#LPB : PART 1

4.9K 260 7
                                    


AKHIRNYA Ayuni mengalah juga. Apa boleh buat. Walau apa pun dia perlu melayan perutnya dengan baik. Jika tidak, gastrik pasti akan datang menyapa. Tidak sanggup dia hendak menghadapi penyakit itu lagi. Kali terakhir kena sudah rasa separuh nyawa dia menahan. Sejak itu dia berjanji tidak akan buat perutnya merana lagi.

Ayuni segera bersiap menyarung baju yang sesuai. Dia sudah nekad untuk makan di Sushi King memandangkan dia hanya mahu makan sayur. Mini Chicken Salad dan Edamame menjadi menu paling wajib. Mujurlah kedai Sushi King tidak jauh daripada apartmen yang dia tinggal. Malah tidak perlu tahan teksi untuk ke situ. Hanya 15 minit berjalan kaki.

Setelah pastikan pintu rumah sewanya dikunci rapat, Ayuni segera mendapatkan lif. Hari ini dia ditinggalkan sendirian. Nora, rakan serumahnya itu awal-awal pagi lagi sudah keluar dating dengan teman lelakinya. Biasanya kalau Nora ada, Nora yang akan masak makanan tengah hari. Kalau tiada, pandai-pandailah dia kena cari makan.

Bagi Ayuni, bukan dia tidak tahu memasak. Dia tahu memasak cuma dia lebih suka makan. Lagipun dia tidak suka masak untuk dirinya sendiri makan. Jadi, bila keseorangan, dia lebih rela pergi beli di luar daripada memasak di rumah.

Lama menunggu, akhirnya pintu lif terbuka. Ketika hendak melangkah masuk ke dalam lif, telefon bimbitnya berbunyi. Nombor yang asing muncul di skrin. Tanpa mengesyaki apa-apa, Ayuni segera menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum, Cik Ayuni ke ni?" tanya satu suara lembut di hujung talian. Suara perempuan tapi Ayuni tidak dapat mengecam suara itu. Macam bukan suara yang dia pernah kenal sebelum ini.

"Waalaikumsalam. Ya, saya. Siapa ni?"

"Saya Puan Salbiah." Wanita itu memperkenalkan diri.

"Puan Salbiah?" ulang Ayuni sambil otaknya memproses maklumat. Rasanya belum pernah lagi dia dengar nama itu setakat ini. Klien baru? Mungkin juga. Memandangkan nombor telefon bimbitnya sering dihubungi oleh pelanggan yang mahu berurusan dengannya.

"Puan Salbiah, ada apa-apa yang boleh saya bantu?" tanya Ayuni dengan penuh sopan. Walaupun hari cuti, dia tetap akan melayan klien dengan baik.

"Tayar kereta saya pancit, awak boleh datang sini betulkan?" tanya Puan Salbiah.

"Hah?" Ayuni terkejut. Rasanya dia tidak salah dengar tadi. Puan Salbiah itu kata tayar keretanya pancit dan mahunya betulkan? Biar betul! Dia bukan mekanik kereta! Abangnya barulah mekanik kereta!

"Cik Ayuni?" panggil Puan Salbiah apabila Ayuni berdiam diri.

"Err... Puan Salbiah dah salah faham kut. Saya pekerja di sebuah hotel, bukan mekanik," jawab Ayuni masih lagi bersopan. Namun dia masih berasa hairan. Setahunya belum pernah lagi orang yang tidak dikenali telefon suruh buat kerja-kerja mekanik. Ini baru pertama kali.

Pelik dan ajaib sungguh! Dunia sudah terbalik?

"Oh... ya ke? Tapi anak saya cakap Cik Ayuni boleh tolong saya tukarkan tayar kereta," balas Puan Salbiah kedengaran keliru.

"Hah?" Ayuni terkejut.

Anak? Cis! Siapalah yang dajalkan aku ni? Mentang-mentanglah aku pandai baiki kereta, korang nak ambil kesempatan ya! Mak siapalah ni? Baik korang mengaku cepat!

Sempat lagi Ayuni membebel dalam hati. Sambil itu dia cuba mengingati sesiapa yang tahu kemahiran tersembunyinya itu. Kalau tidak silap, tidak ramai yang tahu dia ada ilmu membaiki kereta. Namun antara mereka, tiada seorang pun ada ibu yang bernama Salbiah.

Ah, kusut!

"Kalau Cik Ayuni tak boleh, tak mengapalah..." suara itu akhirnya mengalah.

Ayuni berasa tidak sedap hati. Ini yang paling dia tidak suka. Akhirnya dia mengalah. Lagipun bukan lelaki yang minta tolongnya tukar tayar. Kalau lelaki, memang kena maki hamun dengannya di situ juga. Kerja yang senang itu pun tak reti hendak buat. Memalukan kaum lelaki sungguh!

LELAKI PALING BAHAYAWhere stories live. Discover now