SUDAH dua jam bas meninggalkan Terminal Bas Hentian Duta. Timah sudah pun terlentok di sebelah Qistina. Qistina masih memandang kosong ke luar tingkap. Bas ekspres masih meluncur laju membelah Lebuh Raya Utara-Selatan. Tidak sabar rasanya untuk memeluk Mak Esah dan merasakan belaian kasih daripadanya. Mak Esahlah yang terlalu memanjakannya selama ini, bukan Puan Sri Ani Suraya. Rasanya, dia tidak pernah merasakan air tangan ibu kandungnya sendiri. Semuanya Mak Esah. Setitik susu badan ibu kandungnya pun, tidak pernah dia rasa.
Namun, rasa kasih dan sayangnya kepada Puan Sri Ani Suraya tidak pernah pudar dari jiwanya. Jasa ibu kandung yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan tidak akan dilupakannya. Biarpun Puan Sri Ani Suraya terlalu sibuk sehingga tidak sempat membesarkannya tetapi dia tahu mamanya menyayanginya, dengan caranya yang tersendiri.
Pagi tadi Qistina menerima mesej daripada kakaknya memintanya pulang ke rumah dan memohon kemaafan daripada papanya. Qistina dinasihati agar akur dengan permintaan papanya agar kehidupannya di kemudian hari lebih terjamin dan kekal mendapat sokongan papanya. Qistina tersenyum mendapat mesej daripada kakaknya itu. Ingin sahaja dia membalas bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah, dan bukan daripada papanya. Namun dia hanya mampu bertanya siapakah yang meminta kakaknya itu menghantar mesej kepadanya. Balasan yang diterima, 'mama.'
Pasti mamanya memikirkan bahawa dirinya tidak mampu berdikari. Risau dengan keadaan dirinya yang nekad meninggalkan rumah daripada tunduk pada permintaan papanya. Namun mama tidak tahu kecekalan hatinya. Walaupun Qistina anak bongsu, peribadi dan perwatakannya lebih cekal dan kuat daripada kakak serta abangnya sendiri.
Tiba-tiba Qistina merasakan lengannya dikuis lembut. Dia memalingkan mukanya. Timah terkebil-kebil sambil menggosok matanya.
"Kau tak tidur ke?" Soal Timah sambil menekup mulut yang tiba-tiba menguap.
"Aku tak ngantuklah..."
Timah mengamati wajah Qistina. Matanya melekap kepada kecantikan Qistina yang begitu terserlah. Sesetengah orang bila pakai tudung lawa, tetapi bila freehair, tidak lawa. Dan ada orang, sebaliknya pula. Namun Qistina begitu anggun ketika mengenakan tudung dan ketika freehair juga begitu. Qistina memang lain daripada yang lain. Begitu classy di mata Timah. Kekayaan dan kemasyhuran keluarganya, langsung tidak menghilangkan sifat rendah diri dalam jiwanya. Namun ada sesuatu mengenai Qistina yang membezakannya daripada perempuan lain.
"Apasal kau tenung aku macam tu? Tudung aku tak betul ke? Susah jugak ek nak pakai tudung bawal ni?" Sambil bertanya, Qistina mengusap-ngusap tudung di kepalanya.
"Aku rasa tudung bawal ni sesuailah dengan kau. Kau nampak cantik sangat, Ina," ikhlas Timah menyuarakan pendapatnya. Pagi tadi, ketika Qistina keluar dari bilik siap berbaju kurung cotton berwarna putih dengan bunga-bunga kecil berwarna ungu muda bersama tudung bawal, juga perubahan Qistina. Rambut Qistina yang panjang, lurus serta ikal, tidak lagi kelihatan. Disorok kemas dalam ikatan tudung di kepala.
"Aku pakai tudung bukan berniat nak cantik, Tim." Qistina tidak selesa mendengar kata-kata Timah sebentar tadi.
"Eh, aku ikhlas bagi pendapat aku je, Ina. Kau tu, memang dah lawa mengalahkan ratu cantik kat Malaysia ni. Jadi pakai apa pun, kau akan tetap cantik jugak my fren."
Qistina tergelak. Dicubitnya lengan Timah yang juga ketawa mendengar lawaknya sendiri.
"Aku jeles tengok lesung pipit kau tu... kat pipi ada lekuk, kat dagu ada lekuk... tu yang buat Along gila bayang kat kau tu." Timah masih berjenaka.
"Dulu Along kata kau ni versi Melayu pelakon Preity Zinta." Teringat Timah akan kata-kata abangnya suatu waktu dahulu yang pernah membandingkan Qistina dengan pelakon terkenal Bollywood itu. Semua kerana lesung pipit sebelah di wajah Qistina. Sama seperti Preity Zinta.
YOU ARE READING
Demi Bahagia Ini
RomanceSOFIAH QISTINA, gadis yang dibesarkan dengan segala harta dan kemewahan. Namun dia hanya dahagakan kasih dan sayang papa dan mamanya. Paksaan papa Qistina, Tan Sri Ali Saifuddin, untuk mengahwini lelaki durjana bernama Remy tidak diendahkan demi me...