"KALAU Ina tak mahu dengar cakap papa, papa nak Ina keluar dari rumah ni! Tapi ingat, sekali Ina keluar dari rumah ni, Ina bukan anak papa lagi!"
Ugutan dan dengusan keras Tan Sri Ali Saifuddin bin Ali Sarafuddin membuat Qistina tersentak. Air mata yang sedari tadi mengalir, kini tersembur semakin deras, tidak dapat dibendung lagi. Sampai hati papanya membuat ugutan sebegitu terhadapnya. Sampai hati papa...
Puan Sri Ani Suraya binti Muda turut menangis. Tidak sangka suaminya tergamak mengeluarkan kata-kata menidakkan hak Qistina untuk mengaku Tan Sri Ali Saifuddin sebagai bapa kandungnya. Walaupun hatinya marah terhadap kedegilan anak bongsunya itu, tidaklah sampai hendak dihalaunya anak itu. Qistina masih darah dagingnya. Masih anaknya. Dia pasti dengan pujukan demi pujukan, hati Qistina akan lembut jua.
"Apa papanya cakap ni?" Puan Sri Ani Suraya mahukan kepastian.
Tangisan Qistina semakin kuat. Bahunya terhenjut-henjut dek tangisannya itu. Sayu hati si ibu melihat anaknya menangis sebegitu.
"Saya dah hilang sabar dah dengan anak awak ni. Biar dia keluar dari rumah ni, degil sangat tak nak dengar cakap orang. Kalau ingat dah bijak sangat, pergi hidup sendiri. Papa tak nak tengok muka Ina lagi!" Bersama kata-kata itu, Tan Sri Ali Saifuddin berlalu meninggalkan ruang tamu rumah banglo mewah tiga tingkat itu.
Qistina berhenti menangis ketika melihat papanya berlalu. Hatinya sakit mendengar kata-kata papanya tadi. Namun Qistina pasti dengan keputusannya. Dalam hati, dia berdoa agar keputusannya tidak akan membuatkan dirinya tergolong dalam kalangan anak yang derhaka. Mana mungkin dia bisa digelar sebegitu sedangkan apa yang dipilih papa untuk dirinya tidak menepati suruhan agama.
Qistina memalingkan mukanya dan menatap wajah bondanya. Dia menghampiri ibunya yang masih kelihatan terkejut dengan kata dua papanya tadi. Dipeluk ibunya itu semahu hatinya.
"Mama, relakan Ina pergi. Maafkan Ina sebab tak sanggup tunaikan permintaan mama dan papa." Serak suara Qistina memohon keampunan daripada ibunya. Puan Sri Ani Suraya membalas pelukan anaknya itu. Sesuatu yang jarang-jarang dilakukannya. Apatah lagi anaknya kini sudah menginjak dewasa.
"Ina, jangan pergi, sayang. Ikut jelah apa yang papa suruh tu. Mama tak sanggup kehilangan Ina." Rayuan Puan Sri Ani Suraya sungguh merenggut hati halus Qistina. Direnungnya wajah ibunya dalam-dalam seolah-olah itulah kali terakhir dia akan menatap wajah ibunya itu.
"Ina tak boleh mama. Please understand. Ina doa suatu hari nanti mama dan papa akan dapat terima Ina kembali. Ina terpaksa pergi, mama. Ampunkan semua dosa Ina, mama. Halalkan makan minum Ina selama ni. Ina akan selalu doakan mama dan papa."
Qistina melepaskan pelukan ibunya dan menyeka air mata ibunya itu. Dikucupnya kedua-dua pipi Puan Sri Ani Suraya. Tangan kanan si ibu digenggam dan dikucup. Dengan perlahan, Qistina melepaskan genggaman. Dicapainya beg galas Nike di atas sofa dan tanpa berpaling lagi Qistina keluar meninggalkan rumah. Dia langsung tidak berniat mengemaskan barangnya atau mengambil apa-apa dari kamar tidurnya. Apa yang dia perlukan semuanya ada di dalam beg galas itu. Sudah memadai baginya.
Panggilan dan tangisan si ibu tidak dipedulikan lagi. Kakinya terus melangkah. Syukur malam masih muda. Hati tidak terlalu risau mengenangkan dirinya yang berjalan keseorangan. Kenderaan masih banyak yang lalu-lalang di jalan raya. Hilang sedikit kegusaran di hatinya ditemani hiruk-pikuk deruan enjin di jalan raya.
Qistina tahu ke mana harus dituju. Dia hanya perlu meredah jalan sejauh satu kilometer sebelum bertembung dengan jalan utama. Di jalan utama nanti, lagi mudah untuk mendapatkan teksi bagi menyambung perjalanannya.
Tercungap-cungap Qistina berjalan. Dia mahu lekas sampai ke jalan utama. Takut terlalu lewat sampai ke rumah sahabat sejatinya.
'Ya Allah. Biarlah Timah ada di rumah. Aku tak tau lagi ke mana hendak aku tuju kalau Timah takde nanti.' Qistina tidak mahu menelefon Timah mengkhabarkan kedatangannya. Dia tidak mahu Timah menghubungi sesiapa sehinggalah dia selamat sampai ke rumah Timah. Biarlah kedatangannya ini dirahsiakan. Qistina pasti Timah akan menyimpan rahsianya apabila dia mendengar segala cerita daripada A-Z sebentar nanti.
YOU ARE READING
Demi Bahagia Ini
RomanceSOFIAH QISTINA, gadis yang dibesarkan dengan segala harta dan kemewahan. Namun dia hanya dahagakan kasih dan sayang papa dan mamanya. Paksaan papa Qistina, Tan Sri Ali Saifuddin, untuk mengahwini lelaki durjana bernama Remy tidak diendahkan demi me...