melihat satu mayat yang terpisah dengan kepala terlentang di tepi tong sampah besar itu. Masih tergambar jelas situasi kejadian itu, bagaimana Suria, tanpa teragak-agak melibas kan pedang ke leher mangsanya. Kerana itu dia agak terkejut melihat kawasan lorong belakang yang kosong itu, seolah pertempuran awal pagi tadi tidak berlaku. Hanya kawasan itu seperti diselubungi bau terbakar.

"Tapi...tap...tapi..." tergagap Jimi terus memandang tong sampah itu. Roni mengeluh dan bercekak pinggang.

"Kau ni berkhayal sebenarnya kan? Kau tak tidur sekejap ke semalam sampai nampak yang bukan-bukan? Kau mengantuk sangat ni..." ujar Roni.
Jimi tidak menjawab tetapi seperti orang kebingungan dia mundar-mandir di hadapan tong sampah besar itu.

"Pagi tadi, kat sinilah aku lihat mayat tu..." katanya.

"Jadi mana dah mayat tu? Kalau betul ada mayatlah...aku rasa kau ni berdelusi lah, Jimi. Jom aku hantar kau balik, tidur, rehat kan kepala kau yang penat tu,"

"Aku cakap betul,Roni! AKU NAMPAK PEMBUNUH BERSIRI ITU MEMBUNUH DI BELAKANG INI TADI PAGI!"

Laju Roni menekup mulut Jimi, "Aduh! Jangan teriak lah, Jimi. Nanti orang sangka kau ni dah gila pula teriak pagi-pagi macam ni. Kalau polis peronda lalu tak pasal-pasal kita kena tahan pula," desis Roni apabila melihat Jimi meletus begitu.
Jimi meronta melepaskan tangan Roni.

"Aku cakap benda yang benar tapi kau tak percaya!" katanya, sedikit terdesak. Bawah mata yang sedikit kehitaman menampakkan efek stress pada wajah Jimi. Roni bercekak memandangnya dengan kening berkerut.

"Serius sangat sakit kau ni, Jimi,"

"La sakit apanya pula?"

"Sakit otak," jawab Roni selamba. Dia merengus sebelum mahu mengatur langkah masuk ke D'Kiosk semula. Lebih elok dia memulakan tugasnya daripada melayan halusinasi Jimi.
Tetapi Jimi sudah menarik bahunya membuatkan Roni hampir terjatuh.

"Dah kenapa kau ni!"

"CCTV!"

"Kenapa CCTV?"

"Kalau kau masih tak percaya, jom tengok CCTV!"

Roni bercekak pinggang merenung Jimi. Ternyata rakan sekerjanya itu serius. Kerana itu 15 minit kemudian mereka berdua sudah berada di belakang kaunter pembayaran D'Kiosk cuba membuka sistem CCTV kedai itu.

"Kalau bos tahu tentang ni, memang naya kita Jimi. Kau, aku dua-dua kena, tau? Kau tak ingat ke bos kata hanya admin sahaja yang boleh buka sistem tu dan hanya untuk hal-hal penting saja?" omel Roni menarik sebuah lagi kerusi dan duduk di sebelah Roni.

"Tapi ini hal penting. Melibat kan nyawa, faham?"

"Kau ni memang saja cari penyakit lah, Jimi..."

Tetapi Jimi sudah tidak peduli. Dia terus menekan sesuatu di papan kekunci komputer. Tidak sabar-sabar dia memilih fail rakaman kamera CCTV bahagian belakang kedai. Butang enter ditekan.
Di skrin computer, rakaman menunjukkan kawasan lorong belakang bangunan kedai D'Kiosk yang bersambung dengan Hotel Kingstone. Lorong belakang tampak lengan tanpa ada orang lalu lalang.

"Tak ada apa pun..." gumam Roni malas.
Jimi tidak berkata apa-apa terus mencari rakaman kejadian semalam.

"ITU DIA! Tu dia, Roni! Tengok tu!"
Roni merenung skrin komputer menyaksikan seorang wanita yang berpakaian baju hujan labuh dan membawa sekaki payung melintasi kamera. Ternyata wanita itu memang Suria. Wajah pucatnya jelas kelihatan. Suria kelihatan menapak tenang melintasi kamera. Kemudian tiada apa-apa lagi yang berlaku.

"Itu je?" soal Roni.

"Mana rakaman di lorong belakang hotel sebelah kita ni?" meninggi suara Jimi sambil mencari.

"Kau ni masih bermimpi agaknya. Kan kamera CCTV ni hanya untuk rakan bahagian belakang kedai kita je? Buat apa sampai nak rakam area belakang Hotel Kingstone?"

"Tapi pembunuhan tu ngam-ngam kat belakang hotel sebelah kedai kita ni!" katanya. Roni hanya menjungkit bahu. Tidak berputus asa, Jimi mencari pula rakaman sebelum pukul 12 tengah malam.
Dia dan Roni menyaksikan dari sudut kamera yang di letakkan di atas kaunter bagaimana Suria menolak pintu D'Kiosk bergerak laju menuju ke bahagian belakang kedai tanpa disedari Jimi yang baru mahu melangkah ke kaunter. Dan apabila Jimi mahu menutup pintu pula, sepantas kilat Suria sudah berdiri di belakang Jimi.

"Woah! Itu orang ke apa? Bukan main laju!" Roni terkejut dengan apa yang mereka saksikan di skrin itu.

"Itu ke perempuan yang kau cakapkan itu?" soal Roni pula. Laju Jimi mengangguk. Matanya tidak berganjak memerhatikan Suria.

"Itu hantu tu, Jimi. Hantu! Mana ada orang boleh bergerak pantas macam tu! Dah macam hantu dah aku tengok muka perempuan tu. Entah-entah kau ni tersampuk hantu tak, itu yang sampai boleh nampak bukan-bukan ni?"

Jimi tidak berkata apa-apa. Beberapa diulangnya semula rakaman itu. Manusia jenis apa Suria, mampu bergerak sepantas itu?

HUNTER (WATTY2016)Where stories live. Discover now