Aku bangkit, tapi tersungkur.Aku cuba untuk bangkit lagi, tersungkur jua.
Aku cuba untuk berkira-kira dengan diri sendiri bagi meneruskan hijrahku. Bagi yang pernah atau sedang melalui situasi serupa denganku, pasti mudah menyelami akan kisahku.
Aku mengambil masa bertahun lama dalam menyesuaikan diri dalam hijrah menuju Tuhanku.
Adakala, aku berhenti dalam tempoh masa yang lama untuk meneruskan selangkah hijrah sesudah jatuh tersungkur dilembah hinaan manusia disekitar.
Segala puji syukur kepada Rabb, yang masih memberiku kesempatan untuk bersama dengan Mak. Meskipun Mak sudah kelihatan semakin tua, semakin uzur.
Aku mendapatkan semangat yang luar biasa daripada Mak tiap kali aku lemah dan merebah jatuh dek kerenah manusia yang sering saja menggantikan tugas Allah, Yang Maha Menghakimi.
"Mar, Mak harap Mar akan terus melangkah jauh lebih baik dalam hijrah kali ini. Sesungguhnya, Allah rindu untuk mendengar esak-tangis Mar dihadapan-Nya. Namun tidak seperti dahulu, hijrah Mar kali ini hendaklah untuk mendapatkan redha Allah semata, bukan manusia."
Pesan Mak padaku dengan suara yang terketar-ketar kesan keuzuran.
"Bantu Mar, Mak. Teruslah ada sentiasa bersama Mar. Mar perlukan sokongan Mak untuk kuatkan semangat Mar."
Sesungguhnya, aku takut kehilangan Mak. Entah apa akan jadi padaku bila Mak pergi.
"Mar, tiada yang kekal abadi didalam dunia ini melainkan Allah azza wa jal. Berharaplah hanya pada Allah, sayang.
Hatta kesedihan dan kesakitan Mar ini juga tidak akan kekal lama. Allah akan menggantikan dengan senyum tawa, percayalah.
Seperti mana Allah menghadiahkan keindahan pelangi sesudah hujan buat makhluk disegenap penjuru alam.
Begitulah jua susunan takdir Allah bagi manusia, sebaik-baik makhluk ciptaan-Nya. Kita sebagai manusia harus tabah dan redha dalam menjalaninya.
Usahlah Mar gusar dan takut akan kehilangan Mak. Kerana hakikat maut itu sudah termaktub dalam janji Allah. Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati.
Memadailah sekiranya Allah itu sentiasa berada bersama kita dibandingkan dengan kebersamaan seluruh makhluk sekalian alam."
Mak seperti mengetahui apa yang aku fikirkan pada waktu itu. Nasihat Mak bukan hanya menjawab segala kegusaran dihatiku, tapi diselitkan juga kata-kata penawar untukku.
Aku mendakap erat tubuh Mak seakan-akan itulah pelukan terakhirku buat Mak.
"Maryam Saeda, semoga Allah mengampunkan dosa-dosamu. Moga jua redha Allah sentiasa bersamamu, anakku."
Itulah kata-kata terakhir Mak.
Entah bagaimana, aku terlelap disitu. Aku merasakan ketenangan yang luar biasa mendengarkan kata-kata Mak itu.
Aku mendapati Mak sudah terbujur kaku dipembaringannya. Mak meninggal dalam dakapanku.
"Allah. Allah. Allah."
Aku cuba untuk mengawal perasaanku tika itu.
Ingin aku menangis lemah, tapi untuk apa?
Ingin aku luahkan, pada siapa?
Ingin aku menjerit, berbaloikah?
Ingin aku berlari, arahnya dimana?
Ingin aku melawan takdir, aku ini siapa?
Aku menyedari hakikat disebalik pemergian orang-orang yang tersayang disekelilingku.
Allah jualah Tuhan yang Maha Esa. Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan-Nya.
Dari Allah kita datang, pada Allah jualah kita dikembalikan.
Disaat semua orang pergi meninggalkan aku, Allah jualah yang terus ada dan sentiasa menemani aku.
Oleh itu, sepenuh pengharapan dan keperluan jiwa dan raga itu aku serahkan hanya pada Allah, selayaknya.
YOU ARE READING
Jeritan Sepi Hijrah
SpiritualPenulis: Izzuewana Darias Sebuah cerpen pendek. Ada 10 part semuanya. Cerita tentang Kisah hidup gadis yang cuba berubah dan masalah yang sering muncul di sekitarnya.