1.Ketibaan

467 27 7
                                    


HUJAN turun dengan lebat diselangi dengan bunyi guruh yang kuat berdentum. Dalam kepekatan hujan yang turun menyembah bumi, Azman berdiri seorang diri di tepi pantai, khusyuk memerhatikan sampannya yang terapung semakin jauh dibawa ke tengah lautan. Muka Azman kelihatan sangat cengkung dan pucat. Badannya kurus kering ibarat jerangkung. Pakaiannya kotor dan koyak rabak. Walaupun baru berusia 28 tahun, Azman kelihatan seperti orang tua yang dalam kesakitan dan tidak lagi berupaya.

Hujan masih lebat dan turun tanpa henti. Ombak yang tinggi dan angin yang kencang menolak sampan itu jauh ke tengah lautan hingga hilang dari pandangannya. Setelah memastikan sampan itu sudah hanyut, Azman yang menggalas guni besar, mula berjalan terbongkok-bongkok menyusuri pantai. Dia menjumpai laluan kecil untuk masuk ke kawasan hutan tebal di belakang pantai. Azman perlahan-lahan menyusuri lorong kecil itu dengan harapan menjumpai tempat untuk berteduh dan berehat. Lebih kurang lima minit perjalanan, hujan yang lebat tadi perlahan-lahan reda, hanya renyai-renyai sahaja. Tiba-tiba, Azman jatuh melutut dan mengerang kesakitan dengan kuat. Mukanya berkerut-kerut dan tangannya memegang dada, menahan kesakitan.

"Azman! Kita kat mana sekarang?"

Kedengaran suara wanita yang garau dari arah belakang Azman. Serta-merta, kelihatan sepasang tangan wanita tua yang berkedut, perlahan-lahan muncul daripada permukaan guni di belakang Azman. Jarinya kurus dan kukunya panjang kehitaman. Tangan tuanya rakus mencapai dan menarik rambut Azman dengan kuat.

"Kau cakap kat aku Azman, kalau tak, aku koyak telinga kau!"

Suara wanita garau itu mengugut Azman.

Azman masih lagi melutut di tanah menahan kesakitan dan air matanya mula mengalir. Azman menjawab persoalan wanita tua itu seperti orang yang terseksa.

"Aduh! Kita dah berdekatan dengan Kampung Dangi."

"Betul ke ni? Kau tak bohong?" Wanita tua yang dipanggil Anira itu bertanya.

"Betul Anira! Betul!" tersedu-sedu Azman menjawab.

"Bagus! Dah empat hari aku tak makan. Sekarang cepat! Dapatkan makanan untuk aku! Faham tak?" Anira melepaskan cengkamannya pada rambut Azman, perlahan-lahan menarik tangannya masuk kembali ke dalam guni.

Hujan renyai-renyai tadi sudah mula berhenti. Matahari kembali bersinar. Daripada permukaan guni yang terbuka, terlihat samar-samar wajah seorang wanita. Matanya yang besar dan merah menyala jelas kelihatan.

"Assalamualaikum!" Azman tersentak apabila mendengar suara seorang lelaki memberi salam.

Azman mendongak dan melihat Kamsani, salah seorang penghuni Kampung Dangi sedang berdiri di hadapannya. Azman kaku.

"Assalamualaikum. Encik sihat? Boleh saya tolong?" Kamsani bertanya dengan senyuman mesra.

Azman bingkas bangun dan serta-merta berlari lintang-pukang memasuki kawasan semak samun. Seolah-olah dikejar hantu, Azman berlari dengan pantas sekali. Sekejap-sekejap menoleh ke belakang untuk memastikan Kamsani tidak mengekorinya. Setelah jauh dia berlari, Azman berhenti dan terbongkokbongkok
kepenatan. Dalam tercungap-cungap menggapai udara, Azman menoleh ke belakang dan melihat sekeliling kawasan tersebut untuk memastikan dia tidak diekori oleh Kamsani. Tiba-tiba, kedengaran suara garau Anita dari dalam guni yang digalas Azman, sekali lagi.

"Hoi, bodoh! Mana dia? Kau tak nampak ke dia berdiri depan kau tadi, bodoh? Kenapa kau lalai sangat?"

Sekali lagi Anira mengeluarkan tangannya dan merentap rambut Azman dengan rakus membuat Azman menangis teresak-esak.

"Maafkan saya. Saya pasti yang dia tak ikut kita. Betul! Saya tengok sekeliling kita. Dia tak ada. Maafkan saya!" Perlahan-lahan, muncul kepala seorang wanita tua daripada pemukaan guni itu.

Penanda Kubur AniraWhere stories live. Discover now