Surat Untuk Pencuri

95 5 0
                                    

Semua yang kau ambil tanpa izin, dan gunakan meski tanpa kau punya hak; telah aku berikan maafkan pada setiapnya.

Namun, aku harap kau tak akan mengulanginya lagi, dengan sesiapa pun. Dan semoga aku juga tak alpa dengan suasana nan selesa; hingga mendatangkan situasi bingung. Melebih-lebih
rasa teruja pabila terbuai lantas sekelip mata rasa terluka tatkala terabai.

Justeru, kau adalah maling yang mencuri simpatiku sehingga terbagi hatiku. Lantas, aku kehilangan usiaku dek masa yang tertumpu kepadamu. Aku kerugian, kerana masa adalah usia dan aku menjalani usia dengan sia-sia; berbahagia meski cuma sisa-sisa rasamu yang aku kutip lantas aku nyaman bersamanya.

Entah seperti apa lagi harus ku khabarkan kepadamu. Kau pencuri namun kau masih memberi; yakni satu pelajaran kepadaku supaya lebih berhati-hati kerana harapan seperti seekor babi. Buas dan ganas.

Zaen Kasturi sendiri berterima kasih kepada pencuri kasutnya dalam Sajak Buat Pencuri Kasutku yang dimuatkan dalam buku beliau yang berjudul Katarsis. Malahan beliau mendoakan agar kasutnya memberi rasa selesa buat pencuri serta mengharapkan kasut itu terjaga dengan sejahtera.

Demikian juga aku, dalam surat ini berterima kasih kepadamu, duhai pencuri. Jagalah diri, jagalah peribadi. Aku akan sentiasa mengagumi kuasa Tuhan, bagaimana aku yang sebegitu berwaspada akhirnya tumpas juga, tewas jua dengan fitrah manusia biasa.

Sekian,
Mangsa kecurian separuh rela dan  sepenuhnya redha.

#TulisSurat5HariWhere stories live. Discover now