TUBUH Aizudin sudah berdiri tepat di sisi kakaknya. Membantu apa yang patut sementara Sofia sedang sendiri di dapur. Tadi, dia nak masuk membantu tapi terdengar perbualan serius antara isteri dan kakaknya. Rasa ingin tahu meluap-luap bila nama dia menjadi bahan utama.
"Kak ngah boleh buat, Din," larang Kemawati tapi bila dikerling Aizudin, memang sah bukan nak bantu sangat pun.
"Din dengar ke kami sembang dekat dapur tadi?" tebak Kemawati dan bila Aizudin angguk, dia hanya senyum.
"Kenapa tiba-tiba keluar tajuk gitu?" Tangannya ringan juga membantu kak ngah biarpun dilarang.
"Ala, tak adalah tiba-tiba. Saja cari topik sembang. Tak ada apalah..." pujuk Kemawati menyedapkan hati Aizudin.
"Yang Din nampak risau sangat, kenapa?" Mata Kemawati meredup. Nampak macam ada rahsia aje ni.
"Jangan cakap..."
"Eh, kak ngah ni. Ke situ pula dia. Mana ada Din sorok apa-apalah. Din dengan Sofia dah biasa berterus-terang dalam apa saja hal. Cuma, Din bimbang bila dah berbelas tahun kahwin ni dia mula rasa Din ni tak bagi yang terbaik ke? Risau juga. Kutlah dia rasa terasing ke bila Din sibuk dengan kerja..."
"Ala... Dia pun sibuk juga," sampuk Kemawati.
"Sibuk ni tak bermakna kamu berdua kena saling menjauh. Kan elok aje selama ni. Masa tu milik kita, Din... Kita kena aturkannya. Kamu dengan Sofia macam sekarang ni, kak ngah sendiri cemburu tau..." Bibir Kemawati tersenyum meleret.
Buatnya Lokman dengar, mahu muncung pula suami dia tu.
"Din sayang sangat dekat dia, kak ngah," akui Aizudin tanpa silu.
"Hey, haruslah kamu sayang. Dah isteri kamu. Ibu anak kamu. Budak ni la hai..." Kemawati menggeleng.
"Dah... Pergi tengok Sofia buat apa dekat dapur. Kejap lagi orang nak azan maghrib dah. Terus solat, boleh makan," suruh Kemawati.
Tak berkata apa, Aizudin terus berlalu ke dapur. Saat terpandang tubuh langsing yang sedang membelakanginya itu, liurnya ditelan berkali-kali.
Usah kata sekali, malah berjuta kali dia telah jatuh cinta dan anehnya, jatuh cinta pada wanita yang sama.
YOU ARE READING
Permata Hati
RomanceNovel akan berada di pasaran Julai ini Tajuk: Permata Hati (Adaptasi dari Drama) Penulis: Rehan Makhtar Muka Surat : 450 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-019-9 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)