Rashid merengus cuba menahan marah. Dia tahu benar dengan perangai Zam yang gemar bergurau dan membuat kekacauan itu. Tapi, masakan Zam mahu buat kekacauan di majlis perkahwinan sahabat baiknya. Ini bukan masa untuk bergurau. Apatah lagi ini majlis penghulu kampung. Rashid menarik tangan Zam dan memaksanya untuk duduk di kerusi disebelahnya. Dia merapatkan mukanya ke muka Zam dan perlahan-lahan berbisik dalam nada tegas.
"Zam, ini majlis tok penghulu, tau. Tolong hormat mereka. Kau jangan nak bergurau kat sini. Abang cakap kat ayah dengan mak baru kau tau." Zam yang ternyata masih dalam ketakutan menggeletar, cuba menjawab amaran abangnya.
"Betul! Zam tak bohong. Ini bukan gurauan, Zam jumpa mayat dalam sungai kat hujung sana. Mayat tu berlumuran darah! Kepala tak ada! Sumpah, bang!" Rashid merenung Zam, lama. Inginkan kepastian atau hanya ingin meletakkan kepercayaan kepada adiknya ini.
"Kalau abang tak percaya, mari ikut Zam. Kita pergi sana, Zam tunjukkan!" Zam cuba meyakinkan Rashid dan sahabat-sahabatnya.
Ahmad dan Kassim tercengang, masih belum sempat menghadam berita yang baru didengari. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain dalam keadaan terpinga-pinga. Tiba-tiba Ahmad bersuara.
"Kalau betul apa yang Zam cakap ini, macam mana?" Zam, Rashid dan Kassim saling berpandangan.
"Aku rasa kita patut beritahu tok penghulu, sekarang!" Ahmad terus bangun dengan niat untuk memberitahu berita ini kepada tok penghulu tetapi tangannya ditarik kasar oleh Kassim, membuatkannya terduduk semula di kerusi. Perlahan-lahan Kassim membisikkan sesuatu kepada Ahmad.
"Mad, majlis perkahwinan Ishak ni. Kau tengok, tok penghulu sibuk dengan tetamu. Patut ke kita mengganggu dia?" Mereka berempat serentak memandang pintu gerbang perkahwinan, melihat Penghulu Shah yang masih sibuk menyambut kunjungan tetamu yang tak berhenti-henti.
Suasana meriah, namun mereka berempat membisukan diri, membiarkan logik akal berfungsi. "Kita janganlah peningkan kepala orang tua tu. Aku rasa kita berempat aje yang pergi tempat tu dulu. Selidik sedikit." Rashid dan Ahmad mengangguk dengan cadangan Kassim.
Rashid tiba-tiba berdiri dan menoleh ke arah Zam.
"Eh, Zam! Tadi kau cakap kau dengan Sidi. Mana Sidi?"
Zam menoleh ke belakang, cuba mencari Sidi. Kassim, Ahmad dan Rashid juga sibuk menoleh.
"Eh, mana Sidi? Tadi Sidi ada dengan Zam. Aduh, mana pula dia pergi?" Zam menggaru-garu kepalanya.
"Apa jadi tadi? Cuba kau ingat balik, bila kau nampak Sidi kali terakhir?"
"Tadi... Zam rasa mungkin Zam tertinggal dia tadi, kat belakang. Sebab Zam terus lari lintang-pukang lepas nampak mayat tu. Entah-entah, dia masih kat kawasan mayat tadi. Macam mana sekarang, bang?"
Zam memandang Rashid. Rashid memandang Ahmad dan Ahmad memandang Kassim. Riak wajah mereka menunjukkan satu jawapan.
"Tak mengapa, Zam. Rashid, Kassim! Mari kita pergi?" Dengan serentak mereka berdiri dan serta-merta berjalan pantas merentasi hutan untuk segera sampai ke tempat mayat itu.
Zam agak ketinggalan di belakang ketika berjalan dengan mereka kerana terlalu risau memikirkan tentang Sidi yang tiba-tiba hilang. Sambil berjalan, Zam memekik-mekik memanggil nama Sidi dan asyik menoleh ke kiri dan kanan hutan. Rashid yang sedar adiknya ketinggalan di belakang mula memperlahankan
kelajuan dan melaungkan nama Zam, memintanya untuk berjalan dengan lebih pantas. Zam terkejut mendengar laungan itu dan terus mendekati abang dan rakan-rakannya. Zam dibiarkan berjalan di hadapannya. Tiba-tiba bunyi guruh yang kuat beserta dengan kilat yang sabung-menyabung menyentak mereka
YOU ARE READING
Penanda Kubur Anira
HorrorAnira, seorang wanita yang tua, hodoh dan lumpuh, telah tiba di kampung Dangi pada tahun 1923. Ketibaannya di-iringi satu sumpahan 100 tahun lamanya. Dia terpaksa membunuh dan memakan jantung lelaki setiap hari untuk mengekalkan kejelitaannya dan ku...