BAB 4

1.7K 38 2
                                    

Hujan lebat, gunung terbakar,

Embun setitik padam apinya.

"Astaghfirullah!"

Dayana mengeluh kesal. Surat yang berada dalam tangannya rasa ingin dironyok dan dilempar ke adik lelakinya yang seorang itu.

Budak ni memang tau, tak habis-habis nak cari pasal! Dingin pendingin hawa di dalam bilik tidur itu sedikitpun tidak mampu mengurangkan tahap panas menggelegak dalam hatinya. Kalau masuk besi, boleh lebur agaknya!

"Apa pasal?" Azmie memandang Dayana yang sudah berubah wajah. Ini jika tidak bertapis ayat, mahu kena rodok di perut penangan Dayana.

"Hesy, tak tahulah nak kata apa adik ipar awak tu!" Tidak diketahui apa puncanya, Dayana berasa kepalanya berdenyut-denyut. Azmie masih memandang dengan muka separuh blur. Angin tak ada, ribut tak ada, tanpa dapat dikawal, dia naik angin.

Namun dia tahu, isterinya memang akan berapi satu badan dan menyinga kalau pasal adik lelaki dia.

"Kenapa?" Azmie bertanya sepatah. Memberi kuasa sepenuhnya untuk isterinya merungut panjang. Harap-harap tak keluar darah dari telinga kena dengar leteran Dayana.

"Adib ni kan, kalau tak buat orang marah, tak buat orang menyampah dekat dia, tak meriah agaknya hidup dia!" leter Dayana sambil menghulur surat yang sampul dan isinya ada cap rasmi kolej.

Dia menghenyak punggung di atas kerusi empuk sebelum merungut sendiri. Di luar, hujan masih renyai-renyai. Cuaca sedikit sejuk walaupun hatinya masih panas. Dia membuang pandang ke arah Azmie, menanti reaksi suaminya.

Lama Azmie membaca kandungan surat. Mula-mula wajahnya berkerut serius tapi pada satu perenggan, dia tidak mampu menahan gelak. Terhambur ketawa besarnya. Aduh, kelakar sungguh adik iparnya ini. Memang geliga otaknya, licin berkilat. Lebih berkilat daripada batu cincin!

"Eh, abang dah kenapa?" Dayana sudah mengangkat kening ala-ala Ziana Zain. Ingatkan adalah penyokong tetap, tapi rupa-rupanya hampeh! Sah! Suaminya tak kesah langsung pasal masalah budak Adib ni.

Azmie cuba menahan tawa melihat muka cemberut isterinya. Namun, sengihannya masih belum reda.

"Tak... Cuba baca betul-betul! Kena tindakan tatatertib, tindakan disiplin sebab berniaga di kolej."

"Memanglah! Tapi yang abang gelak tu kenapa?"

"Kelakarlah surat ni. Ambil tindakan disiplin sampai tahap mungkin kena gantung kolej sebab berniaga gula-gula, berniaga Maggi dengan sosej rebus!"

"Memanglah salah! Nama pun studen, kan! Orang hantar pergi kolej tu suruh belajar, bukan suruh sibuk-sibuk berniaga." Makin panas hati Dayana melihat reaksi suaminya.

"Tak adalah besar sangat kes dia. Ingatkan belasah orang ke, kes buli ke! Ni, takat meniaga. Hah, patut bangga tu! Zaman gawat ni memang eloklah budak-budak tu asah skil berniaga." Entah kenapa Azmie berasa tak ada isu serius yang perlu digusarkan.

"Kalau Adib dengar komen abang ni mahu kepala dia tu tumbuh tanduk macam tanduk rusa! Tak kiralah! Menyusahkan saya tak habis-habis budak ni. Satu kerja pula saya nak kena balas surat amaran kolej ni." Memang mencuka muka Dayana. Rosak moodnya hari itu mahu ke Putrajaya untuk satu shooting iklan.

"Alah, cool la! Benda kecik aje tu!"

"Memanglah benda kecik. Tapi kalau dah selang sebulan saya jenuh nak menjawab telefon pihak kolej, penat nak kena balas surat macam ni... Memang rasa nak kena rendam Si Adib ni dalam kolah Masjid Kampung Hulu dekat Melaka tu!" rungut Dayana dengan dada yang berapi-api.

LELAKI LINGKUNGAN CINTAWhere stories live. Discover now