Berhenti ribut, lenyap daratan,
Namun laut berombak juga.
Malam kian merangkak sunyi. Adib dan rakan-rakan masih terjengket-jengket mahu keluar dari kolej. Namun, dari kejauhan mata Arep seakan-akan menangkap satu kelibat di hujung koridor.
"Wei, tu orang ke?"
Hujan yang terus menjarum turun membuatkan pandangan mereka agak kabur. Kedinginan tajam menggigit tulang hitam.
Semua yang lain berhenti melangkah. Mata masing-masing kecil merenung tajam ke arah hujung koridor itu.
"Wei, serius ke? Tu orang ke hantu?" Masing-masing bungkam. Melihat lembaga itu berlegar-legar di koridor. Langkah gayanya seperti orang mabuk.
"Wei, hantu tu!"
Wajah mereka pucat. Namun, Adib selamba bersuara.
"Takkan hantu pegang barang?"
"Pegang barang?"
Jelas kelihatan lembaga itu sebenarnya seorang perempuan yang sedang berjalan mundar-mandir dengan memegang beg di tangannya. Dan, beg tu...
"Adib, tu bukan beg kau ke?" Adon bersuara setelah lama mengecilkan mata.
"Huh?"
"Tu bukan Esya ke?"
"Huh?!" Double nganga.
Esya dilihat sudah separuh gila. Dia sekejap-sekejap ketawa, sekejap-sekejap menangis. Tangannya memeluk erat beg Adib. Sesekali dia menjerit sayu. Ngeri dan seram bercampur baur.
"Ya Allah, Esya!"
Adib bingkas berlari ke arah Esya. Rakan-rakan lain turut sama mengikut.
"Esya! Esya! Awak kenapa?!"
Esya berhenti bergerak. Tegak mematung raut wajah itu. Sepasang matanya membuntang meratah wajah Adib yang berada di hadapannya. Serentak itu juga dia menjerit kuat.
"Allah... Don, cepat panggil ustaz. Yang lain, tolong aku! Pegang Esya. Dia dah kena rasuk!"
Sepantas kilat, Adon membuka langkah mencari Ustaz Mat Shahrul. Yang lain-lain berusaha untuk menenangkan Esya.
Seketika kemudian, bangunan biologi sebelah surau itu penuh dengan para pelajar. Semuanya dipanggil untuk membantu membaca Yasin. Ustaz Mat Shahrul mengambil alih cuba untuk menenangkan Esya. Adib sudah berundur dahulu menyertai jemaah membaca Yasin.
"Jangan pegang dia, tepuk dari belakang dulu. Baca ayat ruqyah ramai-ramai!"
"Ada sesiapa yang hafal, sebaik-baiknya yang hafal."
Semua pelajar lelaki dan perempuan mengundur ke belakang. Di tangan masing-masing memang ada buku surah Yasin.
Esya semakin menggila. Fikirannya bagai dikuasai sesuatu. Matanya sekejap membuntang, sekejap terpejam dan ada ketika cuma nampak mata putih saja. Nafasnya kasar dan mendesah. Sesekali dia mendengus garang. Tubuhnya menggelepar.
"Kau gila! Kau bodoh! Jangan kacau aku! Pergi jahanam semua orang! Biar mati kena petir!" Dia mengilai kemudian cuba mencapai serpihan kaca tingkap yang pecah tadi.
Kali ini ramai sudah semakin ke belakang. Bimbang histeria itu berjangkit. Yang perempuan diasingkan di surau. Pelajar lelaki beramai-ramai membaca Yasin dan ada yang melaungkan azan.
Keadaan semakin tidak terkawal apabila Esya kian meracau. Beberapa pelajar lelaki termasuk Ustaz Mat Shahrul, Ustazah Raudah, Rinn serta Pak Hassan disepaknya sehingga tersungkur. Dan tiga kali Esya cuba menerpa ke arah Rinn.
YOU ARE READING
LELAKI LINGKUNGAN CINTA
General FictionTajuk: Lelaki Lingkungan Cinta Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-2102-13-7 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2017 DAPATKAN SEGERA MELALUI APLIKASI KARYASENI DI GOOGLE PLAY ATAU AP...