**

284 11 1
                                    

"ADIK, bangun, kita dah sampai." Hakimi mengejutkan adiknya. Mereka sudah tiba di terminal bas Ipoh. Hakimi melihat semula kertas kecil yang tertulis alamat nenek mereka.

"Dekat mana pula rumah ni? Adik, kita pergi tanya orang ya alamat nenek."

"Adik lapar," adu Haira sambil memegang perutnya yang berbunyi.

Hakimi faham. Dia juga lapar. "Ok, kita makan dulu, ya." Mereka pergi ke kedai makan yang berdekatan. Setelah menghabiskan sepinggan nasi goreng dan segelas teh ais setiap seorang, mereka menaiki teksi untuk ke rumah nenek.

Tidak jauh perjalanan dari stesyen bas ke alamat yang dituju. Mereka tiba di rumah lot, sebuah banglo kampung setingkat. Berkali-kali Hakimi menanyakan pemandu teksi untuk memastikan mereka tiba di alamat yang betul. Nenek mereka orang kayakah? Hakimi menekan loceng dan memberi salam. Seorang kanak-kanak sebaya Haira dan seorang wanita tua keluar dari rumah.

"Ya, nak cari siapa?"

"Ini rumah Sarimah binti Ajul ke?" tanya Hakimi mengikut nama yang tertera pada kertas itu. Dia terjumpa nama dan alamat neneknya hasil pencarian di dalam bilik ibunya.

"Sarimah? Tak ada nama Sarimah di sini. Salah rumah agaknya, dik," jawab wanita itu.

"Tak! Ini rumah nenek kami. Nenek mana? Mak cik ni nenek kami kan?"

"Adik balik lah. Mak cik bukan nenek adik. Ini bukan rumah nenek adik. Maya, jom masuk." Wanita itu membawa cucunya masuk ke dalam rumah.

"Nenek! Nenek!" jerit Hakimi. Dia tidak percaya kata-kata mak cik itu. Dia yakin bahawa ini rumah nenek mereka. Hakimi terduduk kecewa di hadapan pagar rumah itu. Ke mana lagi mereka mahu pergi? Haira mengusap bahu abangnya.

"Abang, apa kata kita pergi balai polis. Kita tanya mereka rumah nenek."

"Balai? Polis nak ke tolong kita, dik?" Hakimi sudah putus asa.

"Insyaallah, kalau polis tak nak tolong kita, Allah tolong kita." Senyuman Haira membangkitkan semangat Hakimi.

"Ok, dik. Jom kita cari balai polis." Dia memimpin tangan Haira. Mereka berdua berjalan menuju masa depan yang tidak diketahui untung nasib, berserah sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi.

-------------------

"ASSALAMUALAIKUM, encik polis." Akhirnya mereka berdua tiba juga di balai polis hasil bantuan orang awam.

Seorang anggota polis yang bertugas di kaunter hadapan menyambut kedatangan mereka berdua. "Ya, adik berdua nak apa?"

"Boleh tolong carikan orang ini?" Hakimi menyerahkan kertas bertulis alamat neneknya kepada pegawai berkumis nipis itu.

Pegawai itu tidak menyambut huluran kertasnya. "Maaf, dik. Ini balai polis. Kami tak ada masa untuk layan kamu berdua." Mereka berdua tidak dilayan. Pegawai polis itu meneruskan kerjanya.

"Tolonglah, encik. Kami nak cari nenek kami. Kami dah pergi rumah dia, tapi orang lain yang duduk. Tolonglah, kami dah tak ada sesiapa lagi," rayu Hakimi lagi.

"Aku cakap pergi balik, pergi balik lah!"

"Brahim, kenapa bising-bising ni?"

"Eh, tuan! Tak, budak ni, main-main dekat balai."

Pegawai yang berpangkat lebih tinggi itu mendekati mereka berdua dengan senyuman manis. "Nama adik?"

"Hakimi. Adik saya, Haira."

"Hakimi kenapa datang sini?" Hakimi melihat tag nama yang berjahit pada uniform pegawai itu, Imran.

"Saya cari nenek saya," jawab Hakimi jujur.

"Ada alamat dia?"

"Ada. Saya baru pergi tadi tapi orang lain yang duduk rumah tu. Saya tak tahu nenek di mana sekarang. Pak cik Imran boleh tolong kami?" pandangan yang penuh mengharap.

"Haira dah makan?" Haira menggeleng laju.

"Ok, kalau macam tu, jom kita pergi makan tengah hari dulu."

--------------------

"RUMAH adik dekat mana? Biar pak cik hantar."

Bulat mata Hakimi mendengarnya. Macam mana dia nak cakap ya? "Kami ni... anak yatim piatu, pak cik." Haira memandang Hakimi. Dia mahu bercakap perkara yang benar tetapi Hakimi mencubit lengan adiknya. Dia terpaksa menipu demi kebaikan mereka berdua. Kalau encik polis ini tahu mereka lari dari rumah, sudah tentu mereka akan dihantar pulang. Kalau Hakimi ceritakan perkara sebenar tentang ibu, tentu ibu akan dihukum, paling kurang masuk penjara. Hakimi tak mahu perkara itu berlaku. Biar mereka sara hidup sendiri di tempat baru. Dia akan cari jalan bagaimana caranya.

"Anak yatim? La... maaflah, pak cik tak tahu." Imran serba-salah.

"Eh, tak apa. Kami dah biasa."

"Jadi, kamu berdua tinggal di mana? Biar pak cik hantarkan," pelawa Imran lagi. Dia tidak mahu anak-anak ini berkeliaran di luar sana. Bahaya sekarang ni.

Hakimi menggeleng.

"Kenapa? Kamu tiada rumah?" Dia mengangguk.

"Saudara lain ada?" Dia menggeleng. Imran mengeluh. Susah kalau macam ni. Nak hantar ke rumah anak yatim, terasa kasihan melihat keadaan budak berdua ini. Makan pun sangat berselera, seperti sudah lama tidak makan.

"Kalau macam tu... pak cik bawa kamu tinggal rumah pak cik dulu sementara kita cari nenek kamu. Setuju?"

Haira menggeleng. Hakimi berkata pantas. "Setuju!"


SYURGA | buat adikWhere stories live. Discover now