MELIHAT makanan yang terhidang, perut Rihana rasa lapar tiba-tiba. Dia terus jadi lupa siapa yang ada di depannya sebab semua makanan itu adalah makanan yang dia suka terutama sekali daging panggang yang didatangkan dengan sos pencicah, hirisan timun dan juga bawang mentah.
Kenapa timun dan bawang mentah? Info kesihatan kata, jangan lupa makan timun bila makan makanan yang dibakar kerana karbon yang terhasil dari pembakaran akan mendatangkan kesan karsinogen yang boleh menyebabkan kanser dan timun merupakan anti-karsinogen. Bawang pula bertindak sebagai bahan dalam membantu proses pencernaan dan ia juga merupakan anti-kanser.
Waktu menjamu selera, masing-masing hanya diam. Rihana seperti biasa, kalau bab makan dia memang tak pernah pandai nak kontrol ayu. Itulah yang selalu Hakim perhatikan dan tabiat itulah yang Hakim sangat suka apabila membawa Rihana makan.
Melihat Rihana yang begitu enak menyuap hirisan timun berselang dengan bawang mentah dan daging panggang, timbul idea nakal di hati Hakim.
"Kata orang, makan bawang mentah boleh memberi tenaga dan menguatkan nafsu. Apa pendapat you Rihana?" Sungguh selamba soalan Hakim buatkan mulut Rihana terhenti mengunyah.
Bawang mentah yang sedang dikunyahnya seperti ingin tersembur keluar. Sungguh kurang sopan betullah Hakim ni! Rasa macam nak aje dia sumbat mulut Hakim dengan mangkuk bawang tersebut.
Nazreen hanya tergelak perlahan mendengar bicara Hakim yang terasa lucu di telinganya. Lebih lucu apabila melihat mulut Rihana yang penuh dengan makanan terhenti mengunyah. Pipinya yang timbul itu nampak mengembung.
"I tak berapa pastilah Encik Hakim, sebab I belum kahwin lagi. Tapi, I memang suka makan bawang mentah ni. Nantilah, bila I dah kahwin, I bagi tahu Encik Hakim betul ke tidak apa yang orang kata tentang tenaga dan nafsu tu." Rihana balas soalan Hakim dengan jawapan yang kurang sopan juga. Orang macam Hakim ni tak boleh nak bagi muka lebih-lebih.
Hakim ketawa perlahan tetapi Nazreen pula yang ternganga kerana terkejut dengan keselambaan Rihana.
Setelah selesai menjamu selera, Nazreen bangkit untuk menyelesaikan pembayaran dan sekali lagi mereka ditinggalkan berduaan. Peluang keemasan itu Hakim ambil untuk tenung Rihana.
Matanya tidak lepas dari meratah seluruh wajah Rihana yang begitu asyik menghirup sup shark's fin di dalam mangkuk.
"What?" soal Rihana keras apabila dia perasan Hakim merenungnya semacam
"Your lips... I miss them." Hakim kenyit mata, gatal.
Oh! Rihana rasa macam nak tercekik sup yang dihirup. Dia jadi lemah tiba-tiba. Hakim, tolonglah jangan goda dia begitu.
'Tuhan, tolong kuatkan aku untuk terus berdiri ke jalan-Mu.'
Melihat wajah Rihana yang sudah berubah, Hakim mahu mengusik lagi. Kakinya dihulur panjang ke depan dan hujung kasutnya menggesel betis Rihana menyebabkan wanita itu tersentak dengan mata yang membulat.
"Hakim!!!!" Kuat jeritan Rihana kerana terkejut bercampur marah. Dia rasa macam nak tendang Hakim laju laju.
"You ni memang nak minta pelempang, kan?" Marah betul Rihana tatkala melihat muka Hakim yang seperti orang tak bersalah itu.
"Kalau yang lempang tu tangan you, I tahan je walaupun bengkak pipi."
Hakim sambut kemarahan Rihana dengan ketawa nakal. Saat itu dia rasa bahagia ada di mana-mana. Badannya dicondongkan ke depan agar lebih rapat dengan Rihana yang duduk berdepan dengannya.
"I miss you Rin. I miss everything about you," bisik Hakim, menggoda. Benar, dia sangat-sangat rindukan Rihana. Rindu akan semua perkara berkaitan Rihana.
Rihana rasa jantungnya sudah jatuh mencecah lantai. Kalaulah dia mampu memadamkan semua kenangan antara mereka di kepala Hakim, alangkah mudahnya hidup ini. Namun, usahkan menghapus di kepala Hakim, di kepala sendiri pun dia tidak mampu untuk memadamkannya.
Hakim bangkit. Kad nama di atas meja diambil dan melangkah mendekati Rihana. Tanpa amaran, dia capai tangan Rihana dan letakkan kad nama tersebut ke telapak tangan wanita itu.
"Contact me if you change your mind," ucap Hakim dan melangkah untuk keluar. Dia tidak perlu risau sebab dia sudah tahu bagaimana untuk mencari Rihana. Balik ke pejabat nanti, dia akan cari jalan bagaimana untuk membeli saham Coral Global.
Rihana geleng kepala. Fikirannya takkan berubah, never, ever and forever. Jika dia berani mengambil keputusan untuk mendekati Hakim, dia percaya suatu hari nanti dia tentu akan tewas.
PULANG dari pertemuan itu, Encik Nazreen terus menghilang. Balik ke rumah agaknya. Sementara tak ada apa nak dibuat, Rihana kemas bilik bosnya itu yang sudah rupa macam sarang tikus beranak kecil.
Majalah yang bersepah di atas meja kopi disusun satu persatu. Saat tangannya mencapai majalah bisnes, matanya terpaku pada gambar depan majalah tersebut. Hakim? Ya! Wajah Hakim yang menjadi penghias muka depannya dan tajuk utama yang tertulis di situ buatkan hati Rihana jadi berlainan rasa.
Melihat tarikh keluaran majalah tersebut, Rihana diam mengira. Maknanya, masih baru. Lari dari dunia yang penuh godaan, dia jadi tidak tahu perkembangan semasa.
Dulu, dia memang tahu ura-ura yang Hakim akan bertunang dengan anak Tan Sri Idham, model terkenal yang bernama Nelly itu. Dan hari ini dia baru tahu bahawa mereka sudah selamat mengikat tali pertunangan. Maknanya, Hakim itu tunangan Nelly.
Melihat gambar pertunangan Hakim bersama Nelly yang sebanyak empat muka surat itu, Rihana rasa hatinya seperti dicarik benda tajam. Dia sendiri tak tahu kenapa. Melihat senyuman Hakim yang nampak sangat bahagia, dia turut sama tersenyum menumpang bahagia tetapi kenapa hatinya seperti menangis hiba?
"Kahwin dengan I Rin..."
Teringat kembali lamaran Hakim suatu ketika dulu. Bukan sekali malah lebih dari tiga kali Hakim mengajak dia berkahwin tetapi apabila diberi syarat, Hakim hanya diam membisu. Saat itu dia sudah tahu, Hakim takkan berani untuk membantah perancangan orang tuanya.
Lama Rihana membelek majalah tersebut sehingga tidak sedar waktu sudah hampir ke pukul enam petang. Pejabat semua sudah gelap. Cepat-cepat dia berkemas untuk pulang. Ngeri juga duduk pejabat sendiri tanpa sesiapa.
Ketika melangkah ke tempat parkir kereta, hati Rihana rasa semacam. Terus dia berzikir dalam hati memohon dari Ilahi agar dijauhkan dari sesuatu yang buruk.
Ketika masuk ke dalam kereta, Rihana perasan pintu kereta pemandu yang terparkir di sebelah kiri keretanya dibuka. Apabila menoleh, Rihana hanya nampak belakang seorang lelaki.
Belum sempat menghidupkan enjin, tiba-tiba pintu keretanya di sebelah penumpang dibuka dari luar. Terkejut, Rihana hampir terjerit. Namun, tatkala melihat gerangan lelaki yang selamba masuk dan duduk di kerusi penumpang sebelahnya, Rihana sedut nafas panjang-panjang.
Siapa lagi kalau bukan Hakim yang suka buatkerja-kerja mengejutkan dia begini. Kalaulah dalam kereta dia ada parangpanjang, memang dia dah kerat lelaki di sebelahnya ini jadi lapan belas. Geramsungguh!
YOU ARE READING
PERGI TANPA ALASAN
RomanceRihana dan Hakim, dua nama dari dua dunia berbeza, ditemukan dalam kancah penuh dosa. Bagi Hakim, Rihana itu tidak ubah seperti pelacur kelas atasan. Bagi Rihana, Hakim itu sama saja dengan lelaki kaya raya yang harus dilayan untuk mengeluarkan duit...