RAMADHAN 4 (CERPEN)

104 7 39
                                    

(RAMADAN TERINDAH)

Sayup-sayup kendengaran azan maghrib dari surau berhampiran. Nek Senah terus menadah tangan lalu membaca doa berbuka puasa. Matanya memandang sayu makanan yang terhidang buat dirinya. Sungguh, hati tuanya terasa begitu sunyi berbuka tanpa anak dan cucunya. Hatinya menangis pilu saat dia terkenangkan keriuhan di rumahnya sewaktu ketika dulu. Di saat anak-anaknya sanggup mengambil cuti dan meluangkan Ramadan pertama bersamanya di kampung.

Namun, semua itu hanya tinggal kenangan yang terpahat di memori tuanya. Sudah dua tahun dia menikmati Ramadan tanpa kehadiran anak cucunya. Dia pun tak tahu apa salahnya sehingga anak-anak meminggirkan dia. 

"Nenek sedih ke?" Nek Senah tersentak saat suara halus menusuk halwa telinga. Dia usap lembut air mata yang mengalir di pipi. Orang tua itu tersentak melihat suasana di meja makan tiba-tiba menjadi riuh. Terbias wajah-wajah anak dan cucunya berbuka puasa bersama-samanya. Dia tenyeh mata, seolah-olah tak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Mak tak mimpi pun mak. Kami datang ni, mak janganlah sedih lagi. Lepasni Amin janji Amin tak akan tinggalkan mak sesorang kat kampung lagi," ujar Amin sambil mengusap bahu ibunya. Nek Senah tersenyum melihat wajah ceria anak dan cucunya.

"Kenapa kamu semua tinggalkan mak?" soal Nek Senah dengan nada suara yang bergetar. 

"Kenapa tanya macam tu mak? Dah, baik mak makan lepastu kita tarawih kat surau. Lama sangat kita tak tarawih sama-sama kan. Tiah dah pasang pelita dekat luar, nampaklah meriahnya rumah mak ni. Kan," tambah Atiah pula sambil mencedokkan nasi goreng buat anak kecilnya. Nek Senah hanya mengangguk sebelum dia meneguk air suam. Sungguh, semua ini merupakan kejutan yang maha hebat buat dirinya setelah dua tahun anak-anaknya tak pulang ke kampung halaman.

                                                                                                ...

Pak Samad kerut dahi melihat omelan Nek Senah sambil membelek barang dapur. Terhenti terus pekerjaannya mahu menyusun stok yang baru sampai ke dalam rak yang disediakan. Sesekali wanita tua itu ketawa sambil menggeleng kepala. Sudah lama dia tak lihat wajah ceria Nek Senah. Setelah dua tahun anak cucunya tak pulang ke kampung, wanita tua itu lebih mendiamkan diri. Tapi hari ini? Semuanya berubah drastik. Pak Samad geleng kepala saja dengan tingkah pelik Nek Senah itu.

"Lea nak nenek masak apa untuk berbuka nanti? Lea cakap je nenek akan buat untuk cucu kesayangan nenek ni." Alea hanya tertawa bila dibelai lembut oleh si nenek. 

"Nenek buat Lea ni macam budak tujuh tahun je. Lea dah besarlah nek, dah nak ambil SPM dah pun. Nenek tahu kan apa je yang nenek masak Lea akan makan. Masakan nenek tak pernah kecewakan Lea tau," ujar Alea lembut. 

"Ala, tak apalah Lea. Kamu dah lama tak balik rumah nenek. Apa salahnya nenek bagi layanan istimewa untuk cucu nenek yang seorang ni. Betul tak?" Nek Senah masih tak mahu mengalah bila jawapan hambar diberikan padanya. Dia sudah membayar barangan yang dibeli sebelum mereka keluar untuk membeli juadah berbuka puasa pula.

 Mak Top dan Mak Kiah yang baru masuk ke dalam kedai runcit saling berpandangan. "Dah kenapa orang tua tu?" 

"Mandrem kot," balas Mak Top sebelum memesan kelapa parut pada Pak Samad.

"Biarlah dia. Adalah yang buat dia senang hati tu. Kamu berdua jangan buat cerita buruk pasal orang tua tu pula," sempat lagi Pak Samad beri pesanan percuma pada dua orang wanita yang terkenal dengan mulut cabul mereka. Mak Kiah hanya mendengus.

...

"Aku tengok Nek Senah tu makin hari makin ceria je. Ada apa dekat rumah dia tu?" Usai saja solat tarawih, Mak Top sempat memulakan rutin hariannya sebagai si mulut cabul sambil memerhatikan Nek Senah yang sedang berwitir di sejadah. 

Ada Apa Dengan Ramadhan?Where stories live. Discover now