Bab 2

10K 23 0
                                    

2013

"SELAMAT pagi, doktor!" Seorang pekerja yang baru sahaja ditugaskan di kaunter pertanyaan yang bernama Yati menyapa. Doktor berkaca mata dan berkumis tebal itu hanya mengangguk lalu senyum. Nampak garang saja senyumannya apabila kumisnya membentuk senyuman.

Yati terus menyambung kerjanya. Doktor tadi dibiarkan sahaja. Tak perlu pandang lama-lama. Doktor itu sudah berpunya. Itulah yang dia dengar dari mulut beberapa orang rakan barunya yang memang kuat bergosip ketika sedang makan tengah hari di kafetaria ketika masa rehat.

"Doktor Saiful ke yang kau maksudkan doktor kumis tebal tu?" tanya Maisarah, ketua jururawat di hospital itu saat Yati mula bercerita tentang doktor itu ketika hari pertama dia bekerja di hospital ini. Yati mengiakan.

"Dia dah ada bini dua. Anak seorang saja. Bini yang pertama mandul. Itulah yang aku dengar." Yati dengar sahaja Maisarah membebel macam minah gosip. Yati tak perlu mencelah dan bertanya. Maisarah menceritakan setiap inci cerita doktor itu dari A sampailah ke Z. Hebat Maisarah! Patutlah dia boleh jadi ketua jururawat. Semua cerita dia tahu!

"Tapi, dia memang rapat dengan semua orang. Kiranya, kalau kau bersembang dengan dia, kau takkan tahu yang dia ni sebenarnya berbini. Memang sempoi, kadangkala nakal. Bini dia, dua-dua orang, memang tak pernah kisah dengan siapa dia keluar. Happy kan hidup macam tu? Tak ada orang kawal kita walaupun kita dah kahwin," sambung Maisarah yang sudah tidak mampu berhenti bercakap. Yati hanya angguk-angguk geleng-geleng saja ketika itu.

Kring! Kring!

"Yati, ajak Kak Mai masuk dalam bilik saya sebentar." Suara dari telefon di hadapan mengejutkannya daripada lamunan.

Alamak, kenapa pulak yang dia ajak aku dengan Kak Mai masuk dalam bilik ni. Aku baru nak semak rekod pesakit yang dia bagi tadi, getus hati Yati yang tertanya-tanya.

Yati tak banyak tanya. Lantas dia telefon Maisarah dan memberitahu yang Doktor Saiful mahukan mereka berada di dalam biliknya. Sempat Maisarah berseloroh. "Apalah yang penting sangat sampai tiba-tiba dia ajak masuk dalam bilik ni? Dia sangap ke?"

Maisarah gelak kuat di hujung talian. Jujurnya, Yati kurang selesa saat Maisarah berseloroh sebegitu rupa. Lawak lucah bukan kebiasaan Yati. Dia lahir dalam keluarga di mana semuanya tidak pernah menuturkan lawak lucah sebegitu rupa. Lawak lucah bukan permainan dalam dunianya.

Saat Yati sedang sibuk mengemaskan fail-fail yang berselerak di atas meja, Maisarah muncul. Setelah membetulkan bahagian baju yang tidak kemas, terus mereka berjalan kaki seiringan menuju ke bilik Doktor Saiful. Bimbang kalau kelewatan mereka menyebabkan mood doktor itu berubah menjadi serigala yang mahu membaham sesiapa saja.

Yati ketuk pintu.

"Masuk!"

Selepas kedengaran suara Doktor Saiful dari balik pintu, pintu pun dibuka. Kelihatan seorang lelaki sedang duduk di kerusi berhadapan Doktor Saiful. Lelaki itu mengenakan baju putih dan seluar putih yang lusuh. Doktor Saiful pula macam biasa, kacak bergaya seperti seorang doktor yang digilai semua jururawat.

Lelaki yang berada di hadapan Doktor Saiful memandang tajam ke arah dua jururawat yang masuk ke dalam bilik itu. Kemudian, pandangannya dialih ke wajah Doktor Saiful. Yati pandang lama wajah lelaki itu.

Di atas baju itu, di bahagian dada, tertera perkataan. HOSPITAL MENTAL. Di lengan baju pula tertulis HAK MILIK KERAJAAN.

Melihat pada penampilannya, itu memang pesakit Doktor Saiful. Yati tak kenal pesakit itu sebab dia masih baru. Maisarah cam sangat siapa dia. Dia sangat kenal pesakit itu.

Lima tahun bekerja di hospital jiwa ni, Maisarah sangat arif tentang pesakit di hadapannya. Sangat-sangat arif.

"Maisarah, Yati, ada rekod pesakit 701, saya punya rekod lupa bawak pula hari ni? Maklumlah, dah bini pun dua, kadangkala saya sendiri lupa yang saya ada bini sampai banyak tu." Sempat lagi Doktor Saiful berseloroh.

Pesakit 701Where stories live. Discover now