Bab 14

1K 9 0
                                    

NAK tak nak, akhirnya dengan Zoey jugalah dia duduk meluahkan rasa risau. Tak nak susahkan hati mama dan papa dengan masalah ini. Mala tu kawan dia dan dia sendiri cuba bantu Mala.

"Fikir apa lagi?" Zoey tarik helmet dan diletak atas paha.

Mummy dengan ayah dah balik tadi lagi. Hanya dia masih di sini. Tak sampai hati nak tinggalkan Lis dengan wajah monyok begitu.

"Tak ada apa..." balas Lis tawar. Dikerling Zoey sekilas.

"Pergilah balik. Biarlah Lis sorang-sorang..." Masih merajuk.

Zoey ukir senyum senget.

"Dahlah tu merajuknya. Buruklah. Nampak dek papa dengan mama awak karang, dah timbul hal lain pula..."

Kata-kata Zoey ada benarnya. Tapi, sampai sekarang tak dapat lagi dia nak hubungi Mala. Teringat kata-kata Uncle Fandi tadi... Pun ada benarnya.

"Sekarang ni, walaupun Mala tu kawan Lis, tapi dia bukan lagi Mala yang Lis pernah kenal dulu. Dia dah mula berubah dan akan terus berubah. Yang sedihnya perubahan tu menuju pada sesuatu yang tak baik. Itu yang menakutkan. Dan, itu adalah satu contoh yang tak baik..." Kata-kata Uncle Fandi terngiang-ngiang.

"Kawan tu biar berpada-pada. Tak semua orang kita boleh buat kawan. Lis dah besar dan boleh beza dah baik buruknya..." Pesanan papa menerjah. Menggantikan suara Uncle Fandi.

Keluhan tipis lepas daripada dalam rengkung.

"Mengeluh pula dah?"

"Bukan mengeluh," nafi Lis pada telahan Zoey.

"Habis tu?"

"Orang hela nafas..." Pandai aje dia menjawab tapi sungguh, nafas dia memang rasa tak lancar mana.

"Yalah tu hela nafas," balas Zoey mencebik. Tapi, bila Lis nak menjawab, laju dia menyambung,

"Tak ingat ke tadi mama Lis dah pesan? Sebelum buat apa-apa, fikir dulu dia orang. Mama dengan papa. Orang tua kita. Orang tua kita ada kita sorang aje. Aunty Ziela pun ada cakap, kawan ni ada dua jenis. Ada yang jenis boleh bawa ke rumah dan ada yang boleh lepak dekat luar aje. Pergaulan ni memang banyak pengaruhi kita. Itu Zoey setuju..."

"Ya..." Lis angguk pasrah.

"Lis pun setuju dengan pesan Auntie Ziela tu..."

"Kalau setuju, patutnya Lis dah boleh rasa lapanglah sikit. Kan mummy Zoey pun pesan, benda banyak dah berlaku. Salah satunya kes Mala inilah. Kita jadikan peringatan untuk kita. Tak nak keluarga kita kecewa. Tak nak family kita renggang. Kita akan saling mengingati. Lagipun, Zoey sayangkan Lis..." Kening Zoey terjongket nakal.

Mata Lis melirik pada Zoey. Senyuman akhirnya pecah. Zoey ni...

"Mengadalah Zoey ni..."

Tawa Zoey pecah. Lega bila Lis akhirnya tersenyum.

BIBIR Aizudin meleret dengan senyuman. Melihatkan senyuman manis pada bibir anak dara tersayang, gamaknya Zoey dah berjaya memujuk. Dia memang boleh harapkan Zoey untuk tengok-tengokkan Lis andai terjadi apa-apa pada dia.

Tangan yang sejak tadi memaut pagar beranda beralih letak. Disilang tangan ke dada. Memeluk tubuhnya erat. Entah kenapa, senyumannya mati tiba-tiba.

Dada dia rasa berdebar tak sudah. Kata-kata kak ngah bergema. Keluarga berantakan, saling bertelingkah dan sudahnya renggang... Dia tak nak keluarganya diuji dengan sebegitu rupa.

Dia tak tabah untuk hadapinya. Apatah lagi untuk hadapi kehilangan. Lis dan Sofia adalah hartanya dunia dan akhirat. Demi Tuhan... Dia amat menyayangi anak dan isterinya.

Dulu... Hanya dia dan kak ngah. Yatim piatu. Hilang segalanya. Biarpun dibesarkan oleh keluarga ibu saudara, tapi mak ciknya itu tak gemarkan kanak-kanak. Dalam hidupnya, hanya ada kak ngah. Rasanya, sampai mati dia akan rebah di riba kak ngah jika ada apa-apa masalah. Dia tak nak lagi kehilangan.

Namun, entah kenapa... Berbicara soal ujian, ingatan dia berlari laju ke masa lalu. Kenapa sekarang? Setelah bertahun... Dia yakin dia dah lupakan semuanya rupanya perkara itu masih ada dalam memori dia. Masih segar.

Aizudin pejam mata rapat. Cuba menolak jauh memori itu daripada terus menghimpit bahagianya.

"Abang..."

"Allah..."

Aizudin laju membuka mata dan menepis tangan yang berada di atas dada bidangnya. Terkejut! Dia terus berpaling.

"Kenapa ni?"

Wajah Sofia berkerut. Dia tak tahu pula Aizudin boleh terkejut macam ni sekali. Apa yang sedang mengerumuni kepala suami dia sekarang sampai gini gaya Aizudin terkejut?

"Abang fikir apa? Risaukan Lis?" tebak Sofia. Dia sengaja lingkari tangannya pada tubuh Aizudin. Dah biasa begitu.

Kali ini, Aizudin tak menolak lagi. Dipaut juga pinggang Sofia rapat ke tubuhnya. Dia ukir senyum. Bukan hal Lis sebenarnya tapi entahlah... Malas dia nak buka cerita lama yang dah dikuburkan.

Malas nak gali lubang kubur sendiri.

"Erm... Kita ada anak seorang aje, sayang. Mahu abang tak risau... Tapi memanglah tak sangka yang ujian tu datang melalui anak kita, kan?"

Selama ini, mereka bahagia dan begitu bersyukur dengan rezeki yang telah Allah kurniakan.

Bahagia itu adalah rezeki yang terindah buat mereka.

"Abang tak nak hilang sayang dengan anak kita..." Jarinya naik mengelus helaian rambut Sofia yang jatuh ke pipi. Cantik isteri aku ni. Dia memang sentiasa memuji Sofia biarpun hanya dalam hati. Kerana itulah hakikatnya. Inilah wanita tercantik dalam hatinya.

"Hey... Jangan fikir bukan-bukan. Sofia pun tak nak hilang abang dengan anak kita. Tapi, seperti kata abang, ujian ni untuk kita biarpun datang melalui orang lain. Orang yang rapat dengan anak kita. Memang patut kita risau tapi kita kena percaya pada anak sendiri. Kita dah bagi didikan terbaik untuk Lis. Dia tak akan kecewakan kita..." Senyuman Sofia semakin manis.

Kepala Aizudin angguk. Itu sesuatu yang dia sangat pegang. Lis adalah anak yang baik. Tapi... Kata-kata Sofia menjentik tangkai hati.

"Kalau kata Lis kecewakan kita?" duganya.

Dahi Sofia berkerut.

"Kita akan maafkan dia. Dia anak... Biasalah tu kalau buat kesilapan. Tapi, kita kena sokong dia untuk betulkan kembali kesilapan. Betul tak?" Senyum Sofia pecah.

Dia eratkan pelukan dan kali ini, disangkut dagu pada bahu suaminya.

Rindu betul...

"Kalau kata abang yang buat sayang kecewa?"

Saja menduga. Tangan Aizudin membelai lembut rambut Sofia namun terhenti bila Sofia menjarakkan tubuh mereka.

Mata Sofia melangut pada suaminya. Dahinya berkerut sedikit. Apa maksud Aizudin ni?

"Abang bergurau aje, kan?"

Aizudin telan liur dengan persoalan Sofia. Dia akhirnya tersenyum juga dan menarik Sofia ke dalam pelukan sekali lagi. Lebih erat, lebih lama.

"Yes... I'm just kidding."

Merasai detak di dalam dada suaminya yang dirasakan lain macam sedikit, Sofia mula resah. Din ada masalah lain ke? Kerana itu, suaminya lain macam sikit malam ni.

"Anything happened, abang?" soalnya perlahan.

"Tak ada apa. Mungkin sebab rasa rindu tiba-tiba."

"Betul?"

Aizudin tolak bahu Sofia. Direnggangkan jarak mereka sedikit. Dia kerdipkan matanya sekali sebelum bibirnya jatuh pada dahi Sofia lama.

Tuhan... Biarkan ia terbenam jauh di dalam perut masa. Namun kenapa debaran dalam dadanya kian mengganas. Seperti ada satu ujian besar bakal berlabuh di dalam bahtera rumah tangganya.

Permata HatiWhere stories live. Discover now