Bab 3

14.8K 22 0
                                    

SAFIAH kemaskan tudung. Yang senget di kiri, dikemaskan. Yang senget di kanan, dikemaskan. Perempuan kalau pakai tudung memang lambat. Dah lari daripada kehendak asal nak menutup aurat. Nak belit sana sini. Kadang-kadang dah sampai jadi sarang tebuan.

"Tudung ni kena pakai betul-betul. Bukan setakat nak tutup aurat aje. Tudung kepala ni melambangkan jati diri wanita jugak tau. Jadi, pakai elok elok." Itu pesan ibunya ketika dia pertama kali teringin mahu pakai tudung kepala. Bila ditanya kenapa baru sekarang pakai tudung, jawapannya seperti artis di TV. Baru dapat seru.

"Seru tu dah lama datang. Sejak lahir lagi. Kau aje tak perasaan," perli rakan Safiah suatu ketika dulu. Safiah sentap juga dengar ayat itu, tapi dia abaikan. Mata terpaku pada pantulan wajahnya di cermin bulat yang tergantung pada dinding kayu biliknya. Puas hati dengan penampilan, dia capai kunci kereta yang berada di atas timbunan baju tak berlipat di katil. Kemudian, lampu bilik dimatikan.

Kejap. Aku rasa aku tertinggal sesuatulah, detik hati Safiah tiba-tiba.

Suis lampu bilik dicapai semula. Selepas suis ditekan, biliknya kembali terang-benderang. Safiah bergerak ke arah kipas yang sedang menggeleng perlahan di atas meja. Lantas satu butang ditekan, gelengannya terhenti.

Okey, semuanya sudah siap. Lampu bilik ditutup semula.

"Hati hati, Piah. Kau keluar dengan Lara ke?" tanya ibunya yang sedang menonton rancangan realiti pencarian penceramah muda di dalam rancangan TV. Melihat Safiah lalu sambil membongkok hormat di hadapannya, dia perlahankan suara TV untuk bicara sebentar dengan anaknya.

Langkah Safiah dimatikan di hadapan ibunya. Punggungnya direbahkan perlahan di sebelah ibunya. Tangan ibunya dipegang erat. Mata memandang mata. Mulut Safiah buka untuk bicara.

"Safiah pergi sorang. Nak beli barang kejap. Kan dah nak mula berniaga." Safiah senyum.

Ibu tak senyum pun. Dia pandang TV, siaran sudah bertukar iklan ubat gigi. Ibu pandang Safiah semula. Alat kawalan TV diletakkan di atas kain batiknya yang sudah lusuh.

"Lara tak ikut? Bahaya ni sorang-sorang. Kau takkan tak tahu, kau tu perempuan, Piah. Mak risau. Kalau jadi apa-apa kat kamu macam mana?" Ibunya hela nafas panjang. Nampak kerisauan sudah mula mencucuk hati ibunya. Rasa berat benar malam ini mahu benarkan Safiah keluar seorang diri.

"Lara ada kerja. Dia kan dah nak bertunang. Safiah call dia tadi, katanya malam ni dia ada makan-makan dengan keluarga. Malaslah nak ganggu dia." Safiah beri alasan. Dia tak bohong. Memang benar dia sudah telefon rakannya itu. Dan memang benar itulah alasan yang rakannya itu beri. Tak tahulah pula kalau Lara yang menipu. Apa pun, dia sudah berkata benar di depan ibu. Menipu ibu itu derhaka namanya.

"Tak apalah. Kau pergi ajelah. Hati-hati, kalau ada masalah, jangan lupa call," pesan ibunya. Siaran TV menunjukkan pengacara sedang berbicara. Ibunya capai alat kawalan TV dan menguatkan suara. Safiah ambil tangan ibunya lalu dicium. Safiah peluk ibu. Kasih ibu sampai ke syurga!

Erat.

Sangat erat.

Agak lama.

Ibunya rasa lain macam dengan apa yang Safiah lakukan. Safiah tak pernah peluk ibunya. Itu kali pertama. Safiah pandang ibu sekali lagi. Dia bangun dan keluar ke kereta. Tidak sampai lima minit, keretanya sudah berada di atas jalan.

Lampu kereta Safiah hilang di persimpangan. Resah ibunya tiada siapa tahu.

DI dalam kereta, telefon Safiah berdering.

"Helo, Lara? Aku driving. Jap aku on hands free," kata Safiah.

"Okey," balas Lara dengan mudah.

"Kenapa call aku?" tanya Safiah terus terang.

"Tak ada. Ni ha, mak kau call aku. Dia cakap kau keluar rumah. Dia risau. Kenapa kau tak ajak aku?" tanya Lara.

Safiah mula rasa kurang selesa. Ya, dia bukannya keluar untuk membeli barang sahaja. Dia mahu tenangkan diri. Ada kesakitan dalam hatinya yang dia hendak hilangkan. Lara belum tahu kisah itu. Kalau boleh, dia tak nak Lara tahu. Tapi, apa guna sahabat kalau tidak diluah segala masalah.

"Lara, kau jangan cerita perkara ni kat sesiapa okey," pinta Safiah.

Lara diam.

"Aku dan lelaki sial tu, dah putus!" kata Safiah.

"What? Really?"

"Dan sekarang aku rasa menyesal gila dengan Aina. Aku tak patut rampas dia daripada Aina. Seharusnya, lelaki tu jadi milik dia. Kenapalah aku pergi rebut dia sampai macam tu. Last-last aku juga yang melepas. Tapi, apa aku boleh buat Lara. Lelaki gila tu yang nak aku. Bukan aku yang terkinja-kinja nakkan dia," cerita Safiah.

"Sabarlah, Safiah. Maknanya, apa yang berlaku ni menunjukkan yang kau tak ada jodohlah dengan dia. Nak buat macam mana?"

"Kalau boleh aku nak jumpa Aina dan minta maaf. Hanya kerana cinta ni, yang aku ingat boleh kekal, persahabatan kami terputus."

"Biarkanlah. Benda dah lepas! Move on. Anggap saja perkara tu dah lepas," kata Lara.

Safiah rasa calar dalam hati mengganggu malamnya. Namun, pantas dia hilangkan kegusaran dalam hati dengan tukar topik.

"Lara, by the way, congrats!"

Perbualan diteruskan. Pelbagai perkara mereka bualkan sepanjang perjalanan. Safiah perlu move on. Semua perlu move on. Hidup ini, kalau hanya terperangkap di tempat yang sama dalam masa yang agak lama, masalah akan menyelubungi hidup sampai bila-bila. Jadi, move onlah. 

Pesakit 701Where stories live. Discover now