SENYUMAN pada bibir suami isteri itu mekar bila akhirnya, yang dinanti tiba di pekarangan rumah mereka. Seperti biasa, mata Aizudin tak lepas mengerling isteri tercinta. Inilah dunia, inilah syurga. Wanita inilah yang dia panggil sayang dalam lena dan jaganya. Tangan Sofia diraih menyebabkan isterinya itu sedikit terkejut.
"Kenapa?" soal Sofia tanpa suara. Hanya gerakan bibir saja dah cukup buat suaminya faham.
"Apa yang kenapa?"
Saja, Aizudin tayang wajah berkerut. Kononnya tak faham.
Sofia redupkan pandangan. Dah dia buat tak faham pula. Mata Sofia jatuh pada genggaman tangan mereka. Lain macam pula suami aku hari ni.
"Tak boleh?"
Sofia gelak bila nampak Aizudin tarik muka. Ada ke cakap tak boleh. Tapi, dia sedikit segan sebenarnya. Dah pertengahan usia ni, malu pula kalau beromantik di depan orang lain.
"Sofia tak kata tak boleh. Tapi, segan dengan tetamu kita."
"Kalau segan, tak apalah..." Tangan Sofia dilepaskan tapi laju pula Sofia memautnya.
"Buruklah orang tua merajuk..."
"Hey, abang tak tua okey. Abang bertambah macho." Sengih Aizudin melebar. Bahagia bila giliran Sofia pula memaut tangannya kemas.
"By the way, I just don't know... But I miss you so much..." akui Aizudin tiba-tiba.
"Especially today. Rasa macam baru hari ini abang jawab akad terima sayang dalam hidup abang. Rasa bukan anniversary kita. Rasa macam hari kita nikah..." luah Aizudin jujur.
"Well... Happy anniversary, abang..." Laju Sofia mengucup pipi suaminya sepintas lalu.
Aizudin saja beriak gamam.
"Tadi malu... ini mahu, ya?" usik dia.
Terus Sofia gelak.
"I love you, abang..."
"I love you more..." Aizudin kerdipkan matanya sekali. Lapan belas tahun berlalu... Dia bersyukur atas segalanya.
Membawa Sofia menjadi sebahagian daripada umat Rasulullah S.A.W. Mendidik dan menjaganya. Syukurlah, bila Tuhan bantu dia dengan ilmu yang tak seberapa ini untuk Sofia menjadi seorang wanita, isteri dan ibu yang baik.
Sejak akhir-akhir ni, rasa rindu betul pada Sofia biarpun wanita ini sentiasa ada bersamanya. Setiap masa. Entahlah... Rasa apa yang menghurung jiwa. Rasa nak dikucup tangan Sofia tapi dia tahan bila nampak tetamu sudah keluar daripada perut kereta.
"Abang?"
Dahi Sofia berkerut memandang pada suaminya. Aizudin memang romantik tapi hari ni, rasa lain macam pula. Macam ada benda tak kena.
Namun, baru nak bertanya lanjut, Kemawati dan Lokman sudah menghampiri mereka berdua.
"Amboi, pasangan sejoli ni..." Lokman mencebik pada isterinya. Dari tadi, mereka hanya saling memandang melihat kemesraan Sofia dan Aizudin. Kemesraan yang tidak dibuat-buat. Malah sejak dulu.
"Itulah... Sejak tadi kami curi pandang. Kemain, kan?" Giliran Kemawati pula menyakat.
"Tahulah anniversary kau orang hari ni. Jangan nak tunjuk sangat. Saja buat kami jealous, kan, yang?" Lokman menjuihkan bibir pada isterinya.
Tawa Aizudin dan Sofia berpadu.
"Ala... Itu pun nak jealous ke? Bagilah kami can sikit. Hari ini kan hari besar kami..." jawab Aizudin tersenyum lebar.
"Tidaklah kami ni jealous dengan kau orang. Tapi, senang cerita pergilah ke bilik. Baru tak berbulu mata kak ngah ni..." bebel Kemawati pula.
Sekali lagi, tawa Sofia dan Aizudin bersatu. Tahu sangat kak ngah bergurau. Tangan dihulur pada Kemawati dan Lokman sebelum menyambut buah tangan yang dihulur oleh Kemawati.
"Kak ngah bawa makanan?" soal Sofia sewaktu dah sedia nak masuk ke rumah.
"Haah. Kak ngah tak tahu nak bawa apa."
Kemawati sengih lebar.
"Kak ngah ni..."
Sofia tarik muka.
"Orang suruh datang aje. Sofia suruh datang makan ajelah. Tak payah bawa potluck segala. Ini dah susah ha..."
Rasa segan pula dia. Padahal dia yang jemput mereka datang. Sudahnya, ada pula buah tangan yang dibawa.
"Ala, Sofia... Macam biasalah."
Bahu Sofia diusap mesra. Tersenyum tipis pada adik iparnya.
"Kita ni perempuan. Mana nak duduk diam. Tak biasalah datang tangan kosong. Sikit-sikit untuk tambah menu malam ni."
"Dah susahkan kak ngah dah ha..." Wajah Sofia masih kelat.
"Ala, susah apa pulanya. Biasa aje ni. Lagipun, saja nak tunjuk skil masak kak ngah dah makin tajam."
Mengekek Kemawati ketawa bila dapat mengusik Sofia.
"Hey, kak ngah masak mana pernah tak sedap..." sahut Sofia pula dan tawa mereka sekali lagi bersatu.
"Lagipun, Lokman memang tak boleh kalau tak makan masakan kak ngah."
Dikerling suaminya yang sedang rancak berborak dengan Aizudin. Apalah perkara yang dibualkan tu. Hai...
Mata Sofia juga turut menjeling suaminya dan Lokman. Bibir pecah dengan senyuman. Dia tahu tahap mana kemesraan kak ngah dan Lokman biarpun Lokman lebih muda daripada kak ngah.
"Masak memasak ini kan, tanggungjawab isteri. Sentiasa berkhidmat untuk suami. Kata sayang suami, kan?" Lokman sengih bila dia dan Aizudin menghampiri isterinya dan juga Sofia.
Tadi terdengar juga akan perbualan dua orang wanita bergelar isteri ini. Haruslah tentang masakan.
"Yalah tu..." Sofia mencebik lebar. Sengaja dia melirik pada Aizudin.
"Part kita semua nak kena jadi yang terbaik. Suami pula macam mana? Memang dah jadi yang terbaik ke?"
"Kenapa? Sayang rasa abang tak lagi jadi yang terbaik ke untuk sayang selama ni?" Kening lebat Aizudin terjongket tinggi. Bertanya dalam senyuman.
Rasanya dia dah bagi segalanya buat keluarga. Tapi, tak tahulah selama ini Sofia masih rasa kurang di mana-mana biarpun isterinya itu tak pernah pula merungut.
"Abang yakin abang dah jadi yang terbaik untuk Sofia?"
Sofia bermain reverse psychology dalam senyuman simpul. Biarpun dalam hati menjawab ya. Segalanya sempurna. Aizudin telah berikan yang terbaik. Tak ada yang kurang.
"Setakat hari ini, abang dah usahakan yang termampu, sayang. Andai Sofia rasa abang belum jadi suami yang terbaik, serba-serbi kurang... Sofia jadilah kelebihan pada kelemahan abang itu..." Wajah comel ditayang.
Sofia ketap bibir mahu ketawa tapi ditahan biarpun Lokman dan Kemawati sudah hamburkan tawa melihat kelakuan suaminya.
"Ayat dia... Habis tu, kalau Sofia jadi kelebihan abang, apa yang Sofia dapat nanti?" Sengaja Sofia menggiat. Bergurau mesra.
"Suami hadiahkan payung emas untuk isteri." Bibir Aizudin ukir senyuman tajam pada mulanya bila melihat kerlingan Sofia. Dia ketap bibir menahan tawa. Sofia ni tahap feminisme dia lain macam sikit.
Dahi Sofia berkerut dengan ayat suaminya. Terus saja senyumannya dibunuh. Laju dia memandang pada Kemawati. Saling memandang dengan renungan yang mencurah-curah curiganya. Ayat tu macam nak kahwin lain aje.
YOU ARE READING
Permata Hati
Roman d'amourNovel akan berada di pasaran Julai ini Tajuk: Permata Hati (Adaptasi dari Drama) Penulis: Rehan Makhtar Muka Surat : 450 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-019-9 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)