Ke Suaka Suci

435 6 0
                                    

BEBERAPA HARI KEMUDIAN, setelah dilemaskan oleh rasa sepi, dan jemu dengan riak muram buku, aku menyewa sebuah pedati untuk mengunjung Farris Effandi. Sesampai aku ke hutan pain yang menjadi tumpuan santai ramai orang, aku dibawa meniti sebuah lorong kecil yang dibayangi pepohon Willow di kedua-dua sisinya.

Melintasnya, kami dapat melihat keindahan rumput hijau, pepohon anggur menjalar dan bunga berwarna-warni yang sedang mekar.

Beberapa minit kemudian, kereta kuda itu berhenti di depan sebuah rumah pencil, di tengah-tengah taman yang begitu cantik. Haruman ros, gardenia dan melur menyelubungi udara. Sebaik saja aku turun dan melangkah ke taman itu, aku nampak Farris Effandi melangkah untuk menemui aku. Dia membawa aku masuk ke rumahnya dan dengan mesra duduk sebelah aku, seperti seorang ayah yang gembira bila bertemu dengan anaknya.

Mulutnya tak henti-henti bertanya pelbagai soalan tentang hidup, masa depan, dan pendidikan aku. Aku menjawabnya, dengan penuh semangat dan ambisi, kerana waktu itu aku masih belayar dalam laut harapan yang tenang, dan di telingaku nyanyian masa depan yang indah-indah belaka.

Tiba-tiba, seorang wanita muda cantik, bergaun sutera putih, muncul dari belakang tirai baldu pintu dan melangkah ke arahku. Farris Effandi dan aku bangkit dari kerusi kami.

"Ini anakku Selma,"

Kemudian dia memperkenalkan aku pada Selma dan berkata,

"Takdir telah membawa kembali pada ayah seorang kawan lama dalam jelmaan anaknya."

Selma merenung aku sebentar seperti tak yakin yang rumah mereka mampu dijejak pengunjung. Tangannya, bila aku sentuh adalah seperti seroja putih, dan satu rasa aneh menikam hatiku.

Kami bertiga duduk dalam diam seperti Selma telah membawa ke bilik itu jiwa yang harus dihormati dengan kesunyian. Bila dia menyedarinya,, dia tersenyum padaku dan berkata,

"Banyak kali sudah ayahku mengulang cerita zaman mudanya dan waktu ayahmu dan dia habiskan bersama. Jika ayahmu juga sama, ini bukanlah pertemuan yang pertama antara kita."

Farris Effandi begitu gembira mendengar kata-kata anaknya.

"Selma sangat sentimental. Dia melihat segalanya melalui mata jiwa."

Kemudian dia menyambung perbualannya dengan cermat seperti dia telah menemui dalam diriku magis yang membawanya ke sayap memori masa lampau.

Tapi Selma tak berkata apa-apa. Kadangkala dia memandang padaku, dan kemudian pada ayahnya seperti membaca babak pertama dan terakhir dalam sebuah drama kehidupan. Hari berlalu dengan pantas di taman itu dan aku boleh nampak melalui jendela, cumbuan cahaya kuning matahari di kemuncak gunung Lubnan.

Farris Effandi terus mengimbau kembali pengalamannya dan aku mendengar terpaku dan membalas dengan penuh keterujaan hingga kedukaannya berubah menjadi kegembiraan.

Selma duduk di tepi jendela, melihat dengan riak duka dan tak bercakap, tapi kecantikan wanita memiliki bahasanya sendiri, yang lebih tinggi dan lebih mendalam daripada suara lidah dan bibir. Bahasanya lestari, dan difahami umat sejagat, dan ia umpama tasik tenang yang menarik sungai-sungai kecil untuk menyanyi ke dalamnya.

Hanya jiwa kita boleh memahami kecantikan, lalu hidup dan menjadi matang dengannya. Kecantikan acapkali buat minda kita keliru dan kita tak mampu menggambarkannya dengan kata-kata: Ini sensasi yang mata kita tak nampak, dan lahir dari dia yang memerhati dan dia yang diperhati. Kecantikan sejati adalah sinar yang memancar dari jiwa yang paling suci, dan menerangkan tubuh, seperti hidup datang dari perut bumi dan memberi warna dan keharuman pada sekuntum bunga.

Kecantikan sebenar merupakan persetujuan jiwa yang dipanggil cinta dan yang wujud antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Apakah jiwaku dan jiwa Selma bertemu hari itu? Apakah itu yang mendorongku untuk melihatnya sebagai wanita paling cantik di dunia? Atau apakah aku mabuk dengan usia mudaku dan itu buat aku dambakan sesuatu yang tak pernah wujud? Apakah zaman mudaku membutakan mataku dan buat aku membayangkan betapa cerah matanya, betapa manis mulutnya, dan betapa anggun tubuhnya? Atau apakah kecerahan, kemanisan dan keanggunannya yang membuka mataku dan menunjukkan padaku kebahagiaan dan kedukaan cinta?

Sukar untuk menjawab soalan-soalan ini. Tapi yang nyata, aku merasa satu emosi yang tak pernah aku rasa sebelum ini. Perasaan yang menenangkan jiwaku, seperti ia sedang terawang di udara dan dari rasa inilah terbitnya kegembiraan dan kedukaanku.

Begitulah berakhirnya pertemuan pertamaku dengan Selma, dan dengan keizinan Tuhan, aku dibebaskan dari ikatan usia muda dan kesepian, lalu aku mampu berjalan dalam perarakan cinta.

Cinta adalah satu-satunya kebebasan di dalam dunia ini kerana ia mengangkat jiwa. Arahnya tak boleh diubah, meski oleh undang-undang manusia atau fenomena alam.

Bila aku bangun untuk pergi, Farris Effandi menghampiriku dan berkata,

"Anakku, kerana kau sudah tahu jalan ke rumah ini, kau harus datang dengan lebih kerap ke rumah ayahmu ini. Anggaplah aku ayahmu dan Selma kakakmu."

Dia kemudian berpaling ke arah Selma seperti mahu meminta pengesahan untuk kata-katanya itu. Selma menganggukkan kepalanya setuju, dan kemudian memandang aku seperti orang yang baru bertemu dengan kenalan lama.

Kata-kata Farris Effandi itu meletakkan aku bersebelahan dengan anaknya di altar cinta. Kata-katanya merupakan nyanyian syurgawi yang bermula dengan kegembiraan dan berakhir dengan kedukaan: ia mengangkat jiwaku ke arah cahaya dan api yang membakar. Ia merupakan cawan di yang mana kita teguk kegembiraan dan kepahitan.

Beberapa waktu kemudian, aku bangkit untuk meninggalkan rumah itu. Farris Effandi mengiringi aku ke pinggir taman dengan jantung yang bergoncang seperti getaran bibir seorang yang terlalu kehausan.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 22, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Sayap-sayap Patah oleh Kahlil GibranWhere stories live. Discover now