BAB 6

7.7K 160 0
                                    

Irina bangun. Meminta diri dari kawan-kawannya. Alasannya dia penat. Selesai mandi dan menunaikan solat sujud syukur, dia berbaring di atas katil. Malam dingin buatkan dia terketar sejuk. Duvet tebal dia tarik hingga menutup dada. Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 malam. Berbulan dia bekerja keras untuk panel review, akhirnya dapat dia berehat sekejap. Elok-elok esok hujung minggu, boleh dia keluar berjalan-jalan ambil angin.

Dia buka aplikasi Facebook. Mencari nama James Howards. Lelaki Inggeris yang baru sahaja dia kenali tadi. Dia jarang gunakan Facebook. James jarang mengemas kini profilnya. Semua gambar yang ada adalah gambar lama semasa dia tinggal di Korea Selatan. Beberapa album lain dia perhatikan. Gambar-gambar keluarga dan pengembaraan dia beberapa buah negara termasuklah Morocco, Sepanyol, Ecuador, Korea Selatan, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

"Uish... Jauh perjalanan, luas pengalaman dia ni..." bisik hati kecil Irina sambil satu per satu gambar James diperhatikan olehnya.

"Pernah ke Vietnam dan Thailand rupa-rupanya... Mestilah dia cam aku ni Melayu, kan? Tapi kawan-kawan mat salih aku yang lain pun tak dapat teka aku ni orang apa. Umi dengan ayah banyak sangat susur galur kahwin orang luar..."

Dari duduk berbaring, Irina bangun menegak. Seronok juga jadi stalker rupa-rupanya. Irina ketawa sendirian. Lucu pula bila dia stalk Facebook lelaki macam ni. Buang tebiat betul.

"Tengok album Morocco la pula..." Satu per satu gambar James di Morocco dia perhatikan.

"Muda lagi ni..." Dia semak tarikh gambar dimuat naik. Sah, memang James waktu itu baru lagi berusia 17 tahun. Mesti habis sahaja belajar, dia terus berkelana. Mat salih memang suka ekspedisi berseorangan macam tu. Siap mengayuh basikal lagi di gurun. Tinggal dengan masyarakat tempatan yang rumahnya dibuat daripada tanah liat sahaja.

"Hmmm... Aku ni sibuk belajar aje... Kalau dapat berjalan macam dia ni best juga."

Sampai pada satu gambar yang mana James memakai jubah hitam di sebuah restoran, lama Irina perhatikan... Dia ketap bibir. Senyumannya lebar. Entah kenapa, dia rasa bahagia apabila melihat gambar itu. James tak ubah seperti orang Islam apabila berpakaian begitu. Wajahnya agak kemerahan tanda terbakar dek terik mentari, tetapi ia buatkan dia kelihatan lebih macho.

"Kalaulah dia Islam... Hmmm..." Panjang dia menghela nafas. Mindanya berfikir tentang pelbagai cabaran mendatang andai dia teruskan niatnya ingin mendekati lelaki itu.

Macam mana kalau dia ajak keluar dating? Aku mana date lelaki...

Kalau couple, takkanlah dia okey aje kalau aku tak nak pegang tangan? Tak nak sentuh-sentuh? Bolehkah dia terima semua tu?

Kalau bercinta pun, sampai ke mana? Nak ke dia masuk Islam?

Ah, takkanlah dia nak masuk Islam sebab aku? Mestilah sebab Allah s.w.t.

Habis bermonolog, Irina tutup aplikasi Facebook. Pening kepala dia nak fikirkan itu semua. Lagipun, dia takut dia tidak mampu untuk fokus pada pelajaran andai dia bercinta dan dia tidak suka buat perkara sia-sia.

Buat apa nak habiskan masa dengan lelaki yang dia sendiri pun tak tahu dan kemungkinan untuk mereka berakhir dengan perkahwinan adalah 30% ya dan 70% tidak? Kalau dengan sesama Islam sekurang-kurangnya, kemungkinan untuk berkahwin adalah 50% ya dan 50% tidak.

Irina sayang, orang yang kahwin sama-sama Islam pun belum tentu kekal sampai mati perkahwinan mereka.

Satu suara menyapa. Suara hatinya? Atau suara akalnya?

SUAMIKU SI MATA BIRUWhere stories live. Discover now