#LPB : PART 17

2.4K 167 22
                                    


"Ini okey tak?" tanya Ayuni sambil membelek sehelai baju di hadapan cermin.

"Cik Ayuni ooiii, kau dah beli dah baju tu. Lima kali dah kau cuba kat butik tadi," tegur Nora. Pening kepalanya melayan kerenah Ayuni hari ini. Biasanya Ayuni jenis yang tak banyak songeh tapi hari ini bertimbun-timbun songeh Ayuni. Nasib baik Munirah juga menolong. Kalau dia seorang diri, memang jenuh nak melayan.

"Yalah. Apasal kalut sangat ni? Bukan ke kau kenal bakal ibu mertua kau tu," balas Munirah.

"Aku kenal macam tu je. Mana tahu dia sangat-sangat cerewet orangnya," ujar Ayuni penuh dengan rasa gemuruh. "Lagipun aku bukan saja nak jumpa bakal mak mertua tapi keluarga mertua. Kau dah kahwin takkan kau tak pernah tahu perasaan ni?"

"Ya. Aku faham tapi apa yang kau perlu lakukan adalah bertenang. Kau tak perlu risau apa-apa. Bukan ke semuanya Irfan dah rancang awal-awal lagi."

"Aku tak pernah rasa macam ni. Masa aku jumpa mak Rasydan, aku cuma takut sikit je. Tapi kali ini... aku sendiri tak tahu."

"Kami faham. Itu maknanya, bila kau dah sayang sangat dengan seseorang tu dan kau takut ada sesuatu yang menghalang kau orang bersama. Aku pernah rasa," tambah Munirah.

"Jadi, ini normal?"

"Ya. Normal. Semua perempuan akan rasa macam ni."

"Okey..." Ayuni mula bertenang.

"Pukul berapa kau nak pergi jumpa mereka?" tanya Nora.

"Irfan akan jemput aku pukul 8.00 malam."

"Sekarang dah pukul 7.00 malam."

"Hah?" Ayuni terkejut. Dia melihat jam di dinding biliknya. "Alamak! Macam mana ni? Mana sempat. Aku belum mandi lagi. Nak sembahyang lagi. Nak mekap lagi. Kau orang patut ingatkan aku awal-awal tadi," Ayuni terus capai tuala dan masuk ke bilik mandi.

Munirah dan Nora saling menggeleng kepala. Macam-macam!



TEPAT jam 8.00 malam, Ayuni siap. Nasib baik ada dua orang kawannya yang sudi menolongnya pakaikan mekap. Cukup masa, loceng pun berbunyi. Ketika itu, Ayuni mula menyedari tiada satu pun kasut yang sesuai dengan baju yang baru dibelinya itu.

"Macam mana ni?" Dia kembali menggelabah.

"Ayuni, bertenang. Kau dah lupa ke, kau nak pergi makan di rumah bakal mertua kau?" Nora cuba sedarkan Ayuni.

"Itulah pasalnya. Aku tak ada kasut. Aku terlupa nak beli kasut."

"Kasut tu tak penting."

"Habis tu takkan nak berkaki ayam?"

"Takkan kau nak masuk rumah orang pakai kasut?"

"Ehhh... betullah." Ayuni menepuk dahi. "Kenapa kau orang tak ingatkan aku awal-awal tadi? Jadi, aku boleh pakai kasut apa saja..." Ayuni pun mengambil kasut hitam yang selalu dipakainya untuk pergi kerja. Itu selesa sikit.

Selesai memakai kasut, Ayuni membuka pintu. Dia mengukir senyuman manis sebaik sahaja melihat Irfan berdiri di hadapan pintu. Irfan seakan terkejut melihat penampilannya pada malam itu.

"Kenapa?" tanya Ayuni.

"Tak ada apa. Watching you just like watching the moon. Beautiful," puji Irfan.

Ayuni tersengih. Irfan dah mula dengan ayat-ayat manisnya...

"Ehem... Encik Irfan, kami serahkan Cik Ayuni kepada Encik Irfan malam ni ya. Jaga dia elok-elok tau. Lagi satu, pastikan dia makan dengan kenyang ya. Kami tak nak masak untuknya malam ni," ujar Munirah.

LELAKI PALING BAHAYAWhere stories live. Discover now