ENCIK SEBELAH JIWA BAB 4

56 0 0
                                    

EFFAN menghempas punggung ke atas kerusi kulitnya dengan fikiran yang sugul. Sudah sebulan selepas insiden kemalangan di lapangan terbang. Dia masih tertanya-tanya di mana dia boleh berjumpa semula dengan gadis itu.

Ketika dia ingin melawat Maria di hospital, gadis itu sudah pun pergi tanpa meninggalkan jejak. Sejak itu, dia sering memikirkan tentang Maria.

Gagang telefon di sudut kiri meja diangkat. Dia tekan butang yang menghubungkan ke meja Elaika, setiausahanya.

"Ika, masuk kejap." Gagang diletak kembali.

Masuk saja, Elaika terus senyum. "Ada apa-apa yang boleh saya tolong, tuan?"

Effan mengetap bibir. Sambil itu dia beri isyarat kepada Elaika untuk duduk memandangkan dia masih lagi sedang berfikir.

Elaika menanti dengan sabar. Dia menarik kerusi bertentangan dan berlabuh. Dia tak dapat meneka apa tujuan Effan memanggilnya. Kalau berkaitan dengan kerja, bosnya tak pernah berjeda begini.

"Ika, kalau saya minta tolong awak buat satu kerja untuk saya, awak sanggup tak?"

Dahi Elaika bercantum. "Kerja yang macam mana tuan?"

"Kalau saya nak awak carikan seseorang untuk saya, sanggup?"

"Cari seseorang? Maksud tuan, calon isteri ke?" Elaika menduga.

Namun, apa yang dia duga itu sebenarnya meleset sama sekali.

Effan geleng kecil menyangkal telahan Elaika. Dia terus beritahu perkara sebenar supaya ia menghentikan persoalan Elaika. "Saya nak awak cari perempuan yang nama dia Maria binti Ismeth."

"Maria binti Ismeth?" ulang Elaika berserta kerutan pada dahi.

"Awak kenal ke sesiapa dengan nama tu?" soal Effan apabila respons daripada Elaika mengundang persoalan.

Soalan Effan dibiarkan. Elaika cuba mengingati nama itu. Dia pernah dengar atau mungkin terbaca di mana-mana. "Saya pernah dengar nama tu. Tapi, saya tak pasti kat mana. Kenapa tuan nak cari dia?"

Effan diam sejenak. Dia tak tahu bagaimana ingin diceritakan kepada Elaika dari awal. Jadi buat masa sekarang, dia rasa Elaika tak perlu tahu apa yang terjadi. Lagipun, ia takkan membantu apa-apa kecuali Elaika berjaya jejaki Maria untuknya.

"Tak ada apa-apa. Tak penting pun. You may go."

Mendengar arahan itu, Elaika terus mengangkat punggung untuk keluar. Walaupun dia sudah keluar dari bilik Effan, dia masih terfikir-fikir.

"Maria binti Ismeth? Siapa ek?" desisnya seraya mengetuk-ngetuk dagu dengan buku catatan.

Teringatkan amanah yang diberikan untuk menguruskan majlis lelongan amal bulan depan, Elaika bergegas ke mejanya. Urusan dengan pihak hotel lagi, tempahan makanan dan jemputan belum disempurnakan. Semua Elaika lakukan seorang diri tanpa bantuan.

SEKEPING kad ucapan sempena hari jadi Maria yang ke-24 ditenung. Ia diberi bersama alat perakam digital. Ketika itu dia baru saja beberapa bulan bekerja sebagai wartawan.

Kad itu dijumpai di dalam laci mejanya. Tahun ini lebih menyedihkan apabila dia tak berkesempatan untuk mendapat kad ucapan untuk hari jadinya yang ke-25 tidak lama lagi. Dia harap dia akan menerima ucapan itu daripada Hardy walaupun lelaki itu sudah jauh daripadanya. Mungkin ucapan itu dapat mengurangkan kekecewaannya dan berikan secebis harapan.

"Maria, Puan Wahida panggil awak."

Maria tersentak dan terus mendongak ke arah suara yang datang dari arah depan. Jeslina berdiri di depan mejanya seraya menongkat siku pada partition.

ENCIK SEBELAH JIWAWhere stories live. Discover now