Duka yang Sunyi

700 15 2
                                    

KEHADIRAN ZAMAN MUDA selalunya diraikan, dan pemergiannya, disesali. Tapi aku mengingatinya seperti seorang banduan mengingati jeriji serta rantai penjaranya.

Zaman muda sering disebut sebagai zaman yang bebas dari kurungan dan hirau, tapi bagiku ia waktu duka sunyi yang menghalang laluanku ke dunia ilmu dan kebijaksanaan, hinggalah cinta datang dan membuka pintu hati lalu menerangkan sudut-sudutnya.

Cinta menganugerahkan aku lidah dan air mata.

Tentu kalian masih ingat taman-taman, tempat pertemuan dan sudut-sudut jalan yang menyaksikan permainan dan mendengar bisikan kalian. Aku juga masih ingat, sebuah tempat di utara Lubnan. Tiap kali aku tutup mataku, aku akan nampak lembah penuh keajaiban dan gunung-ganang yang cuba menggapai awan. Tiap kali aku tutup mataku pada bingit kota, aku dengar bisik-bisik anak sungai dan desiran ranting.

Aku kepinginkan semua itu, seperti seorang anak yang kepinginkan susu ibunya. Seperti sang helang yang menderita dalam sangkarnya bila melihat sekawan burung terbang bebas di angkasa luas. Lembah-lembah dan bukit-bukit itu membakar khayalku, tapi fikiran pahit berselirat di hatiku dan menebarkan jala putus asa.

Tiap kali aku keluar, aku akan pulang dengan rasa kecewa, tanpa memahami sebabnya. Tiap kali aku memandang pada langit kelabu, aku dapat rasa jantungku tersentap. Tiap kali aku dengar kicau burung dan bebelan musim bunga, aku menderita tanpa memahami sebabnya.

Kata orang, manusia tanpa ilmu dan jiwa adalah manusia yang paling bebas. Mungkin benar hakikat ini, di kalangan mereka yang lahir bebang dan hidup seperti mayat; tapi, bagi dia yang lebih mengetahui, dan boleh merasa, dia adalah makhluk yang paling malang di bawah matahari, kerana dia dirabak oleh dua kuasa: Kuasa pertama mengangkatnya dan menunjukkan padanya keindahan kewujudan melalui awan mimpi; Kuasa kedua memasaknya ke bumi dan memenuhi matanya dengan debu lalu menekannya dengan ketakutan dan kegelapan.

Kesepian memiliki tangan yang lembut seperti sutera, tapi jemari yang sangat kuat. Ia menggenggam hati dan menjadikannya sakit dengan duka.

Kesepian adalah sekutu duka dan juga sahabat pada kebahagiaan.

Dia yang diasak duka adalah seperti seroja putih yang baru mekar. Ia bergetar dihembus angin dan membuka hatinya pada hari siang dan melipat daunnya kembali bila bayang malam datang. Jika perhatiannya tak dialih atau jika dia tiada sahabat sepermainan, hidupnya umpama penjara sempit yang dipenuhi dengan sarang lelabah dan kerisik rangkak serangga.

Duka yang menghantui aku waktu zaman mudaku bukan disebabkan kerana aku tiada hiburan, juga bukan kerana aku tiada sahabat. Duka itu disebabkan oleh penyakit dalaman yang buat aku cintakan kesepian.

Ia membunuh kecenderungan untuk bermain dan berhibur.

Ia menyingkirkan dari bahuku sayap remaja dan buat aku seperti kolam air di antara gunung yang memantulkan di permukaan tenangnya bayangan serta warna awan dan pokok, tapi ia sendiri terperangkap di situ: tak mampu membawa nyanyiannya ke laut.

Itulah hidupku waktu umurku lapanbelas. Tahun itu adalah kemuncak hidupku, kerana ia membangkitkan ilmu dalam diriku dan buat aku faham jatuh bangun manusia. Pada tahun itu, aku dilahirkan semula menjadi ibarat sehelai kertas putih di dalam buku kewujudan. Pada tahun itu, aku melihat malaikat dari syurga memandang aku melalui mata seorang wanita cantik. Aku juga nampak syaitan dari neraka mengamuk di dalam hati seorang lelaki jahat.

Dia yang tidak nampak malaikat dan syaitan di dalam keindahan dan kekejaman hidup adalah ibarat si celik di dalam gelap, dan jiwanya akan kosong dari kasih sayang.


Sayap-sayap Patah oleh Kahlil GibranWhere stories live. Discover now