OPPY jadi buntu melihat Maria menangis mengerekot di dalam selimut. Lambat pula Effan nak sampai. Dia pula tak tahu macam mana nak memujuk perempuan. Teman wanita pun tiada.
Esakan masih lagi bergema meskipun perlahan. Agak menyayat hati. Oppy merenung sekujur yang berbalut di atas katil dengan pandangan kosong. Ada masalah mental ke apa gadis ni? desis hatinya.
"Cik, kalau cik tak nak cerita kat saya, cik cerita masalah cik dekat bos saya nanti."
Setiap kata-kata Oppy tiada bersambut. Rasa seperti bercakap dengan katil saja. Tiada respons langsung.
"Manalah bos aku ni? Dah dekat sejam dah ni." Oppy merungut sesekali matanya jatuh pada jam tangannya.
Kemudian bersilih ganti pula dengan sebatang tubuh di atas katil. Dalam keresahan menanti kedatangan Effan, penantian itu berakhir jua. Telinganya menangkap bunyi pintu ditolak ke dalam.
"Tuan?" Oppy bangun seraya berpaling.
Effan menghampiri dengan mata lurus ke arah katil.
"Lepas dia sedar, macam tulah keadaan dia, tuan. Berselubung dalam selimut. Saya dah tak tahu nak cakap apa dah. Tapi, dia tetap menangis. Mungkin dia ada masalah lain yang agak peribadi," terang Oppy sehingga mengundang kerutan pada wajah Effan.
"Masalah lain?" ulang Effan.
Dia fikir ini pasti masalah cinta. Dia juga pernah mengalaminya. Cuma, dia tidaklah sampai menangis sebegini rupa. Perempuan memang mudah ikutkan hati.
"Tuan, saya serah tugas dekat tuan ajelah uruskan dia." Oppy angkat kaki dan tinggalkan wad seketika. Dia keluar mencari tandas.
Oppy sudah pergi. Tinggal Effan dengan gadis bernama Maria. Dia menarik kerusi dan berlabuh. Sebelum bersuara, dia berfikir menyusun ayat.
"Hai. Assalamualaikum."
Esakan yang singgah di telinga Effan ketika dia sampai lenyap tiba-tiba.
"Kalau sebab kemalangan tadi awak menangis macam ni, saya minta maaf. Saya akan bayar ganti rugi. Saya faham mungkin awak masih terkejut. Cuma, takkan sampai menangis merengek macam ni? Tentu awak ada masalah lain, kan?"
Maria yang mengerekot di dalam selimut mengamati suara itu. Itu suara orang lain. Siapa pula? Anak matanya bergerak ke kiri ke kanan dengan kening berkerut. Hilang sekejap esakannya.
"Atau awak ada masalah dengan boyfriend awak? Maksud saya, lelaki tadi ke?"
Semasa kejadian tadi, Effan disuruh oleh seorang lelaki membawa Maria ke hospital. Lelaki itu nampak risau dan berkali-kali panggil nama Maria. Tetapi, dalam masa yang sama tergesa-gesa mengejar penerbangan. Effan syak ia ada kaitan dengan lelaki itu kerana mereka saling mengenali.
Mendengar perkataan boyfriend yang keluar dari mulut lelaki itu, Maria terus memekup mulutnya agar tak mengeluarkan sebarang suara tangisan. Dia menangis kerana Hardy. Bukan disebabkan kemalangan tadi. Dia juga bersyukur kerana tak mengalami apa-apa kecederaan.
Tiada respons daripada Maria, Effan teruskan berbicara. Dia yakin dia akan berjaya mendapat perhatian Maria.
"Saya pernah putus cinta. Orang yang saya sayang dan cinta selama empat tahun khianati saya. Bermesra dengan lelaki lain depan mata saya. Hanya Tuhan yang tahu apa perasaan saya masa tu. Ia macam mimpi ngeri dalam hidup saya. Saya selalu ingatkan diri saya. Allah dah tetapkan seseorang yang lebih baik untuk saya. Bila saya fikir yang tu, saya boleh move on. Saya masih menunggu gadis tu hadir dalam hidup saya."
Maria khusyuk mendengar setiap butir bicara lelaki itu. Kisah cinta mereka tak ada berbeza. Sama-sama rasa dikhianati. Cuma dia akan menunggu Hardy selagi dia masih berdaya. Apabila dia sudah penat kelak, dia akan cuba lupakan Hardy dan mulakan hidup baru.
"Pesan saya, kalau putus cinta sekalipun, tak guna nak menangis meratap macam ni. Tak guna menangis sebab orang yang tak tahu menghargai kita. Biarlah dia pergi. Awak kena yakin dengan jodoh. Kalau jodoh awak dengan dia, ke hujung dunia pun dia pergi, dia tetap akan kembali dekat awak. Kalau sebaliknya, siapalah kita nak melawan takdir."
Effan perasan tubuh Maria bergerak-gerak di sebalik selimut. Dia menanti gadis itu menunjukkan wajahnya. Dua minit, Maria berpusing membelakangkannya. Dia menghempas keluhan hampa.
"Okeylah. Take your time. Maaf sebab ganggu awak." Effan angkat punggung dan keluar mencari Oppy.
"MARIA ada banyak kerja belum siap, kak. Kejap lagi Maria balik." Maria terpaksa berbohong kepada kakaknya, Nadia.
Padahal dia masih di hospital dan menunggu masa untuk beredar saja. Kebetulan ketika bersiap untuk pergi, telefon pintarnya berbunyi. Dan, dia mengambil peluang ini untuk pergi memandangkan lelaki yang melanggarnya tadi sudah pulang.
"Dah malam ni, Maria. Macam mana akak tak risau? Telefon tidak." Jelas sekali suara Nadia menzahirkan kerisauan.
"Kerja banyak sangat, kak. Akak jangan risau ya."
"Jangan jadi hamba kerja sangat. Waktu balik kena balik. Waktu kerja tu kerja betul-betul. Jangan sampai dah malam macam ni pun masih kat ofis."
Maria menggaru-garu cuping telinga apabila kakaknya membebel lagi. Ada sambungan rupa-rupanya. Kalaulah Nadia tahu apa yang terjadi kepadanya hari ini, tentu berbakul-bakul bebelan yang terpaksa telinga dia tadah.
"Maria tahu, kak. Okeylah. Maria siapkan kerja. Kalau akak tak letak telefon, macam mana Maria nak buat kerja?" Sempat Maria menyindir Nadia dalam nada gurauan.
Mereka cuma dua beradik selepas ketiadaan kedua-dua orang tua mereka. Sulung dan bongsu. Kerana itu mereka sangat rapat.
"Okeylah. Balik nanti hati-hati tau."
"Ya, kakakku tersayang. Insya-Allah."
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam." Maria tekan butang merah.
Dia tersenyum sendiri. Beri salam pun dalam nada marah. Akak, akak. Kepala Maria tergelang-geleng.
Seketika, dia termangu. Lupa terus akan Nadia. Kelibat Hardy pula menerjah fikirannya. Sekarang dia rasa mahu menangis lagi.
Apabila terfikir sesuatu, cepat-cepat Maria tinggalkan hospital dan kembali ke lapangan terbang untuk mengambil keretanya. Telefon pintar diselit ke dalam poket kecil dalam beg tangan.
Dia meninggalkan wad dan diberitahu yang bil hospital telah dijelaskan. Kalau diikutkan dia discaj jam 12.00 tengah hari esok. Tetapi, Maria berkeras untuk pulang kerana tak mahu Nadia risau kalau dia tak pulang ke rumah.
Di luar pekarangan hospital, Maria menahan sebuah teksi yang akan membawanya ke lapangan terbang. Teringat akan sesuatu, Maria menyeluk ruang berzip untuk mengambilnya. Sebuah alat perakam digital yang dihadiahi oleh Hardy sempena hari jadinya pada tahun lepas. Waktu itu dia kehilangan alat perakam miliknya.
Lantas, alat perakam digital itu digenggam. Lalu disemat ke dada. Maria menghayati esakan halusnya hingga tanpa sedar dia diperhatikan oleh pemandu teksi itu.
I
YOU ARE READING
ENCIK SEBELAH JIWA
RomanceDan, sejauh mana Effan dan Maria mampu bertahan dan pertahankan sebelah daripada jiwa mereka?