HARI INI, selepas beberapa tahun berlalu, tiada apa lagi yang tinggal daripada mimpi indah itu kecuali memori pilu yang melebarkan sayap halimunannya lalu mengisi hatiku dalam-dalam dengan kesedihan, dan menjadikan mataku berkaca.
Selma sudah tiada.
Dan tiada apa lagi tinggal untuk mengingatinya kecuali hatiku yang patah dan pusara yang diteduhi pepohon sipres.
Hanya pusara itu dan hati ini tinggal untuk menjadi saksi pada Selma.
Kesunyian yang menyelubungi pusara itu tak mendedahkan rahsia Tuhan dan desir ranting yang akarnya menyerap intipati tubuh tak membongkar misteri pusara. Hanya keluh kesah jantungku mengisytiharkan pada dunia yang sebuah drama cinta, keindahan dan kematian pernah dipersembahkan.
Kawan-kawanku—yang kini sudah tersebar di serata kota Beirut—bila kalian melintas perkuburan berhampiran hutan pain ini, melangkahlah dengan lembut supaya jejak kaki kalian tak menggangu tidur mereka yang sudah pergi. Dan berhentilah sebentar di pusara Selma dan sapa bumi yang menyelubunginya. Lafazkan namaku dengan keluhan dan bisiklah pada diri,
"Di sini, segala harapan Gibran, yang tinggal sebagai tawanan cinta di samudera jauh, di kebumikan. Di sini dia hilang kebahagiaan, di sini air matanya kering, dan di sinilah dia terlupa akan senyumannya."
Di pusara itu, kesedihan Gibran hidup selari dengan pepohon Sipres, dan di atas makam Selma, jiwanya berkerdipan merawang tiap malam mengingati Selma, yang satu waktu dahulu, adalah melodi indah di bibir kehidupan dan hari ini rahsia sunyi di rusuk bumi.
Kawan-kawanku! Aku merayu padamu atas nama perawan yang kalian cintai, letakkanlah sekalung bunga di atas pusara wanita yang kukasihi itu, kerana bunga itu ibarat titisan embun di mata subuh di atas dedaun ros yang sedang layu.
YOU ARE READING
Sayap-sayap Patah oleh Kahlil Gibran
RomanceBuku ini kini boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh Malaysia. Juga boleh dibeli di laman web rasmi Roman Buku (www.romanbuku.com) atau melalui whatsapp 017-2455448 Cerita cinta agung abad ke 20 oleh penyair Lubnan, Kahlil Gibran.