"Hazel!" Panggilan itu buatkan aku menoleh ke belakang.
Hazel. Ya... Itu nama aku. Nama penuh, Tristin Hazel binti Tahir. Nama aku biasa-biasa aje. Tapi... Kenapa orang kalau dengar nama aku mesti komen pertama mereka adalah, peliknya? Tristin mahupun Hazel, dua-dua orang cakap pelik.
Tak tahulah apa yang pelik. Tak faham aku. Lainlah kalau letak nama Corylus Avellana, aku tak peliklah kalau nak jatuh rahang depan aku. Apa tu? Silalah Google sendiri, ya. Kira nasib baiklah mak aku tak letak nama tu, kan?
"Hazel-nut. Hazel-nut butter." Aku dengar dia menyambung sebelum mengatur langkah ke arahku. Sengih lebar macam biasa.
Hazel-nut. Memang ramai sangat suka panggil aku dengan nama tu. Banyak lagi gelaran orang lain yang suka main-mainkan nama aku. Dulu, ada rasa juga nak tendang sampai enam kaki ke bawah. Tapi sekarang ni, aku dah tak kesah. Dah imun.
Nama aku memang Hazel. Tapi, jangan risau. Nama abang aku bukan gajus, adik aku pun bukan pistachio. Hanya aku, Hazel. Kenapa? Entahlah... Mak aku mengidam kacang hazel masa mengandungkan aku dulu agaknya. Mungkin juga sebab mata aku memang warna hazel. Satu-satunya pewaris mata mak aku.
Hazel aku cuma pada nama. Yang pasti aku tak suka kacang hazel. Aku punya masalah dengan nama aku ke? Langsung tidak. Aku suka nama aku. Aku tak rasa pelik pun. Kalau orang boleh letak nama bunga, kenapa tidak nama kacang? Lagipun, di luar negara berlambak orang letak nama Hazel.
"Hazel... Hazel... Hazel..." Cantik sangat agaknya nama aku sampai tak puas-puas budak tu seru.
Aku turut senyum sambil melambai tangan ke arah si pemanggil itu. Sabiha. Kawan baikku di universiti ni. Orang pertama yang aku kenal sejak jejak kaki ke kampus ni. Orang sama yang sama-sama kena denda sebab tak pakai stoking masa minggu orientasi dulu. Orang yang sama aku ajak bersubahat, mintak dia tandatangan kalau aku ponteng kelas. Tak sangka kami dah kenal lebih tiga tahun. Dan sekarang, kami dah di tahun akhir.
"Lamanya tak jumpa kau. Rindu..."
Kami terus berpelukan lepas jumpa. Perempuan... Biasalah kalau dah jumpa. Teori tentang perempuan. Bila berjumpa, kalau tak terkinja-kinja macam monyet bukan perempuan namanya. Saja nak jejak kasih kat tengah-tengah kafe ni.
"Tak payah nak poyo sangat, boleh? Lama pekebendanya. Dua bulan aje kut." Aku mencebik. Balasannya, kena hempuk dengan buku setebal Kamus Dewan kat bahu.
"Woi... Sakitlah! Kalau dislocate bahu aku ni, apa kau nak jawab dekat Iwan?" marahku sambil gosok-gosok bahu kanan yang tak bersalah dan dah jadi mangsa kekejaman Sabiha.
Siapa Iwan? Iwan tu tunang aku. Bukan kekasih ya, tapi tunang. Umur dia lebih tua dua tahun daripada aku. Dia senior aku dulu. Sekarang dah kerja kat Johor. Jarang-jarang dah kami jumpa. Hubungan jarak jauh la katakan.
Cebikan Sabiha buatkan khayalan aku tentang tunangku terbang. Di depan mata sekarang, nampak muka comel Sabiha yang menyampah tiap kali aku keluarkan nama tunang tersayang.
"Eleh... Gedik. Lapar... Jom makan." Dia ajak aku. Pantang nampak aku, mesti ajak makan.
"Dah... Jom." Aku setuju. Lapar juga sebenarnya.
Kelas aku habis agak awal hari ni. Maklumlah... Semester baru buka. Pensyarah bukannya nak mengajar sangat. Sesetengah tu sengaja batalkan kelas. Sesetengah pula jumpa sekadar nak bagi pengenalan tentang apa yang akan diajar.
Tapi... Kira baiklah aku datang juga. Maklumlah... Dah jadi senior. Dah insaf. Dah kembali ke pangkal jalan dan tinggalkan alam jahiliah.
"Weh... Jom teman aku pergi post office. Aku nak settle bendalah." Sabiha mengajakku.
![](https://img.wattpad.com/cover/107206121-288-k68176.jpg)
YOU ARE READING
DR. ALPHA MALE
General FictionPENULIS: ANJELL TAJUK: DR. ALPHA MALE HARGA : RM27 (SM)/RM30(SS) Alpha Male. Kata kunci seorang alpha male adalah keyakinan! Yakin dengan rupanya. Yakin dengan gayanya. Dan dah tentulah yakin dengan percakapannya. Kalau tak, takkanlah terkeluar kata...