Bab 3

3.2K 48 1
                                    

Sudah seminggu adik Farid, Fauzan membantu aku di bahagian fotografi. Orangnya cekap dan senang diajar. Hanya sekali sahaja aku memberi tunjuk ajar, Fauzan sudah memahaminya. Cara kerjanya juga amat aku senangi. Tak perlu aku nak berleter panjang kalau masing-masing dah tahu tugas dan tanggungjawab.

Kini, aku mempunyai sedikit masa untuk meluangkan masa di kedai bunga pula. Membantu pekerja menyiapkan gubahan hantaran perkahwinan para pelanggan yang ingin menggunakan bunga segar sebagai gubahan hantaran mereka. Bab hantaran ini sedikit mencabar kerana bunga perlu kelihatan segar sehingga selesai majlis. Memang mencabar!

Kadangkala ada juga para pelanggan yang datang memesan kalungan bunga untuk majlis pengebumian, terutamanya pelanggan Cina. Nasib baik aku mempunyai dua orang pekerja yang berbangsa Cina. Mereka berdua banyak membantu aku.

"Kak Zara... Kalungan bunga ni nak hantar ke mana?" soal Fauzan yang secara tidak langsung membantu aku dalam bab penghantaran.

"Kat situ Kak Zara dah lekatkan alamat. Jan tahu tak kat mana tempat tu?" soal aku semula.

"Saya tahu, Kak Zara," balas Fauzan.

"Okey. Drive carefully," pesan aku sebelum Fauzan menghilangkan diri bersama-sama kalungan bunga yang perlu dihantarnya.

Aku kembali leka dengan gubahan bunga. Sekejap lagi pelanggan akan datang mengambilnya. Bunga daisi. Penerimanya juga bernama Daisy. Romantik sungguh si teman lelaki yang beria-ia mahu menunjukkan rasa sayang kepada cinta hatinya.

Tiba-tiba tumpuan aku diganggu dengan deringan telefon di atas meja. Aku tercari-cari akan telefon bimbit aku yang terlindung dengan batang-batang bunga yang dikerat. Terlihat sahaja nama yang tertera di skrin, terus aku capai dan menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum, mak lang!" sapa aku riang apabila sudah mengetahui akan gerangan si pemanggil.

"Waalaikumussalam. Ya Allah! Sakit telinga mak lang dengar Zara menjerit. Nak jadi tarzan ke apa?" bebel mak lang di hujung talian.

Aku ketawa kecil. "Haah, mak lang! Tarzan Malaya!" seloroh aku. Mak lang kembali dengan bebelannya. Bebelan itulah yang amat dirindui setelah dua bulan aku tidak balik menjenguk mak lang di kampung.

"Bila Zara nak balik? Mak lang rindukan Zara. Sibuk sangat ke dengan business tu sampai tak ingat mak lang di kampung?" Mak lang mula bertanyakan kepulangan aku. Aku tersenyum kecil dengan pertanyaan mak lang.

"Insya-Allah, minggu depan Zara balik. Minggu ni Zara ada satu majlis nak diuruskan. Selesai sahaja semuanya, Zara balik jenguk mak lang dengan pak lang," janji aku kepada mak lang.

"Mak lang ada Zara aje kat sini nak lepaskan rindu. Dah la Dina pun jauh. Bazli pun jauh. Mak lang ada Zara aje nak tumpang sayang. Zara tak sayangkan mak lang ke?" Mak lang memang pandai bermain dengan emosi aku. Aku mudah cair apabila mak lang mula beremosi sebegini.

"Zara sayangkan mak lang. Mak lang tempat Zara tumpang kasih sayang lepas ibu dah tak ada. Zara janji, minggu depan Zara balik jenguk mak lang. Mak lang masak masakan kegemaran Zara, eh? Sambal petai udang!" pinta aku.

Dengan cepat mak lang bersetuju. "Yalah! Mak lang buatkan untuk Zara."

Aku tidak berbual lama dengan mak lang apabila Dayana mula memanggil aku. Aku meninggalkan gubahan bunga yang telah siap digubah. Aku mendapatkan Dayana yang sudah beralih ke butik, bersebelahan dengan kedai bunga.

"Anak lelaki Puan Marina datang bagi baju contoh. Katanya tak boleh tunggu lama untuk bagi ukuran badan. Dia hanya pesan, ikut saiz dan ukuran baju contoh ni. Seluar pula tak nak dijahitkan butang. Dia nak digantikan dengan kancing seperti biasa," ujar Dayana akan pesanan anak lelaki Puan Marina.

Cinta Si Wedding PlannerWhere stories live. Discover now