QISTINA menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke dalam bilik. Temu duga pertama sejak pulang ke tanah air. Pelik juga mengenangkan bagaimana Qistina boleh berada di sini. Ketika sibuk bermanja-manja dengan Mak Esah, berulang-alik ke pekan bersama Timah, Qistina terbaca iklan di surat khabar The Star mengenai peluang pekerjaan ini. Walaupun pekerjaan ini langsung tidak berkaitan dengan bidang yang diceburinya, namun iklan yang tertera di surat khabar menarik perhatiannya.
Female Muslim companion needed urgently for an elderly woman. Contract for 1 year only. Location in London.
Contact 03-2010 ****"Kau serius ke, Ina? Bukan kau nak jadi accountant ke? Ni bukan kerja untuk jadi accountant. Yang kau beria sangat nak apply tu kenapa?" Timah menyoal Qistina sebaik sahaja Qistina menunjukkan iklan tersebut kepada Timah. Dia hairan betul dengan minat yang dipamerkan Qistina terhadap keratan akhbar itu.
"Tim, kau tak nampak ke ni. Location in London. Peluang keemasan ni! Kontrak kerja dia setahun je. Tak lama. Bila aku dah ada kat sana nanti, lagi senang aku nak cari kerja kat sana. Ni kira macam loncatan aku jelah," jelas Qistina.
"Biar betul kau, Ina. Habis tu, nak buat apa ni?" Timah masih terpinga-pinga.
"Hesy, blurlah kau ni. Aku call lah nombor tu dulu. Buat appointment untuk temu duga. Tak tentu dapat lagi ke tak."
Sehari selepas Qistina membuat panggilan, dia dipanggil untuk ditemu duga. Qistina meninggalkan rumah Pak Atan dan Mak Esah kurang dua hari daripada tarikh yang dijanjikan.
"Alah, Tim. Janganlah monyok. Nanti lepas interview, aku call kau. Terima kasihlah bagi kunci rumah kat aku. Nanti kau balik lusa, aku tunggu kau kat rumah."
Timah hanya mencebikkan wajah. Qistina ketawa melihat gelagat kawannya itu. Sedih meninggalkan Timah, Pak Atan dan Mak Esah tetapi digagahkan juga pulang berseorangan ke Kuala Lumpur.
'Ya Allah. Bukakanlah peluang pekerjaan ini untuk hamba-Mu Ya Allah, sekiranya ia terbaik untukku...'
Qistina membetulkan baju kurung di badannya. Tidak lama kemudian, dia dipanggil masuk oleh seorang perempuan Cina yang duduk di meja tidak jauh dari pintu bilik.
"Awak boleh masuk sekarang," jemput perempuan tadi penuh sopan. Perempuan Cina itu bangun dan membukakan pintu bilik untuk Qistina. Senyumannya mesra.
Qistina bangun dan mengambil nafas dalam-dalam. Pelik juga dia dipanggil hadir ke sesi temu duga untuk menjadi seorang peneman atau companion di pejabat yang serba mewah ini. Sangkanya sesi temu duga akan diadakan di rumah atau pun di hospital.
Dengan lafaz Bismillah, langkah diatur masuk ke dalam bilik pejabat dengan perlahan. Dia hanya memaut beg galasnya. Tidak terfikir untuk membawa sebarang sijil bersamanya, memandangkan pekerjaan yang dimohon tidak bersangkut-paut langsung dengan kelulusannya. Pintu ditutup rapat perempuan Cina tadi.
'Ya Allah, besarnya bilik ni. Orang yang nak interview aku ni, bos besar ke?' Fikir Qistina bersendirian.
Matanya kini tertumpu ke meja besar di dalam bilik itu. Seorang lelaki sedang duduk membelakangkan tingkap kaca sambil tunduk mengamati dokumen di atas mejanya. Qistina menghampiri meja besar itu sehingga tubuhnya bersentuhan dengan kerusi di hadapan meja itu.
"Selamat pagi, encik," Qistina menyapa, sedikit gugup. Lelaki itu mendongak. Mata bertentang mata.
'Ya Allah... Dia ni mat salih ke? Mata biru, rambut hitam pekat, kulit cerah tapi ada iras-iras campuran di wajahnya.' Qistina menalan air liurnya. Semakin gugup dia ditenung begitu tajam oleh lelaki tadi. Lama mata mereka saling bertaut, mengundang debaran di dada Qistina.
YOU ARE READING
Demi Bahagia Ini
RomanceSOFIAH QISTINA, gadis yang dibesarkan dengan segala harta dan kemewahan. Namun dia hanya dahagakan kasih dan sayang papa dan mamanya. Paksaan papa Qistina, Tan Sri Ali Saifuddin, untuk mengahwini lelaki durjana bernama Remy tidak diendahkan demi me...