Bab 7

522 21 0
                                    


"AKU dah dapatkan jadual latihan yang terbaru daripada Cikgu Majid," kata Nurul sambil melangkah masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak. 

Kelihatan semua ahli rasmi sudah berada dalam bilik itu. Ada antara mereka sudah berpakaian sukan lengkap sebelum turun ke padang untuk latihan. Ada juga di antara mereka yang masih mengikat tali kasut.

"Mungkin selepas ni kita patut buat peraturan. Perempuan dilarang masuk ke dalam bilik ni. Dahlah main redah saja. Kalaulah kita orang tengah tukar seluar, boleh menjerit satu sekolah," kata Hayrul seolah sedang menyindir Nurul.

"Mungkin lepas ni kita buat peraturan, kalau kau orang nak tukar seluar, sila kunci pintu terlebih dulu," sindir Nurul pula, tetap tidak mahu mengaku kalah.

Masuk hari ini, hampir sebulan Nurul menjalankan tugasnya sebagai pengurus. Kelab Bola Sepak. Pelbagai rintangan yang ditempuhi olehnya. Dia terpaksa berhadapan dengan macam-macam ragam terutama sekali Hayrul yang sememangnya anti dengan perempuan. Ada saja yang tidak kena dengan apa yang dilakukannya dan dia pula tetap akan mempertahankan dirinya. 

Kadangkala peperangan besar akan meletus antara dia dengan Hayrul. Dan, yang terpaksa meleraikan pergaduhan itu adalah Rezza atau Fiq. Tetapi, selalunya mereka berdua akan bekerjasama untuk meleraikan pergaduhan yang berlangsung.

"Memang betul-betul perempuan tak reti malu," ujar Hayrul perlahan.

Walaupun perlahan, tapi telinga Nurul mendengarnya dengan jelas. Serentak dengan itu, Nurul menghempas sebuah buku berkulit tebal di atas meja bersebelahan dengan Nazrul yang sedang tidur nyenyak. Serta-merta Nazrul terjaga daripada tidurnya. Semuanya kaget. 

"Aduh, kau orang ni kalau bergaduh mesti aku yang jadi mangsa," keluh Nazrul sambil menguap besar. "Aku nak tidur pun tak boleh!"

Rezza yang duduk di hadapan Nazrul cuba menahan tawa. Tak sia-sia dia memilih Nurul sebagai pengurus kelab. Inilah pengurus idamannya. Boleh bangunkan Putera Katak walau apa cara sekalipun. 

"Sekarang bukan waktu untuk tidur," ujar Nurul tegas. 

Nazrul segera bangun dan membuka jaketnya sambil mulutnya menyumpah-nyumpah sesuatu. 

Nurul hanya menghadiahkan jelingan tajam. Selain Hayrul, Nazrul juga merupakan musuh luar selimut. Mana tidaknya, Nazrul asyik tidur saja sepanjang masa sampai ada satu hari, Nazrul yang selaku penjaga gol boleh tidur di tengah-tengah gawang sewaktu latihan berjalan. 

"Menyusahkan kalau ada pengurus ni," kata Hayrul pula sambil membuka pintu lokar untuk menyimpan baju sekolahnya. 

Nurul langsung tidak ambil peduli dengan sindiran Hayrul. Dia tahu lelaki itu tidak berpuas hati dengan cara pengurusannya. Tapi, dia tidak peduli. Siapa suruh cari pasal dengannya. Kan dah kena!

Sebentar kemudian Fiq yang sudah siap berpakaian sukan melangkah masuk ke dalam. Nurul menghadiahkan senyuman manis kepada Fiq dan Fiq membalasnya. Selama Nurul jadi pengurus, dia dengan Fiq sentiasa bersama walaupun bukan berbincang tentang hal peribadi. Tapi, itu pun sudah boleh dikatakan sebagai satu peningkatan yang baik. 

"Kenapa?" 

Pertanyaan Zul menarik perhatian mereka semua. Semua tertumpu pada Hayrul yang kaku di hadapan lokarnya yang terbuka luas. Masing-masing pelik.

"Err…" Suara Hayrul seakan tersekat. Matanya memandang sekeping sampul surat warna biru yang tiba-tiba terdapat di dalam lokarnya. 

Sekejap saja mereka semua berkerumun di hadapan lokar Hayrul, melihat surat biru misteri itu.

"Surat cinta?" tanya Zaki seakan tidak percaya.

Serentak dengan itu Nurul berpaling apabila mendengar Zaki menyebut surat cinta. Setahunya, Hayrul langsung tidak menerima surat cinta dan dia juga pasti tiada surat cinta yang diletak di dalam lokar Hayrul. 

Prince CharmingWhere stories live. Discover now