Jemari Takdir

471 4 0
                                    

PADA MUSIM BUNGA tahun itu, aku berada di Beirut. Taman-taman di Beirut dipenuhi bunga Nisan dan buminya dipermaidani rumput hijau, dan rahsia bumi seperti didedahkan pada langit. Pepohon limau dan epal, kelihatan seperti bidadari yang menguja khayalan untuk memberi ilham pada penyair; segalanya mekar dengan hiasan putih yang mewangi.

Musim bunga di mana-mana memang cantik, tapi ia paling cantik di Lubnan. Musim bunga ibarat jiwa yang merantau ke segenap pelusuk bumi tapi terapung merawang di langit Lubnan; di sini ia berbual dengan Raja dan Rasul, menyanyi dengan sungai Lagu Sulaiman, dan mengulang dengan pepohon Araz memori kegemilangan waktu dulu. Beirut, bebas dari lumpur musim dingin dan debu musim panas, adalah seperti seorang pengantin, atau duyung di tebing sungai yang sedang mengeringkan kulitnya di bawah sinar matahari.

Satu hari, di bulan Nisan, aku mengunjungi seorang teman yang tinggal jauh dari bandar. Sedang rancak berbual, seorang lelaki tua melangkah masuk ke rumah sahabatku itu dan menyapa. Lalu aku bangun untuk membalas sapaannya, dan sahabatku memperkenalkannya sebagai Farris Effandi Karamy. Kemudian, dia memperkenalkan aku dengan pujian yang melambung-lambung.

Orang tua itu memandangku sebentar; menyentuh dahinya dengan jarinya seakan dia cuba mengingati sesuatu. Kemudian, dengan senyuman, dia mendekati aku, dan berkata,

"Kau adalah anak kepada sahabat yang aku sayangi, dan aku gembira melihat sahabatku itu dalam dirimu."

Terkesan dengan kata-katanya, aku jadi tertarik untuk berbual dengannya. Sebaik saja kami duduk, dia mula bercerita tentang persahabatannya dengan ayahku, dan mengimbau kembali masa mereka bersama.

Orang tua memang suka kembali pada memori zaman muda. Mereka seperti orang asing yang sentiasa rindukan negaranya sendiri. Dia gembira bercerita tentang masa lalu, seperti seorang penyair gembira mendeklamasikan puisi terbaiknya. Jasadnya di masa kini, tapi hidupnya di masa lampau kerana masa kini terlalu deras, dan masa depan akan membawanya lebih dekat pada kematian.

Sejam penuh dengan memori lama melintas seperti bayang-bayang pokok pada rumput. Bila Farris Effandi bangun untuk pergi, dia meletakkan tangan kirinya di bahuku dan menjabat tanganku lalu berkata,

"Sudah 20 tahun aku tak bertemu dengan ayahmu. Aku harap kau akan mengambil tempatnya dan melawat rumahku."

Aku berjanji padanya.

Setelah orang tua itu pergi, aku meminta sahabatku untuk bercerita lebih lanjut tentangnya. Katanya,

"Dia satu-satunya lelaki di Beirut yang menjadi mewah kerana sifat baiknya. Dia antara manusia yang datang ke dunia ini dan meninggalkannya tanpa melukakan sesiapa. Tapi, orang sepertinya biasanya menderita dan ditekan kerana mereka tak cukup pintar untuk menyelamatkan diri dari niat serong orang lain. Farris Effandi mempunyai seorang anak yang punya watak serupa dengannya, di samping memiliki kejelitaan dan keanggungan yang mustahil digambarkan. Anaknya itu juga akan menderita kerana kemewahan ayahnya telah meletakkannya di pinggir curam yang mengerikan."

Usai melafaz kata-kata itu, aku sedar yang wajahnya sudah berubah muram. Kemudian dia meneruskan,

"Faris Effandi adalah seorang lelaki yang berhati mulia. Tapi tekadnya lemah. Mudah memperdayanya, seperti memperdaya orang buta. Dan anaknya pula seorang yang patuh meski dia pintar, dan mempunyai jatidiri yang kuat. Inilah rahsia mereka. Rahsia ini telah dapat dibongkar oleh seorang lelaki jahat yang juga seorang Biskop.

Si Biskop menyembunyikan kejahatannya di bawah bayang-bayang khutbahnya. Dia telah berjaya meyakinkan orang bahawa dia seorang yang mulia. Dia dipatuhi dan dipuja. Dia meminpin jemaahnya seperti sekawan biri-biri ke tempat penyembelihan.

Biskop ini mempunyai seorang anak saudara yang amat korup. Hati si anak saudara dikuasi serakah dan kebencian. Akan datang hari di mana si Biskop akan meletakkan anak saudaranya di kanan dan anak Farris Effandi di kiri, dan dengan tangan jahatnya, dia akan mengalungkan bunga perkahwinan di atas kepala mereka.

Lalu, seorang dara suci akan dirantai pada seorang bajingan keji, ibarat nadi siang dipahat ke rusuk malam.

Ini saja yang aku tahu tentang Farris Effandi dan anaknya. Jadi, tak perlulah bertanya lagi."

Setelah selesai bercakap, dia memalingkan mukanya ke arah jendela seperti dia mahu menyelesaikan masalah kewujudan manusia dengan memberi tumpuan kepada keindahan cakerawala.

Sebelum meninggalkan rumah sahabatku itu, aku memberitahu dia yang aku tetap akan melawat Farris Effandi untuk menunaikan janjiku dan demi persahabatan yang menyambungkan dia dan ayahku.

Dia merenungku buat sementara waktu, dan aku sedar ada perubahan pada riaknya seperti kata-kata itu telah mecetuskan satu ilham dalam dirinya. Kemudian dia memandang tepat ke mataku dengan riak yang pelik; riak yang memperlihatkan kasih sayang, belas dan rasa takut—pandangan seorang Rasul yang nampak apa yang tak dapat ditilik sesiapa.

Bibirnya bergetar seketika, tapi dia tak berkata apa-apa bila aku melangkah ke arah pintu. Riak pelik itu mengekoriku dan aku tak memahami maknanya hinggalah aku sudah dewasa dan matang.


Sayap-sayap Patah oleh Kahlil GibranWhere stories live. Discover now