Zenia Adni membawa Mayesa ke Aster Café yang sentiasa menjadi pilihannya. Selain makanannya yang lazat, servis di kafe itu sangat memuaskan hati. Tidak seperti di restoran-restoran lain yang pelayannya seperti acuh tidak acuh bila mengambil pesanan.
Setelah membuat pesanan mereka berdua bertukar-tukar cerita mengenai perkembangan masing-masing. Sudah hampir 5 tahun mereka tidak bertemu. Hanya bertukar cerita melalui emel sahaja tapi manakan sama bercerita di emel dengan bertemu muka. Terlalu banyak perkara yang mahu mereka kongsikan. Walaupun begitu Zenia Adni masih lagi tidak memberitahu Mayesa mengenai pemergian ibunya dan cerita mengenai Khalif Umar kepada Mayesa. Dia tidak mahu Mayesa bimbang.
Zenia Adni sudah cukup faham dengan perangai dan sikap Mayesa. Jika dia tahu Zenia Adni sedang kesedihan, silap-silap dia boleh heret suaminya Izz Hadif merentas benua untuk pulang ke Malaysia hanya semata-mata untuk menemaninya. Oleh sebab itulah dia terlalu menghargai persahabatannya dengan Mayesa. Dia sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang sahabat seperti Mayesa.
Masih dia ingat ketika dia mahu bertunang dengan Khalif Umar. Mayesa sanggup memaksa Izz HAdif untuk pulang ke Malaysia semata-mata untuk meraikan pertunangannya walaupun Mayesa tidak begitu berkenan dengan Khalif Umar. Kata Mayesa, Khalif Umar tidak layak untuk dia. Mayesa sungguh beruntung bersuamikan Izz Hadif kerana Izz Hadif sangat memahami isterinya dan persahabatan mereka. Kalau suami orang lain tak ada makna mereka nak melayan permintaan yang sebegitu.
"Izz tu bukan isteri kau ke?"
"Mana?" mata Izz Hadif liar mencari kelibat isterinya.
"Dekat Aster Café tu."
"Ha bini aku la tu."
"Eh siapa sebelah dia tu?"
"Kenapa?"
"Manis."
Izz Hadif hanya ketawa mendengar komen rakannya itu. Zenia Adni memang manis orangnya. Sekali pandang memang nak pandang lagi. Gadis itu ada auranya yang tersendiri.