BAB 12

1.1K 23 1
                                    

Mimpi bahagia abang semalam,

Bulan bintang jatuh ke riba.

Angin pagi dari timur membawa kesejukan yang luar biasa. Dengan segala kepayahan, Adib memaksa diri untuk pergi ke kuliah pukul lapan pagi itu. Arep dan Adon terkejut melihat Adib sudah berkemeja seawal pukul 6.45 pagi.

"Woi! Awalnya!"

"Aku tak tidurlah sejak malam tadi!"

"Gilalah kau!" balas Arep yang masih terkial-kial mencapai failnya.

"Ingatkan kau subuh gajah!" sampuk Adon yang tak mandi pagi. Selepas gosok gigi, berwuduk langsung bersolat. Tanpa rasa bersalah terus bersiap untuk kuliah pertama.

"Hesy, depan rumah ada jodoh. Mesti tunjuk kita bakal imam dia!"

"Bongek la kau!" Berdekah-dekah gelak tiga bujang di rumah itu.

"Kau bangun pagi ni nak intai dialah?" jerkah Adon sambil bersikat rambut. Mandi tak penting. Rambut mesti rapi bersisir dan minyak wangi entah berapa kali disemburnya satu badan.

"Aku tak intai. Aku perhati dari jauh. Cerah harapan kita nanti tiap kali sahur bulan Ramadan kalau kekal berjiran dengan jodoh, kita mesti tak miss sahur." Adib mengenyit mata nakal. Memang dia terkejut melihat lampu rumah depannya sudah bernyala pada pukul empat pagi.

"Sudahlah lu, Apek! Ketuk gendang sebelah kau pun time kat kolej, haram kau tak bangun sahur. Penatlah ayahanda tu meniarap rotan kau, pun kau kejang macam dah tak bernyawa. Lagi mahu berangan budak depan rumah ni nak kejutkan kau sahur. Piraaah mabuk!" cemuh Arep disambut gelak berderai Adon dan Adib sendiri.

"Assalamualaikum!" Laju saja Adib memberi salam pada Esya sewaktu terserempak di depan pintu.

"Waalaikumussalam," jawab Rinn dan Ayu serentak. Esya pula pura-pura tidak nampak. Wajahnya selamba memandang Adib seperti memandang tembok.

"Banyaknya barang awak bawa, Esya. Berat beg tu!"

Adib tetap tak berputus asa. Gigih berusaha untuk mengayat Esya. Langkah gadis itu terus laju meninggalkan Adib. Huh! Rimas! Memang aku pindah rumah sudahnya nanti! Esya sudah ligat berfikir macam-macam.

Rakan-rakan yang berada di belakang Adib sudah menggeleng. Arep dan Adon ketawa terbahak-bahak menambah bara pada hati Esya.

Berdengung kepala Esya mendengar suara-suara nakal itu. Tanpa rasa bersalah, langkah Esya semakin laju meninggalkan Ayu dan Rinn. Tapi Adib tetap berusaha mengejar.

"Esya! Esya! Tengok awak tercicir ni!"

Esya terhenti dan menoleh ke belakang. Berkerut memandang Adib. Kemudian menoleh ke beg galasnya sambil meraba-raba ke dalam. Tangan kemudiannya merapat ke dada. Kad matriks elok aje ada.

"Jangan laju sangat! Nanti tercicir barang payah." Adib bersungguh.

"Cicir apa?"

"Awak tercicir hati awak. Saya dah ambil tadi. Dah simpan dalam dada saya!" Adib mendekati gadis itu dan berbisik perlahan. Merah padam wajah Esya.

"Adib!!! Awak memang sengal la!" Esya tergamam geram. Spontan bibirnya menjerit halus. Nyaris tangannya mahu menghempuk Adib dengan fail yang dipegang.

"Yalah, bawa barang macam nak pergi berkelah, jalan macam kena kejar hantu. Nanti semua barang cicir." Adib mahu melompat ke bintang melihat gadis itu seperti sedikit beralah. Langkahnya kian seiring dengan langkah Adib menuju ke lif.

Huh! Memanglah langkah macam tak cukup tanah! Dah kau jadi hantu raya yang mengejar aku! cemuh Esya dalam hati.

"Adib, awak ni masuk kuliah lenggang kangkung aje, ya?"

LELAKI LINGKUNGAN CINTAWhere stories live. Discover now