Bahagian 1

13 1 0
                                    


Aina Saffiya berjalan menyelusuri pesisir pantai dengan kakinya menyentuh pasir halis yang lembut dan memutih. Deru angin yang bertiup terasa hangat di hujung petang. Matahari mula mahu mengundur diri namun hati Aina berat untuk membenarkan sinar mentari itu menghilang. Terasa tidak mahu dunia sekeliling gelap seperti kelam hatinya yang dibelenggu luka terpendam.

Aina sampai di rumahnya tepat jam 7 malam. Dia ternampak sebuah motorsikal Honda Cup di perkarangan rumahnya, yang pasti itu bukan milik abah. Aina menaiki tangga perlahan-lahan. Terkejut Aina kerana pintu rumah dibuka dengan tiba-tiba. Muncul Saiful, kawan abang Aina di muka pintu. Terjawablah teka teki di hati Aina siapa pemilik motor tersebut.

"Baru balik Aina?" tanya Saiful lembut.

Aina tak menjawab. Geli pula Aina mendengar pertanyaan Saiful. Bukan dia tidak tahu siapa Saiful tu sebenarnya. Aina langsung tak berkenan dengan perangai Saiful. Satu-satunya mat rempit kampung ini.

Lagi Aina tak berkenan apabila Aina dapat tahu abangnya berkawan dengan Saiful. Dia pernah mengadu dengan mak tetapi mak tidak mengendahkannya. Malah mak Aina cakap eloklah abang Aina berkawan dengan Saiful. Saiful tu anak orang kaya.

Aina cepat-cepat naik ke atas dan bertembung dengan Amran, abang Aina.

"Aina, bagi tahu mak, aku tak balik malam ni. Lepak rumah kawan." Amran sempat berpesan sebelum Aina masuk ke bilik.

"Abang tak kerja ke esok?"

"Tak. Aku dah berhenti."

"Berhenti lagi?"

"Hah...! Jangan sibuk la kau." Amran menutup pintu.

Malas nak mendengar bebelan adik perempuannya. Aina tersentak. Aina sangat kecewa dengan Amran. Masih lagi tidak mahu mematangkan diri, memikul tanggungjawab. Aina mempunyai empat orang adik beradik. Aina anak yang kedua. Amran anak sulung, berusia, 26 tahun, manakala dua lagi adik, Amira 16 tahun dan Asina, 11 tahun.

Pada pandangan Aina, Amran perlu memikul tanggungjawab untuk membantu mak dan abah. Mereka sekeluarga bukanlah sebuah keluarga berada. Ayah hanya menjadi pembantu di kolam ikan milik ketua kampung. Mak juga terpaksa bekerja walaupun mempunyai penyakit darah tinggi yang teruk. Usia mak dan abah yang sudah melebihi setengah abad membimbangkan hati Aina jika mereka terus bekerja.

Namun Amran tidak mengerti semua ini, yang dia tahu hanyalah keseronokan dan kepuasan diri. Bekerja bila dia suka dan berhenti bila dia tak suka. Berkerja dan berhenti sudah menjadi rutin Amran. Jika dapat gaji, duit tersebut habis dijoli. Langsung tidak dihulur kepada mak dan abah. Abah sudah malas nak menegur dan mak hanya membiarkan sahaja sebab Amran adalah satu-satunya anak lelaki mereka. Aina benci.

Usai solat isyak, Aina keluar bilik. Sakit mata Aina melihat rumah berselerak. Sebelum keluar rumah tengahari tadi,  Aina telah siap berkemas. Ruang tamu dan dapur sudah cantik dan kemas. Entah apa yang abang dan si Saiful tu buat sampai bersepah rumah. Aina membersih dan mengutip pinggan dan gelas kotor. Dia turun ke dapur. 

Sekali lagi Aina berang. Pinggan-pinggan yang kotor tertimbun dalam sinki. Dia pasti, itu adalah kerja Amira dan Asina. Tidak membasuh pinggan selepas makan nasi. Mak dan abah tiada di rumah kerana menghadiri kenduri saudaranya. Mak dan abah bermalam di sana jadi esok barulah mereka berdua pulang. Terpaksalah Aina mengemas semuanya. Amira dan Asina tidak tahu menghilang ke mana.

Selepas siap mengemas dan membasuh pinggan, Aina memanaskan lauk dan menyimpannya. Tiba-tiba terdengar suara Amira dan Asina ketawa. Aina naik ke ruang tamu.

"Baru balik? Kamu berdua ni ke mana? Malam – malam macam ni baru balik."

"Kami pergi rumah kawan jelah." Amira menjawab.

"Mentang-mentang mak dan abah tak ada, kamu ambil kesempatan ye."

"Bisinglah akak ni. Dahlah Mira nak mandi dulu." Amira memang suka melawan. Asina hanya mengikut Amira. Tidak menjawab.

Aina geram. Dia berasa sudah tidak sabar lagi untuk pulang ke kampus. Hatinya terluka bagai dihiris berkali-kali. Keluarganya tetap seperti itu, dari dulu lagi. Aina sendiri tidak pasti ke mana hala perginya keluarga yang hidup seperti itu. 

Perasaan Aina bercampur baur. Kadang kala Aina merasakan dia tinggal bersama orang gila. Semua ahli keluarga sakit jiwa. Sehingga penyakit itu berjangkit kepadanya. Aina bertekad untuk pulang lusa. Dia tak sanggup lagi menahan rasa, memendam duka. Dia tidak mahu berdosa pula kepada mak dan abah. 

"Cukuplah." Kata hati Aina.

Amukan JiwaWhere stories live. Discover now