BAB 2

12.9K 243 6
                                    

Disember 2013

"Masya-Allah. Terima kasih, Ya Allah."

Bagaikan mimpi apabila kakinya melangkah memasuki kapal terbang Air Asia yang disewa khas oleh pihak agensi pelancongan yang membawa mereka menunaikan umrah. Pelbagai dugaan mereka hadapi hinggalah ke pintu masuk balai berlepas di lapangan terbang tadi. Hanya Allah yang tahu perasaan mereka, tetapi seratus peratus mereka percaya semuanya Allah aturkan dengan baik. Sama ada jadi mereka ke Mekah ataupun tidak, itu hak Allah s.w.t.

Mereka tempah pakej umrah melalui kawan ayahnya yang bekerja dengan sebuah agensi pelancongan di Kelantan. Manakala pakej asal ditawarkan oleh pihak agensi di Negeri Sembilan. Puan Munirah kononnya menjadi orang tengah dan selaku kawan, ayahnya percaya kepada Puan Munirah. Rupa-rupanya harga sebenar pakej hanyalah RM4500.00, bukanlah RM5,500.00 seorang seperti yang diminta oleh Puan Munirah. Itu tak apa lagi. Mereka melakukan pembayaran terus kepada pihak syarikat tempat Puan Munirah bekerja.

Asalnya Puan Munirah meminta ayahnya memasukkan kesemua jumlah bayaran ke akaunnya, bukan kepada akaun syarikat. Sangsi dengan perilaku Puan Munirah, ayahnya bertanya kepada pihak syarikat. Akhirnya mereka dapati Puan Munirah sudah banyak mencuri duit syarikat dan kini dia dipecat.

Sangka mereka, pemilik syarikat orangnya boleh dipercayai tetapi bayaran yang mereka masukkan ke akaun agensi pelancongan tidak pula dibayar kepada agensi pelancongan asal di Negeri Sembilan. Sehinggalah ke saat akhir tadi, Mawar dan Daniel masih leka menelefon Encik Bakri, si pemilik agensi pelancongan di Kelantan meminta dia membuat pembayaran kepada Ustaz Hussein yang bekerja dengan agensi pelancongan sebenar di Negeri Sembilan.

Mujurlah ada Ustaz Hussein. Orangnya bertubuh sederhana dengan wajah yang menenangkan mata yang melihat. Tutur katanya lemah lembut, sebaik peribadinya. Urusan visa mereka Ustaz Hussein yang uruskan. Mereka terpaksa ke Negeri Sembilan dan berurusan terus dengan pihak agensi Husseiniyah yang menguruskan pakej umrah mereka. Ustaz Hussein yang datang dan menguruskan mereka di Negeri Sembilan dan di lapangan terbang.

Pada saat-saat akhir tadi Encik Bakri masih tidak memasukkan wang. Sangka mereka, mereka akan kembali dengan bagasi-bagasi yang ada tanpa sempat menaiki kapal terbang. Rupa-rupanya kuasa Allah lebih besar daripada itu. Tanpa bayaran yang dibuat oleh Encik Bakri, Ustaz Hussein menelefon pihak syarikat dan mereka dibenarkan untuk berlepas ke Mekah bersama-sama dengan semua jemaah. Kata Ustaz Hussein, dia yakinkan pihak syarikat yang bayaran akan dibuat dalam beberapa hari lagi. Dia letakkan janji atas reputasinya dan dia percaya ayah seorang yang jujur.

"Alhamdulillah." Uminya yang duduk di sebelah hampir menitiskan air mata. Tidak sangka urusan umrah pun manusia masih lagi mahu menipu. Tapi Allah Maha Adil.

Encik Nazir menadah tangan berdoa. Dalam hatinya memanjat syukur kepada Allah atas peluang yang Allah berikan untuk dia kembali ke tanah suci Mekah.

27 tahun yang lepas dia ambil risiko membeli tiket kapal terbang pergi balik ke Mekah dengan visa umrah. Waktu itu isterinya Siti sedang mengandungkan Irina. Dia tiada pelan tempat tinggal, mahupun pelan perjalanan. Wang di koceknya hanya ada beberapa ratus ringgit. Tetapi dia tetap ke Mekah. Takdir Allah dia bertemu dengan delegasi dari Malaysia yang ingin ke sana untuk melakukan umrah. Dia ditawarkan oleh mereka untuk turut serta. Mereka orang berpangkat dan berwang. Kesemua perbelanjaan dia di sana, mereka yang bayarkan. Sewaktu berdoa di hadapan Kaabah ketika tawaf terakhirnya dulu, dia berdoa agar tidak akan menjejakkan kaki ke sana melainkan bersama-sama dengan Siti.

Namun, takdir Allah. Dia diberikan rezeki dari segi anak-anak tapi bukan wang ringgit. Malah, baki pembayaran umrah untuk dia, Siti dan Ikhlas kali ini dibayar oleh Irina. Kata Irina, dia mahu gunakan wang hasil simpanannya selama bekerja dulu untuk umi dan ayahnya. Dalam hatinya ada sedikit kekesalan dan rasa bersalah dek yang menguruskan hal umrah mereka pada asalnya ialah kawannya sendiri, Puan Munirah. Kuat dia berdoa agar Encik Bakri tunaikan janjinya. Ke mana perginya wang mereka yang sudah mereka bayar sebulan lepas? Terbayang wajah Ustaz Hussein tadi. Erat dia memeluk Ustaz Hussein sebelum berangkat masuk ke balai berlepas. Kata Ustaz Hussein:

SUAMIKU SI MATA BIRUWhere stories live. Discover now