ARJA seorang penganggur yang sedang menunggu posting guru sedang lepak-lepak di hadapan warung burger rakannya. Arja hendak pergi mengajar kelas tuisyen yang dia ambil untuk menambah pendapatan sampingan. Sebelum dia bergerak ke pusat tuisyen, selalunya dia akan lepak sebentar di warung burger milik rakannya. Balik rumah awal-awal pun bukan ada apa pun yang best.
"Filem apa yang best sekarang ni?"
Arja yang sedang duduk menunggu sambil silang kaki memandang rakannya yang sedang sibuk memasak daging burger di atas dapur. Bau kicap menusuk hidung. Perut rasa lapar nak mampus!
"Macam-macam. Best ni subjektif. Kalau aku kata filem ni best, kau akan kata tak best. Entahlah. Aku tak ada jawapan spesifik untuk soalan kau. Kau nak cerita yang macam mana?" tanya Arja lagi.
"Aku nak..."
"Eh, bro. Nanti sembang lain. Aku dah lewat. Sorry, bro. Burger tu kau bagi orang. Nanti aku balik nanti kita borak lain," kata Arja selepas menyedari yang dia rupanya ralit dan terlewat. Jam sudah hampir menunjukkan lima minit ke pukul 8.30 malam.
Arja tunggang motosikalnya dengan laju sehingga dia tiba di satu simpang empat. Arja bersedia tenang menunggu lampu bertukar hijau. Ketika itu, hon berbunyi tidak henti-henti dari kenderaan yang sedang bergerak dari sebelah kiri jalan. Ada kereta yang berhenti menunggu lampu isyarat sedangkan itu ialah lorong beri laluan.
Ketika ralit menunggu lampu, sebuah kereta yang memecut laju lalu di hadapannya. Arja lihat seorang perempuan yang wajahnya pucat memandu kenderaan tersebut. Di sebelahnya lelaki yang Arja sangka kekasih si perempuan tersebut. Arja dan perempuan itu sempat bertemu mata. Arja buat tak endah. Dia tak kenal pun perempuan itu.
Lampu isyarat bertukar hijau. Arja kejar masa.
"Nanti tak pasal-pasal aku kena sound dengan tauke pusat tuisyen. Aduhai! Lambat lagi!"
"SIAPA awak?" tanya Safiah sambil tangannya memegang stereng kereta. Dia sendiri tak tahu ke mana dia harus pandu keretanya. Di sebelahnya, seorang lelaki yang dia tak kenali. Lelaki itu mengacukan pisau di pahanya. Safiah gementar. Namun, dia tidak tahu nak buat apa. Fikirannya yang waras diselaputi ketakutan.
Lelaki itu tidak mengendahkan soalan Safiah.
"Belok sini," arah lelaki itu tegas.
Safiah menurut.
"Berhentikan kereta di situ!" arah lelaki itu lagi.
Safiah perlahan-lahan memandu keretanya ke tepi jalan. Lantas dia menarik brek. Lelaki tadi menjauhkan pisau yang berada di atas paha untuk mengambil sesuatu dari dalam poket seluarnya. Safiah rasa ini ialah peluangnya untuk melarikan diri.
Dengan sepantas kilat, Safiah buka pintu kereta dan keluar dari kereta. Mujur dia tidak mengenakan tali pinggang keledar semasa memandu. Safiah lari tanpa menoleh ke belakang. Dia tidak tahu arah tuju. Apa yang penting, dia harus larikan diri sejauh mungkin. Malangnya, lariannya tidak jauh mana. Lelaki itu sempat merangkul Safiah dari belakang.
Pisau dihunus di tengkuk Safiah.
"Apa... apa... kau nak... daripada aku?" tanya Safiah teresak-esak. Rangkulan lelaki itu terlalu erat sehinggakan Safiah rasa sesak nafas.
"Kau, ialah permulaan pada semuanya," kata lelaki itu.
"Apa kau nak buat ni? Apa sebenarnya kau nak?!" tanya Safiah dalam keadaan menangis.
"Aku tak nak apa-apa. Aku cuma nak pinjam kau sebentar sahaja!"
"Lepaskan! Lepaskan!"
Safiah ditarik mendekati kereta. Badannya yang kecil tidak memerlukan lelaki itu untuk menggunakan tenaga yang banyak untuk mengangkat Safiah. Lelaki itu membuka bonet kereta. Safiah menjerit minta dilepaskan. Lelaki itu masukkan Safiah ke dalam bonet kereta dengan melemparkannya. Kepala Safiah terhantuk lantai bonet kereta dan pengsan.
Malam ini malam yang panjang untuk Safiah.
ARJA sedut sekuat hati. Air dari dalam gelas meluru masuk ke dalam straw mengisi ruang udara yang ada. Rongga mulut dibasahkan. Diikuti rongga tekak. Arja rasa lega. Rasa dahaganya hilang. Letih bertukar segar.
Malam makin menganjak tengah malam. Arja tak fikir untuk balik dulu ke rumah selepas selesai mengajar. Samad, rakan sekolahnya yang sudah buka gerai burger bakar mengajaknya untuk mencuba burger yang dia baru reka.
"Burger KLCC! Mari cuba! Free," kata Samad dalam talian. Ketika itu, dia sedang mengajar. Sedang pelajarnya sibuk menyudahkan soalan, dia keluar dari bilik dan menjawab panggilan Samad. Dia lantas telefon rumah beritahu ibunya yang dia akan pulang sedikit lewat. Ibunya tak kata apa. Kebenaran diperoleh.
Apa lagi, malam ini dia lepak sakanlah dengan rakannya. Berbaki 30 minit sebelum jam 11.00 malam, burger sampai di meja. Air sudah membasahi tekak tadi. Kini, burger bertingkat-tingkat itu pula bakal mengisi perut. Yummy!
"Ada ke orang akan habiskan burger tinggi macam ni. Ni lembu makan separuh pun dah kenyang, bro! Bapak tinggi!" Arja berseloroh melihat burger bakar yang meninggi di hadapannya. Sos lada hitam menjadi lelehan yang mengiurkan. Baunya yang enak menjadikan mulutnya terliur.
"Ada aje. Kaulah orang pertama. Kalau kau berjaya habiskan, maknanya burger ni boleh jual." Samad menjawab selamba.
"Oh, jadi aku ni jadi uji kaji kaulah? Macam mana kalau aku sakit perut?"
"Don't worry, aku ada julab. Kalau tak okey jugak, aku tanggung kos ubat kau kat farmasi?"
"Farmasi aje? Kau kejam!"
Samad ketawa mendengar ayat Arja.
"Kalau aku tak habiskan, membazir ni." Arja memandang burger yang berada di depannya.
"Tak membazirlah. Apa nak membazirnya. Benda ni kan aku bagi free. Macam biasalah, lepas kau makan, komen. Kau kan pengulas movie paling handal. Jadi, aku rasa, kau layak untuk test masakan baru aku. Jangan risaulah, takkan sakit perut punya. Aku gerenti!" Samad ketawa kecil selepas menyindir Arja yang selalu menulis ulasan filem melalui blognya.
"Burger dan movie bukan perkara yang sama. Kau ni pun, nak buat lawak tapi tak jadi," balas Arja.
Samad pandang warungnya yang tidak jauh dari tempat dia duduk. Beberapa orang gadis kelihatan sedang membelek menu burger yang digantung di depan warung. Samad beri isyarat untuk pergi menyambung tugasnya. Kain tuala putih yang berada di tangan diletakkan di bahu. Peluh dilap. Dia bangun dan tinggalkan Arja seorang diri.
Arja pandang burger. Garu kepala. Boleh ke dia habiskan burger ni?
Ketika Arja mahu mulakan makan, sebuah kereta polis kedengaran membunyikan siren. Arja dan Samad tidak pedulikan siren itu. Arja makan burger, Samad buat burger.
YOU ARE READING
Pesakit 701
Mystery / ThrillerUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3 dengan pembelian secara online dan penghantaran PERCUMA TAJUK : PESAKIT 701 PENULIS : KHAIRUL ZAMAN KHOBIN ISBN : 978-967-14675-0-3 HARGA : RM24/RM27 Aswad baru sahaja keluar dari Hospital Mental. Namun, d...