SAFIAH baru selesai beri barang dapur di pasar raya C-Mart. Barang di dalam troli dilihat berkali-kali. Dia pastikan supaya tak ada barang yang tertinggal. Walaupun rumahnya tidaklah jauh mana dari pasar raya itu, dia tak mahu buat kerja dua kali. Ada sos cili, ada marjerin, ada telur, ada makanan ringan dan daging burger.
Malam ini dia mahu buat burger sendiri. Dia ada azam nak buka warung burger sendiri dalam masa beberapa bulan lagi. Sudah lama dia menunggu SPA memanggilnya untuk temuduga. Namun, sehingga sekarang dia adalah penganggur yang hanya duduk di rumah.
"Mak nak pinangkan kau dengan Zahim, anak Kak Zarah tu. Laki Kak Zarah kau tu 'orang minyak'. Nanti kalau kau jadi isteri Zahim, kita boleh tumpang rezeki minyak sama-sama. Maklumlah. Petrol Ron 95 dah naik harga. Boleh bling-bling selalu nanti." Safiah rimas dengar ayat ibunya tempoh hari. Emaknya fikirkan duit saja dan bukannya kebahagiaan hidup.
Tiada siapa tahu Safiah sudah ada lelaki idaman hati. Tiada siapa tahu, lelaki idaman hatinya itu sudah lari mengejar perempuan yang lain. Tiada siapa sangka, lelaki yang Safiah sangka lelaki yang dia inginkan untuk jadi imamnya nanti rupanya buaya yang memang tidak pernah mengenal erti cinta.
Safiah diam. Tidak setuju ataupun setuju, dia tidak putuskan untuk beri jawapan. Dia tidak mahu memberi jawapan. Dia tak mahu fikir tentang kahwin. Dia mahu fikir tentang hidupnya. Azamnya ialah mencipta cerita hidupnya. Mencipta kejayaan. Dalam erti kata lain ialah mencipta sejarah hidupnya sendiri. Dia ada ijazah, takkanlah dia hanya layak jadi isteri. Maksud Safiah, ya, memang dia akan jadi isteri. Tapi, takkanlah tanpa ada kerja tetap yang setaraf dengan ijazahnya.
"Cool blog satu," kata Safiah selepas selesai menjeling papan menu. Selepas harga disebutkan, Safiah bayar duit. Dapat resit, dia terus berjalan ke arah kedai buku selepas beritahu yang dia akan datang semula dalam masa lima minit lagi. Dia malas menunggu di situ lama-lama. Beg-beg barangnya yang semakin menjadi beban diletakkan di tepi pintu masuk kedai buku tersebut. Tak usah bimbang akan pencuri. Tak ada siapa mahu ambil telur, sos cili, marjerin, jajan dan daging burger.
Safiah pegang buku novel setiap satu. Setiap kali buku itu diangkat dan berada di telapak tangannya, dia akan baca sinopsisnya dengan teliti. Kemudian, dia amati cover bukunya sehingga puas. Sebelum dia letakkan semula ke rak buku, dia lihat tanda harga.
"Mahalnya! Kalau aku ada duit banyak sekarang, memang aku borong habis," getus hati Safiah.
Harga novel itu mahal baginya sebagai seorang penganggur. Dia mahu baca karya baru. Namun, duit yang dia ada membataskan dia untuk beli novel baru. Dia letakkan novel terakhir yang dia pegang. Penjaga kedai melihat Safiah dengan senyuman. Safiah balas senyuman. Safiah keluar semula dari kedai buku tersebut. Langkah kakinya menuju ke gerai Cool Blog semula untuk ambil tempahan yang dah siap.
Sedap! Rasanya enak! Safiah hirup sikit demi sedikit Cool Blognya. Di sebelah tangannya yang lagi satu, penuh dengan barang-barang. Rasa berat. Sekejap lagi dia akan sampai ke kereta yang dia parkir di ruang bawah tanah pasar raya tersebut. Safiah cuba untuk bertahan. Namun, tangannya rasa lenguh.
Di tiang yang tertulis A12, dia berhenti. Lelah dilepaskan. Tangannya melepaskan beg yang membebankan. Safiah rehat sebentar bersama Cool Blog. Segar badannya dirasa. Selepas hilang penat, dia berjalan semula. Kalaulah ada orang mahu tolong, pasti kerjanya akan jadi lebih mudah. Dia pandang sekeliling, semua pengunjung pasar raya itu sedang buat hal masing masing.
Di satu sudut, satu famili sedang seronok berbual-bual sambil berjalan masuk ke dalam pasar raya. Tak mungkin mereka akan menolong. Dia rasa hampa. Dia gagahkan juga mengangkat beg-beg plastik yang berat.
Kalau ada lelaki hot dan gentleman yang nampak aku, confirm dia akan tolong aku. Haisy, getus hatinya lagi.
Bagaikan mimpi, seorang lelaki bertubuh sasa menyapa tiba-tiba. Tanpa menyoal, lelaki itu menghulurkan tangan mahu membantu. Safiah terpinga-pinga pada mulanya melihat seorang lelaki yang dia tak kenali datang menolongnya. Tetapi, dek kepenatan, dia biarkan sahaja lelaki itu mengangkat barang-barangnya. Lengannya yang dah rasa nak tercabut tadi sudah mula hilang lenguh.
YOU ARE READING
Pesakit 701
Mystery / ThrillerUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3 dengan pembelian secara online dan penghantaran PERCUMA TAJUK : PESAKIT 701 PENULIS : KHAIRUL ZAMAN KHOBIN ISBN : 978-967-14675-0-3 HARGA : RM24/RM27 Aswad baru sahaja keluar dari Hospital Mental. Namun, d...