KEMAWATI senyum tipis sambil menghirup kopi melihatkan layanan Aizudin pada Sofia. Hai adik aku ni... Dia pun bangga juga bila Sofia tak lepas memuji sikap Aizudin yang tak pernah berubah. Sebagai kakak, dia memang bangga.
"Kak ngah tengok, kau orang berdua ni memang macam pengantin baru."
Sofia memandang Kemawati.
"Kami berdua ke?"
Jari telunjuknya lurus pada diri sendiri dan kemudian pada Aizudin.
"Habis tu, takkan kami pula?" sampuk Ziela.
Sofia memandang suaminya. Bahu terjongket. Tanda tak tahu. Apalah yang kak ngah mahu sampaikan ni. Hai... Macam-macam.
"Kami memang macam ni dari dulu kan? Apa yang pelik pula?" tegur Aizudin.
Kemawati sengih.
"Yalah. Itulah maksud kak ngah. Seronok tengok adik dan adik ipar kak ngah ni bahagia. Biar selalu macam ni."
"Insya-Allah, kak ngah. Lagipun, pada saya orang lelaki ni kena tahu nilai isteri tu macam mana. Dengan itu, suami akan lebih menghargai. Macam kami ni..." Dikerling Aizudin manja.
Hampir tersedak kopi yang baru melalui rengkung bila Sofia menjeling tapi sempat dia kawal. Haih... Malu ajelah kalau tersembur air ni.
"Emmm... Kak ngah setuju sangat tu, Sofia..." sahut Kemawati laju.
"Kalau jenis yang tak menghargai dan tak tahu nilai seorang isteri ni, ha... Itu yang senang sangat nak duakan isteri. Padahal semua isteri dah buat. Cukup segalanya. Tapi, berapa ramai yang curang. Tak cukup makan dalam rumah, luar rumah pun makan." Dalam maksud kata-kata Kemawati.
Bukan apa. Memang itulah lumrah lelaki. Jika mampu, bernikahlah satu, dua, tiga atau empat. Tapi, masalahnya sekarang ramai yang tak mampu tapi masih gatal nak menduakan isteri. Lepas tu berlaku tak adil. Perempuan mana yang mampu bertahan.
"Amboi awak ni. Kemain, ya?" Lokman berdecit melihat isterinya.
"Kita kena ingat. Setiap kecurangan ni, mesti ada punca. Tak kesahlah lelaki ke, perempuan ke. Sama aje semuanya. Tak boleh nak salahkan lelaki sepenuhnya. Dah itu fitrah kejadian. Jika mampu, apa salahnya, kan?" Kening diangkat pada Aizudin dan Fandi yang hanya tersenyum.
Eleh... Takut nak menyampuklah tu. Takut dengan bini atau bini tak takut dia. Sempat lagi Lokman mengejek dalam hati.
"Dalam bab ni, tak boleh nak salahkan lelaki sebab perempuan pun boleh jadi puncanya. Ingat perempuan tak boleh curang ke? Alasan sebab suami sibuk. Tak cukup perhatian dan kasih sayang. Sebab tu cari lain. Atau, boleh jadi juga ada pihak ketiga yang iri hati dengan kebahagiaan kita," tambah Lokman lagi.
"Betul juga tu tapi pada I, semua tu bermula dengan diri masing-masing. Dah kalau kita ni dari awal ada niat nak curang, menduakan suami atau isteri... Pantang nampak dahi licin, muda belia... Mula ada niat nak pasang lain, itu tak ubah seperti mendoakanlah tu. Nak semua yang tak elok tu. Terdetik dalam hati ni, tak ubah seperti doa. Kan..." sampuk Ziela pula.
"Em... Betul tu."
Sofia dan Kemawati menjawab hampir serentak.
Aizudin yang sejak tadi diam, menukar posisi duduk. Lenguh pula. Tangannya didepangkan dan sengaja dia daratkan di atas belakang kerusi di mana Sofia sedang bersandar. Nakal... Hujung jari mencuit belakang isteri tapi Sofia hanya tenang buat tak tahu.
"Pada aku senang aje. Zaman sekarang, tak pelik kalau suami ada perempuan lain atau isteri ada lelaki lain. Benda dah jadi. Bukan tak pernah jadi. Cumanya, kalau kita ni dah berada pada satu tahap... Seperti dah ada kerjaya yang kukuh, perkahwinan yang bahagia, ada anak-anak yang baik, apatah lagi bila usia dah meningkat, manalah ada masa nak fikir benda remeh-temeh ni. Menyusahkan diri aje sebenarnya.
Okeylah, kalau kata kahwin lain senyap-senyap sebab mampu dan nak sangat... Sorok daripada isteri pertama, boleh tenang ke? Dah tentu tak boleh nak tarik nafas dengan tenang. Buat apa gitu? Baik ada isteri seorang aje. Jaga sampai syurga..."
Dikerling Sofia kerana kata-kata akhirnya dia memang tuju khas buat isterinya. Tapi, tak lama bila kelakuan Lis dan Zoey benar-benar menarik perhatian dia sejak tadi.
Hai... Apalah budak berdua ni bualkan. Macam masalah negara.
"Wah... Wah.... Kemain ayat dia." usik Kemawati.
"Tapi, betullah kata kau tu, Din," ujar Fandi. Bersetuju dengan Aizudin.
"Kalaulah semua orang boleh fikir macam kau fikir ni... Memang selamat rumah tangga. Tak adalah fail dekat mahkamah syariah tu menimbun. Betul tak?"
"Masalahnya sekarang ni, jenis ramai yang nak try. Lepas tu, dah terperangkap kira tak boleh nak keluar dah." Terjuih-juih Kemawati melahirkan rasa tak puas hati.
Sofia dan Ziela tertawa kecil.
"Alaaa... Don't worry, kak ngah. Perempuan sekarang hebat. Kuat. Tak lemah. Dia orang akan selamatkan diri sebelum kena tinggal. Biasalah... Sebelum kapal tu karam, lebih baik dia terjun cari perlindungan lain daripada terus karam dalam kapal yang tak dapat lagi diselamatkan. Dengan nakhoda yang dah tak boleh nak kemudi bahtera tu baik-baik."
Kemawati angguk laju. Kata-kata Sofia tepat.
"Dia orang ni tahu nak seronok aje, kan?" Giliran Ziela pula bersuara.
"Hai... Kalau nak ikut seronok memanglah. Bila terfikir nak buat bukan-bukan macam tu, kena ingat balik dengan segala nikmat yang telah Allah beri dekat kita ni. Isteri baik, anak lagi, rezeki tak putus. Kita kena didik hati ni terima dan syukur apa adanya. Tak payah nak meminta lebih kerana Allah bagi tu dah lebih daripada cukup. Cumanya, bila sampai masa Tuhan nak uji juga, kita berharap moga masa tu kita terus kuatlah..." Panjang Aizudin bersuara. Namun kali ini, matanya benar-benar tunak merenung anak dara tersayang.
Lis jarang kerut wajah. Jangan-jangan ada masalah besar tak...
"Sayang," serunya pada Sofia.
"Erm?" Kening Sofia naik. Tak jadi dia nak hirup air.
"Cuba pandang budak berdua tu. Anak awak tu dah kenapa? Berkerut sejak tadi. Dekat meja makan pun resah semacam aje. Tak lepas pegang handphone. Ke dia orang ada sorok apa-apa daripada kita ni?" duga Aizudin risau.
Dia pandang isterinya yang sedang membuang pandang pada Lis dan Zoey. Jarang sangat Lis macam tu.
YOU ARE READING
Permata Hati
RomanceNovel akan berada di pasaran Julai ini Tajuk: Permata Hati (Adaptasi dari Drama) Penulis: Rehan Makhtar Muka Surat : 450 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-019-9 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)