BAB 12

48.1K 1.4K 103
                                    

Hari Jumaat memang tiada kelas petang. Jadi aku membuat keputusan untuk pergi lepak di bilik asrama Sabiha. Kebiasaannya, kalau tiada apa-apa aku akan terus balik kampung sebaik sahaja tamat kelas pagi. Tapi minggu ini aku rasa macam malas pula. Dah lama tak bersister-bonding dengan Sabiha ni.

Petang itu, Sabiha ajak aku keluar joging. Sambil joging, sambil mengelilingi kawasan kampus. Lebih kurang pukul lima petang, kami berdua keluar berjoging. Apa rahsia seronok berjoging? Haruslah berjoging bersama teman.

Kawasan kolej kediaman agak cantik. Ada tasik di tengah-tengah kawasan, memisahkan bangunan asrama lelaki dan asrama perempuan. Tasik itu agak luas juga. Ramai pelajar yang mengamalkan gaya hidup sihat dengan berjoging mengelilingi tasik itu.

Sabiha pula mengajakku untuk berjoging di sekeliling bangunan fakulti. Agak jauh tapi boleh jalan-jalan. Petang-petang macam ni, ramai juga yang berbasikal dan melakukan aktiviti senaman yang lain.

Puas berjoging, kami melalui stadium universiti. Ada pasukan bola sepak kampus ini sedang melakukan latihan di tengah-tengah padang. Nampak mereka semua berlari-lari. Ada juga yang sedang menyepak bola. Di kawasan stadium itu, ada juga pelajar yang duduk di kerusi penonton. Sama ada memang mahu melihat atlet bola sepak membuat latihan atau sekadar suka-suka untuk lepak bersama kawan-kawan.

Sabiha seret tanganku untuk duduk di tempat duduk penonton paling depan. Dari sini aku dapat melihat dengan jelas wajah-wajah atlet bola sepak. Mata Sabiha tentu saja tertancap pada kapten pasukan bola sepak ini. Siapa lagi kalau bukan Hariz si gorila kuning itu?

Aku mendengus. Patutlah beria-ia dia seret aku ke sini. Mahu melihat Encik Candy Crush dia beraksi rupa-rupanya. Tak peliklah kalau Si Sabiha ni sengih sampai nak terkoyak mulut aku tengok.

"Weh... Handsome tak dia?" Itu yang Sabiha tanya aku. Mata melekap pada tubuh Hariz di tengah-tengah padang.

Aku geleng-geleng kepala. Lagi nak tanya soalan yang dah sah-sah terang lagi bersuluh? Tanyalah seluruh orang di stadium ni, mungkin adalah seorang dua yang rabun jauh atau busuk hati cakap Hariz itu tidak kacak.

Hariz menggelecek bola sebelum dilontarkan kepada penyerang pasukannya. Muka serius memberi isyarat kepada anak buahnya dengan jari. Nampak berkarisma pula si gorila kuning itu apabila mukanya serius.

"Kan betul aku cakap dulu. Cool kan cara dia main?"

Aku diam aje la. Cool tak cool. Kalau dah namanya bola sepak, tak pernah lagi aku jumpa orang sepak pakai punggung. Semua pakai kaki.

"Makin lama aku tengok dia, makin aku rasa pernah nampak muka dia. Seseorang yang ada iras-iras dia. Siapa, ya?" omel Sabiha.

Mula-mula Sabiha berkata sebegitu, aku syak Hariz adalah salah seorang model lelaki yang pernah muncul dalam majalah Maskulin Sabiha. Tapi hari ini, hatiku turut mengeyakan. Wajah Hariz seakan-akan seseorang. Tapi kenapalah tak muncul-muncul juga siapa orangnya?

Tak lama kemudian, kedengaran wisel ditiupkan. Mungkin jurulatih mengarahkan anak-anak buahnya untuk berehat sebentar. Ketika itulah aku melihat Hariz datang berlari-lari ke luar padang. Atau lebih spesifiknya ke arah kami.

Boleh tahan cekap juga mata Hariz. Dapat mengecam kami di balik puluhan orang pelajar yang sedang duduk di kerusi penonton. Dia membongkokkan sedikit tubuh tingginya supaya kedua-dua lengannya dapat direhatkan di atas dinding batu yang memisahkan kami.

"Hai, Biha. Hai, Smurf," tegur Hariz. Dia senyum manis.

Bibirku automatik mendengus. Kenapalah aku pakai biru hari ni?

"Hai juga, gorila kuning," sinisku.

Hariz tunduk pandang baju jersi tanpa lengannya yang dah lencun dengan peluh itu. Kebetulan yang amat. Warna hitam campur kuning. Dia ketawa bebas membuatkan wajahnya yang dibasahi peluh itu kelihatan bersinar, sehingga mengundang perhatian beberapa gadis di sisi kami.

DR. ALPHA MALEWhere stories live. Discover now