Prakata

1.2K 23 1
                                    

TATKALA UMURKU LAPAN BELAS, hangat sihir cinta menyentap jantungku buat pertama kali dengan jemarinya yang membakar.

Namanya Selma Karamy.

Kejelitaannya membangkitkan jiwaku, membawa aku ke taman di mana hari berlalu ibarat mimpi, dan malam seakan keramaian tanpa henti.

Selma Karamy mengajar aku memuja keindahan. Aku memahami rahsia cinta melalui kasihnya padaku. Dialah yang pertama meratibkan padaku puisi kehidupan.

Tiap manusia pasti ingat cinta pertamanya. Memori cinta itu mengubah perasaannya yang paling dasar, dan meski wujud kepahitan dalam misterinya, dia diangkat kebahagiaan.

Dalam tiap lelaki ada seorang Selma.

Selma yang muncul tiba-tiba. Selma yang mengubah sepinya menjadi momen paling bahagia, dan memenuhi kesunyian malamnya dengan irama yang paling asyik.

Waktu cinta berbisik di telingaku, aku sedang khayal; sedang cuba memahami erti alam dan penciptaan dan kebenaran daripada buku dan kitab-kitab lama.

Hidupku waktu itu ibarat di dalam koma; kosong seperti Adam di syurga. Dalam satu kilasan cahaya, aku nampak Selma berdiri di depanku. Dialah Hawa hatiku yang memenuhinya dengan rahsia dan keajaiban.

Kerana dialah aku memahami erti hidup.

Hawa membawa Adam keluar dari syurga dengan kerelaannya sendiri. Selma pula buat aku melangkah ke syurga cinta sejati.

Tapi apa yang berlaku pada lelaki pertama juga berlaku pada aku. Aku diusir dari syurga dengan kata-kata yang membakar. Diusir dari syurga tanpa mengengkari apa-apa arahan, atau menjamah mana-mana buah yang terlarang.


Sayap-sayap Patah oleh Kahlil GibranWhere stories live. Discover now