Hati Berdentang-denting

86.3K 491 17
                                    




Sebaik sampai di tingkat atas, Hanna terkejut apabila ruang pejabat menuju ke bilik majikannya itu dibentang karpet merah. Semua rakan pejabat berdiri di kiri kanan karpet seolah-olah menyambut ketibaan orang besar pula tu. Dengan tangan memegang sejambak bunga ros dan diterkap di dada. Bersiap sedia.

Hanna lekas-lekas mencari kelibat Suraya. Bimbang dia terlepas apa-apa memo pejabat, anak matanya mencari rakan yang tahu banyak perkara itu. Tetapi memandangkan Suraya jauh di depan sana, Hanna tidak berkesempatan mengambil tempat apabila pintu lif terbuka.

Sementelah Tuan Wildan pun keluar dari lif yang berhampiran dengan biliknya. Hanna lekas-lekas mengambil tempat di hujung itu juga tanpa sepatah kata. Berbaris sama dengan rakan-rakan sekerja.

Dari ekor mata Hanna, dia dapat melihat Tuan Wildan yang sedang mara menjejak karpet merah itu. Bagaikan askar yang diperiksa kawat, Hanna mengemaskan diri. Rambut dirapikan dan baju dikemaskan. Bunga ros itu diterkap ke dada, seperti yang lain.

"Hanna!"

Gadis itu tersentak. Namanya dilaung. Lantas, badan menunduk sedikit dan kepala menoleh ke kiri. Tuan Wildan mencari-cari dirinya. Sebaik mata bertembung mata, anak jari Tuan Wildan memanggil Hanna.

"Cepat!" Rakan sekerja di tepinya berbisik ketakutan.

Hanna terus menapak ke depan sebelum berpusing, menghadap Tuan Wildan yang berada di tengah-tengah barisan.

Hanna tidak tahu apa yang harus dilakukan. Lelaki itu sedang berdiri terpacak tanpa sepatah kata. Dikerling rakan-rakan sekerja yang memberi isyarat dengan mata dan herotan bibir. Suraya yang berada di belakang Tuan Wildan sahaja yang melambai-lambai. Menyuruhnya mara.

Hanna akur. Setapak demi setapak, berserta hati yang kian menebal geram. Dan sebaik sahaja dia melangkah, rakan-rakan menabur kelopak bunga mawar yang dipetik terus dari jambangan itu. Ditabur tepat-tepat ke atas kepala Hanna dan jatuh berguguran umpama salji di musim dingin.

Hanna kepal-kepal tangan yang memegang sejambak bunga yang masih kemas melekat di dada. Dia tidak patut dimalukan sebegini rupa. Tuan Wildan tersenyum, menanti umpama putera raja yang berada di singgahsana. Indah sekali. Dengan senyuman itu, dia mahu mencairkan hati Hanna. Dengan renungan mata itu, dia mahu menyatakan bahawa dia bersungguh-sungguh mahukan Hanna.

Hanna sudah terpacak di depan Tuan Wildan yang meleret dengan senyuman. Suka hati dia sajalah. Mentang-mentang dia bos besar. Dia boleh saja arah-arah pekerja ikut telunjuk dia pula. Ini dah diluar skop kerja semua orang.

Bagaimana seseorang yang boleh senang-senang campur-aduk soal kerja dengan peribadi ini boleh berjaya? Walaupun mungkin bukannya seorang jutawan, tetapi dia mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan korporat.

Hanna mara bersama seribu satu telahan yang bergaung di kepala. Bagaimana kalau-kalau Tuan Wildan melamar sekarang ni? Hish! Takkanlah kot. Tapi dengan sambutan karpet merah, puluhan jambak bunga ni dan pembaziran masa para pekerja, ini bukan petanda baik, Hanna oi!!!

Tengoklah raut muka rakan-rakan sekerja tu. Bermacam ragam. Kalau bukan kerana membodek Tuan Wildan, dah tentu kelopak-kelopak bunga itu berganti dengan kasut tumit tinggi. Singgah menghempuk kepala Hanna rasanya.

Tak semena-mena, Tuan Wildan menyeluk saku seluarnya. Hanna jadi kecut. Dia perlu fikirkan sesuatu. Sebelum dia terperangkap tanpa jalan keluar, baik dia buat sesuatu. Sekarang juga. Tapi apa yang harus dia buat?

"Arghhh!!!" Hanna pun meraung sekuat hati.

Sejambak bunga yang diterkap ke dada, jatuh ke dada karpet. Hanna pegang kepala, menekan kuat-kuat. Menayang muka sakit yang bukan alang kepalang ngerinya.

SATU MALAM SAHAJAWhere stories live. Discover now