TAK lekang senyuman daripada bibir Qais. Mak Teh yang memandang pun dah naik pelik. Apalah yang tak kena dengan budak ni? Seronok semacam. Dia bukanlah tak seronok tapi nak juga tahu berita baik tu.
"Lain macam aje hari ni?" Air dituang. Lepas subuh tadi Qais tak lena balik.
Biasanya kalau sehari selepas rawatan mata, Qais akan tidur sekejap selepas subuh. Tapi ini mata bulat, segar-bugar.
"Mak Teh nampak Qais happy ke?" Tangan Qais meraba cawan yang dihulur Mak Teh. Dia sengih. Tunduk dan panggung kepala kembali.
Dah tentu-tentu nampak. Qais... Qais...
"Manalah Mak Teh tak nampak kalau dah senyum tu bersinar kalah matahari dekat luar sana tu..."
Tawa Qais terhambur. Dia pegang tangan Mak Teh yang dah duduk di hujung meja sana. Lepas tu, cawan dibawa lagi ke bibir. Disisip perlahan Nescafe suam itu.
"Hari ni Qais nak keluar. Boleh tak, Mak Teh?" Soalan tu penuh keterujaan.
"Nak ke mana?" Berkerut dahi orang tua tu. Lain macam pula sengih budak ni. Macam nak pergi dating.
"Dating ke?"
"Mana ada..." Geleng menafikan.
"Mak Teh ingat tak lelaki yang Qais langgar tu. Lepas tu adik dia terlanggar Qais..."
Dahi Mak Teh kerut. Mana mungkin dia tak ingat. Semalam dari jauh dia nampak anak muda tu mencangkung di depan Qais. Menghulurkan telefon dan nampak berpesan dengan wajah yang risau. Senyuman tawar terukir. Risau pun ada.
"Qais baru kenal dia, kan?" Tak payah Qais cakap apa, Mak Teh dah dapat tebak yang Qais nak keluar dengan anak muda tu.
"Tapi dia okey aje, Mak Teh... Nama dia Kuca." Hati dah rasa sebak. Dah dapat hidu Mak Teh tak izinkan.
"Adik dia Cammy mesti ada sama..." Ayat penguat.
Mak Teh pandang mata Qais. Kalaulah Qais mampu melihat, dia langsung tak risau. Kalau kata betul budak lelaki nama Kuca tu boleh jaga, dia tak kesah. Dia sanggup lepaskan Qais pergi.
"Mak Teh tak yakin dia boleh jaga Qais..."
"Ala..." Tangan dia meraba tangan Mak Teh.
"Kenapa nak yakin dia jaga Qais? Qais boleh jaga diri sendiri apa?" Yalah sangat. Asyik kena langgar aje.
Lemah jiwa Mak Teh. Tak tahulah macam mana nak lepaskan Qais pergi. Perlu ke dia teman? Tapi daripada cara Qais, dia tak minta diteman. Lagipun, setelah sepuluh tahun, inilah pertama kalinya dia nampak ada yang sudi berkawan dengan Qais.
"Boleh, eh?"
Dah masuk mood merayu. Nak tak nak Mak Teh angguk.
"Biar Pak Din hantar. Dekat mana?"
Bibir Qais lebar dengan senyuman. Dia tahu Mak Teh risau tapi yakinlah dengan dia. Sampai bila dia nak bergantung pada Mak Teh? Rasanya, dah sampai masa dia jalan pakai tongkat. Kena sedar diri. Senang orang tak salah tafsir dia normal.
SUASANA rasa sepi biarpun hujung minggu. Qais melingas ke kiri dan ke kanan. Ada juga bunyi tapi tak bingit seperti biasa.
"Kenapa ajak datang Subang Parade?" Dia kalih pada Kuca yang sejak dari tadi diam. Entah ada ke tidak.
Tangan dia mula meraba tempat duduk di sebelah kanan tapi Kuca cepat-cepat mengesot sedikit. Memandang jari runcing yang putih bersih tu. Hidup aje tangan minah ni. Dia menggeleng dua saat.
"Aku ada la..." Datar.
Qais senyum.
"Ingatkan awak dah lari sebab saya bawa tongkat hari ni..." Gelak. Sampai Kuca buat muka jengkel. Dia pandang tongkat Qais. Terkejut juga bila Qais turun dari kereta, ada tongkat.
"Tak lawak..." Lagilah mendatar Kuca menegur. Dah berbaur marah sikit tu. Kali ni, Qais pula rasa pelik. Kenapa suara lain macam? Bukan Kuca ke yang telefon dia pagi tadi ajak keluar? Tetapkan tempat dan masa.
"Awak ni tak sihat ke, Kuca?"
Tak sihat hati. Kuca jawab sendiri dalam hati.
"Diam aje..."
Sebab kau aje asyik bercakap. Bila masa aku nak cakap? Dia tempelak Qais dalam hati. Cakap kuat-kuat karang, sentap pula.
"Kuca?"
"Dah makan ke?" cantas Kuca.
"Ini dah tengah hari ni. Kau nak makan apa?"
Diam kejap Qais memikir. Apalah yang dia nak makan, ya? Tak adalah lapar. Pagi tadi sarapan yang agak berat juga. Alang-alang orang tanya ni...
"Errr... Nak belanja ke?" Sengih. Kutlah nak belanja, dia nak pow lebih-lebih sikit ni.
"Haah. Nak makan apa? Cakap ajelah," gesa Kuca.
Padahal dia yang lapar. Tak dan-dan dah. Semalam Ryu dengan Rico tak datang, malas nak lepak makan sorang-sorang.
"Saya nak makan banyak ni. Habislah duit awak nanti..."
Kuca senyum sinis sambil menjeling Qais.
"Besar manalah perut kau tu..." Heh... Dia jeling perut kempis Qais.
Suka sangat pakai skirt perempuan ni. Tapi nampak cantik pula bila dia jalan. Lepas tu blaus. Pun cantik. Kalau bertudung... Kuca rasa dia dah tak betul. Kenapa mesti nak harap macam tu pula?
"Eh, nampak aje saya ni kurus, Kuca... Tapi saya makan seperiuk..."
"Eleh... Seperiuk kecik tu tak ada masalah. Jomlah. Aku dah lapar ni." Kuca bangkit dan menapak dulu. Menuju ke Chicken Rice. Itu ajelah yang nampak R.I.C.E a.k.a nasi sekarang. Perut tahap petala lapar dah ni, mana boleh sumbat makanan lain kalau bukan nasi.
Terkial-kial Qais bangkit bila dia sedar Kuca dah berlalu. Arah mana? Dia buka tongkat. Rambut yang lepas bebas singgah pada pipi, dia selit ke belakang telinga. Masa ni mata Kuca terpandang itu semua. Buatkan kening dia berkerut menahan hati. Tapi cepat-cepat dia kalih.
"Ala... Arah mana?" Memang sungguhlah Kuca ni tinggalkan aku. Qais membebel sendiri. Arah mana ni? Kiri ke kanan? Atau depan? Ke belakang?
Kaki Qais menapak perlahan. Tongkat dihala ke depan bimbang terlanggar sesuatu. Beg silang dibetulkan. Dia cuba mengesan. Cuba menghidu jejak haruman yang Kuca tinggal tapi tak berjaya. Rasa terlalu banyak wangian masa ni.
Menapak dan terus menapak, hingga dia hampir terjatuh kerana terlanggar tong sampah. Berdenting jatuh tong sampah besi itu dan bila dia hampir tertonggeng ke belakang, ada tangan yang menahan belakang tubuh Qais.
Wajah Qais dah pucat. Dia melingas ke kiri dan ke kanan. Rasa diri diperhati. Dia menelan liur. Rasa nak menangis. Mana Kuca? Takkanlah...
"Maaf... Saya tak nampak. Saya cari kawan saya..." Dahi Qais dah berkerut. Sebu rasa hati bila diri ditinggalkan. Dia tak tahu arah mana Kuca tuju.
Kuca yang ada di belakang hanya ketap bibir. Apalah istimewa dia ni? Apalah yang menyebabkan dia rasa dia ada hubungan lama dengan perempuan ni. Dejavu ke aku ni?
"Kuca..." Suara Qais mematikan rentak.
Kuca senyum akhirnya. Senyum pada orang ramai yang melihat. Senyum pada pak guard yang tolong angkat tong sampah besi tu.
"Kenapa panggil kuat sangat? Aku ada kat belakang kau ni," bisik Kuca.
Terus Qais berpaling bila tubuh Kuca menjauh beberapa tapak. Air mata dia meniti pada birai kelopak.
"Saya ingat awak tinggalkan saya..." Yalah, diam aje. Tiba-tiba dah hilang. Qais tak tahu, Kuca memang ekori dia sejak dia bangkit tadi.
"Aku yang nak dekat dengan kau, kenapa aku pula nak tinggalkan kau..." Sebaris ayat itu buat dahi Qais berkerut.
"Dah nak termenung kenapa? Jalan. Aku tarik tongkat kau ni..." Kuca terus pegang tongkat warna chrome tu dan diheretnya perlahan. Menapak tenang sedangkan Qais di belakang sudah resah semacam.
YOU ARE READING
SANGGUPKAH BERSABAR SAYANG?
RomanceTajuk: SANGGUPKAH BERSABAR SAYANG? Penulis: Rehan Makhtar Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-038-0 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14...