Untuk cikgu yang paling dirindui tapi pernah juga paling aku benci.
Sebab Cikgu M la punca aku mendiamkan diri selama 10 tahun menulis tanpa berkongsi kepada sesiapa. Aku rasa menulis tu hanya untuk perkara yang terkandung rahsia-rahsia.
Selama ni aku hormat Cikgu M sebab dia mengajar subjek paling aku minat. Tatkala orang lain menyampah dengan KOMSAS, aku paling suka kalau ada KOMSAS waktu kelas BM. Teruja. Sebab dalam kelas BM ada peluang aku nak menulis. Markah BM aku sipi-sipi nak cecah 100% tapi sebab ego Cikgu M, dia kata mana ada penulisan sempurna maka dia sengaja tolak satu markah. Aku tak ambil hati pun. Aku menulis memang sebab kepuasan, bukan sebab nak markah.
Memang mulut Cikgu M ni puaka jugalah. Sentap je dengar. Terbukti ketulenan dia sebagai orang Melaka. Tapi bahasa dia bila berpuisi ya ampun; sungguh halus, berseni walaupun tengah marah. Tu yang buat aku tertarik kot.
Cumanya, aku tak boleh terima dia pernah marah aku sebab kata pantun aku buruk, macam sampah. Kalau buang dalam tong sampah pun, tak muat sebab menimbun sangat aura sampah tu.
Masa tu minggu paling bangsat untuk aku. Cikgu BI cari aku, pujuk rayu aku buat persembahan pantun untuk gimik pembukaan Minggu Bahasa. Dah la hari Jumaat lepas habis waktu sekolah baru dia nak bagitau mana sempat aku pergi cari rujukan kat library, Sabtu tu aku ada pertandingan dikir barat. Kerja rumah pun melambak tak siap sebab waktu prep aku gunakan untuk latihan dikir barat. Entah kenapa la aku setuju, mungkin sebab kesian kot. Cikgu BI kata, hari Ahad dia datang asrama nak tengok pantun aku.
Hari Sabtu lepas balik pertandingan dikir barat, aku terpaksa cuci baju. Asrama aku masa tu memang takde mesin basuh. Mampus jugak mendobi dua baldi baju pakai tangan. Dengan tak cukup tidur lagi sebab beriya betul buat latihan dikir barat lewat malam menjelang Subuh; sampai kena maki dengan penghuni asrama yang lain sebab bising orang takleh tidur hahaha.
Aku pulun buat kerja rumah jugak hari Sabtu malam Ahad tu tapi otak dah jammed. Lepas tu baru teringat yang cikgu BI nak tengok pantun aku. Maka malam tu aku berembun la tulis 10 rangkap pantun. Ghairah sangat menulis sebab mood aku masa tu tengah seronok, pasukan dikir barat aku menang kot. 😎
Bila siap, aku balik dorm nak bantai tidur sepuas hati sekali dorm dah kunci. Ketuk punya ketuk pintu dorm naharam sekoq pun tak mangkit nak buka pintu. Baru aku perasan, dah pukul 3 pagi. Kalau ada orang dengar pun, mesti takut nak bangun sebab suara aku masa tu dah macam hantu. Seminggu tak cukup tidur kot. Aku boleh bertukar menjadi raksasa bila kurang rehat. Maka aku main masuk je dorm mana entah, nampak katil kosong terus baring. Lantak la. Dah penat. Pantun punya pasal. Terkunci aku kat luar dorm.
Esoknya, hari Ahad tu cikgu BI datang tengok pantun aku. Cikgu BI kata okay dah pantun tu. Siap mintak team dikir barat aku yang menang tu (ehems bangga!) buat persembahan untuk perasmian Minggu Bahasa masa perhimpunan sekolah nanti. Tapi baca pantun dulu, lepas tu baru slot dikir barat.
Cikgu BI kabor, pasangan pantun aku nanti gadis bernama S. Teruja wei. Hensem kot aku pakai baju Melayu siap bertanjak. Makwe yang baca pantun pulak pakai kebaya. Dah la makwe cun. Fehhh.
Hari yang ditunggu-tunggu dengan bangganya aku baca pantun yang aku karang sendiri. Tepukan gemuruh betul masa perasmian tu. Malangnya bila aku turun pentas, jejak je anak tangga terakhir, cikgu M serang aku.
"Enol, siapa yang tulis pantun tu? Macam sampah! Sakit telinga saya dengar. Pembayang dah la buruk. Maksud dah ke laut."
"Saya tulis sendiri cikgu."
"Kenapa awak tak rujuk dulu dengan saya? Dengan mana-mana cikgu BM?"
Aku dah menitik air mata. Sebab tak cukup tidur. Tidur is my precious kot! Tapi aku korbankan tidur untuk bagi sumbangan kat sekolah. Lepas tu kena hina lagi.
"Lain kali tak payah bagi sampah, lagi-lagi masa perhimpunan."
Aku anggukkan kepala je. Dah tak larat dah. Nak bersedia nak pentas sekali lagi untuk persembahan dikir barat. Masa tu aku pukul gong sambil bayangkan muka Cikgu M kat situ. Balik sekolah, adik dorm kata kenapa hempuk gong tu kuat sangat sampai macam nak terpelanting gong ke bawah pentas. Aku diam je.
Sejak hari tu, aku memang sorok semua penulisan aku. Terkesan sangat dengan sumpahan cikgu M. Sepuluh tahun aku hidup menulis tanpa ada pembacanya. Bila aku belajar dengan ramai orang, baca lebih banyak buku, kemudian baru aku tahu memang buruk pun pantun aku dulu tu. Cuma tak adil la aku kena serang tanpa usul periksa.
Terima kasih Cikgu M atas trauma yang ada. Bila pernah kena maki dengan Cikgu M, aku dah tak takut dengan kritikan orang pun sebab belum ada lagi orang yang mampu menyaingi tahap puaka mulut Cikgu M ehe. Hari ini Enol dah berani menulis dan berkongsi kembali. Meski sekadar di Wattpad yang entah siapa yang baca.
Kenangan di Malacca Girls' High School dan Cikgu M, memang sejarah dalam aktiviti penulisan aku. Kalau Cikgu M membaca surat ini, bacalah karya-karya tulisan Enol yang lain di Wattpad. HAHAHA.
P/s: Pernah je aku beraya ke rumah Cikgu M, aku kabor ke dia yang aku benci dia tapi rindu. Dia kabor ke aku, dia rindu tapi benci.