Keesokan pagi, Aina mendapat emel daripada Faruq yang tertulis,
"Maafkan saya Aina. Saya tak dapat tunaikan janji saya pada Aina. Urusan jodoh urusan Allah. Moga Aina menemui pengganti yang lebih baik."
Aina kaku. Dia benar-benar tidak menyangka ini kesudahan pada kisah cintanya. Hanya air mata menjadi teman dan pengubat luka.
Keadaan diri Aina berubah menjadi lemah dan lesu. Aina telah hilang semangat. Dia benar-benar patah hati. Sudahlah konflik dengan keluarganya menekan di jiwa. Kisah cinta yang tidak sampai ke jinjang pelamin itu telah menambah luka di hati. Tekanan yang dihadapi Aina seakan-akan membunuh Aina secara perlahan-lahan. Aina mula menyalahkan Tuhan. Dia merasakan Tuhan tidak sayangkan dia.
"Ya Allah, aku sudah lakukan segala-galanya, solat, puasa, sedekah, bangun malam, iktikaf di masjid tapi apakah tiada satu pun dikira olehMu? Segala impian aku hancur sehancurnya hati aku sekarang." Luahan hati Aina itu seperti menyatakan rasa putus asanya dengan Tuhan.
Peperiksaan akhir telah tamat. Aina cuba melakukan sedaya yang boleh walaupun dia tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran. Tekanan hidup yang dihadapi mengatasi segalanya.
Aina tekad dengan keputusannya untuk terus menetap di Selangor dan tidak mahu pulang ke kampung buat masa sekarang. Dia akan mengajar tuisyen buat sementara. Aina rasa dia mampun bertahan kerana duit biasiswa masih berbaki banyak hasil daripada sikap jimat cermat semasa belajar dulu.
Cuma...sesuatu telah berubah pada diri Aina. Pakaian dan hati Aina. Aina kini tidak lagi berjubah dan bertudung labuh, hanya berseluar dan bert-shirt lengan panjang, kemudian bertudung bawal. Pakaian yang dulu telah Aina simpan kemas di dalam sebuah beg.
Hatinya tidak dapat menahan gelojak jiwa yang terpendam maka dia hilang kawalan. Aina seakan-akan memprotes pada takdir hidup sendiri.
Selepas dua bulan membina hidup sendiri di perantauan, Aina pulang ke kampung. Mak, abah dan ahli keluarga yang lain terkejut dengan perubahan terhadap diri Aina. Namun tiada siapa yang berani bertanya. Aina juga tidak mahu bercakap tentangnya. Sikap Aina di rumah juga berubah. Panas baran. Cepat melenting mengalahkan Amira.
Aina hanya balik dua hari sahaja kemudian pulang semula ke Petaling Jaya. Itulah tempat tinggalnya sekarang. Mak dan abah Aina tidak dapat berkata apa-apa. Jauh di sudut hati mak Aina, dia berasa sedih melihat keadaan Aina. Dia dapat rasakan Aina sedang sakit dan sangat berat sakit yang ditanggung Aina itu.
"Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku. Aku akui aku bukanlah seorang ibu yang baik tapi aku mohon kepadaMu ya Allah selamatkan Aina Saffiya, anak gadisku. Jangan biarkan dia menanggung deritanya sendirian. Ya Allah, dia hambaMu yang taat, yang setia, aku suka dan gembira dengan dirinya yang dulu. Aku mohon kepadaMu kembalikan kepadaku Aina Saffiya yang baik, sopan dan lemah lembut, malah seorang yang bersemangat dan tidak putus asa."
Mak Aina berdoa sungguh-sungguh kepada Tuhan yang satu. Tuhan yang yang mendengar dan memakbulkan permintaan hamba-hambaNya. Pada masa dan keadaan yang terbaik.

ANDA SEDANG MEMBACA
Amukan Jiwa
Short StoryAina Saffiya, anak gadis yang berusia 21 tahun. Seorang pelajar jurusan pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Perwatakannya lembut dan bersopan santun dengan pemakaian jubah dan tudung labuh. Sejuk setiap hati yang memandangnya. Namun hatiny...