"TERIMA kasih sebab sudi luangkan masa. Saya betul-betul berterima kasih," ucap Maria usai sesi temu ramah itu.
Effan juga beri kerjasama ketika sesi bergambar dan tak lokek berkongsi penghargaan yang diterima selama tujuh tahun ini.
Sebenarnya Maria rasa agak kekok setelah mendapat tahu yang Effan adalah lelaki yang membawanya ke hospital. Tetapi, lelaki yang dia lihat sebaik sedar daripada pengsan bukanlah Effan. Siapa pula lelaki itu?
Effan senyum mendengar ucapan itu.
"Saya pergi dulu. Terima kasih sekali lagi." Maria bingkas berdiri.
Firhad sudah mula melangkah ke pintu.
Effan turut bingkas untuk mengiringi Maria dan Firhad ke pintu. Sengaja dia biarkan jurugambar itu keluar dahulu kerana ada sesuatu yang dia ingin bualkan dengan Maria.
"Maria, a second please?"
Maria menoleh kepada Effan. Keningnya terangkat sedikit. Beberapa detik, Maria memalingkan wajah mencari kelibat Firhad. Jurugambarnya itu sudah berdiri di depan lif. Maria beri isyarat kepada Firhad supaya turun dahulu dan dia akan menyusul.
Firhad nampak terpinga-pinga untuk memahami. Namun, apabila pintu lif terbuka, lelaki itu terus masuk. Maria anggap sahaja Firhad faham isyaratnya. Dia kembali beri perhatian kepada Effan.
"Ada apa ya?" soal Maria lembut.
Effan halakan tangan ke arah sofa. Tempat dia ditemu ramah tadi.
Maria tak membantah. Walaupun dia kurang senang dengan situasi ini, dia harus tahu berterima kasih kerana lelaki itu telah menolongnya.
Setelah berlabuh, Effan merenung Maria. Sejak hari Maria keluar dari hospital, banyak persoalan yang membelenggu fikiran Effan. Dia tak tahu kenapa dia asyik terfikirkan tentang Maria. Ternyata perjalanan ini telah disusun dengan cantik oleh yang Esa.
"I've been searching for you."
"Kenapa Encik Effan cari saya? Kalau sebab rasa bersalah dengan saya, bukan Encik Effan yang langgar saya. Saya yang pengsan masa tu. Saya yang terhutang budi dengan Encik Effan."
Maria tak menyangka orang yang menolongnya ketika itu ialah Effan. Kebetulan pula dia diminta untuk menemuramahnya. Adakah ini satu kebetulan atau sememangnya takdir?
Effan sangka Maria pengsan kerana dilanggar. Patutlah doktor ada beritahu yang Maria kurang rehat dan badan agak lemah. Sekarang dia mengerti. Semua terjadi secara kebetulan.
"Awak tak berhutang budi dengan saya. Cuma, hari awak tinggalkan wad, saya ada datang cari awak kat sana."
Maria angkat kening.
Effan ketap bibir. Dia bersandar dengan mata tak lepas memandang Maria. Terutama dagu yang comel itu. "Saya ada masuk untuk bercakap dengan awak."
Maria terus mengimbas kembali hari di mana dia terlantar di wad untuk beberapa jam kerana pengsan. Apabila tersedar, dia terus menangis. Ada seorang lelaki cuba memujuk dan menenangkannya. Tidak lama selepas itu, ada suara lain pula menyapanya. Bercerita tentang kisah cinta yang terkandas. Sekarang, barulah dia ingat. Matanya tertala ke wajah Effan.
"Awak ada masalah lain ke masa tu? Apa awak buat kat airport?"
Sejenak, Maria tergelak kecil. "Selalunya saya yang interviu orang. Maafkan saya, Encik Effan. Masalah saya terlalu peribadi untuk dikongsi. Saya sangat menghormati Encik Effan. Saya kagum dengan Encik Effan yang berjaya pada usia muda. Tapi, tak penting pun untuk Encik Effan tahu apa yang terjadi kat saya."
Maria bangun dalam keadaan mendadak. Rasanya dia tak perlu lagi berlama-lama di sini. Dia mula rasa tak selesa.
"Tak apalah kalau awak tak boleh cerita. Okeylah. Dah pukul 5.00 ni. I'll be glad to see you again."
Maria tak membalas. Senyum pun hambar. Dia pikul beg galasnya dan menghadap Effan seketika sebelum keluar.
"Saya akan hantar majalah untuk Encik Effan bila dah dicetak nanti. Terima kasih sekali lagi sebab bagi kerjasama. Maafkan saya. Assalamualaikum." Maria melangkah ke arah pintu dan keluar.
Dia tahu sikapnya agak biadab. Tetapi, dia tak suka apabila hal peribadinya dipersoalkan.
"Waalaikumussalam," balas Effan sambil memandang ke arah pintu walaupun kelibat Maria sudah hilang daripada pandangan.
Saat Effan ingin kembali ke mejanya, dia ternampak satu objek berhampiran dengan sofa. Perakam digital suara berwarna merah jambu. Dia tunduk mengambilnya dan matanya kembali menghala ke arah pintu. Sudah terlambat untuk dia memanggil Maria dan pulangkan perakam itu.
Tak mengapa. Setiap yang berlaku, pasti ada sebabnya. Dan, sememangnya pertemuannya dengan Maria takkan berakhir setakat hari ini.
Alat perakam itu digenggam kemas oleh Effan. Dia tak tahu apa yang ingin dilakukan dengan alat itu. Nak dipulangkan kepada Maria, rasanya dah tak sempat. Dalam waktu yang sama, dia ingin tahu apa kandungan alat perakam itu. Dia terfikir mungkin ia mengandungi rakaman temu ramah. Tak salah kalau dia mencuri dengar.
Tanpa rasa ragu, Effan menghidupkan alat perakam itu. Ada butang pada alat perakam itu untuk berfungsi. Effan tak begitu pandai menggunanya. Jadi, dia tekan saja satu butang. Untuk seterusnya, dia menekan butang dengan simbol anak panah. Telinganya terus menangkap satu bunyi esakan.
Diameter kelopak matanya terbuka luas. Dia terkesima. Telinganya kembali fokus pada suara rakaman itu milik Maria. Ada esakan berselang-seli dengan kata-kata. Effan tekan butang anak panah untuk mendengar rakaman lagi. Dia dengar dan teliti satu per satu dengan dada berdebar-debar.
Effan percepat lagi dan lompat ke rakaman seterusnya. Dia dengar separuh saja dan satu butang untuk matikannya. Sekarang dia faham kenapa Maria menangis di hospital dulu. Dia cukup mengerti perasaan Maria.
Satu keluhan pendek dilepaskan. Alat perakam digosok dengan ibu jarinya. Bibir diketap tanda serius berfikir.
MALAM kian pekat. Effan petik suis lampu meja dan matikannya. Biarkan cahaya daripada lampu jalan menyimbah ke dalam kamarnya. Baru nak pejamkan mata, Effan meraba-raba tangan ke bawah bantal. Alat perakam itu dipegang lagi.
Effan tak semena-mena terfikir yang Maria tentu tercari-cari alat perakamnya. Mungkin gadis itu fikir dia sudah kehilangannya. Effan pasti alat perakam ini sangat penting buat gadis itu.
Kisah Maria ada persamaan dengan kisah cintanya. Mereka senasib dalam percintaan. Dia tahu apa yang Maria rasa kerana dia juga pernah mengalaminya. Cuma Maria masih mengharap teman lelakinya kembali kepadanya. Berbeza dengannya. Dia sememangnya takkan pernah menerima Maseira kembali.
Wajahnya diraup ketat. Setiap kali teringatkan perbuatan Maseira, semakin hatinya benci terhadap bekas teman wanitanya itu. kali ini, jika dia dipertemukan dengan seorang gadis yang sesuai, dia tak mahu buang masa dengan berpacaran lagi. Dia mahu terus mengahwininya.
Matanya merenung siling kapur. Rasa sejuk daripada alat penghawa dingin menggigit-gigit tubuhnya. Dia menarik comforter hingga paras dada. Ingatan tentang Maseira yang singgah sebentar, berganti dengan Maria. Effan rasa mahu mendekati Maria dengan lebih dekat.
Mereka senasib. Jadi, mereka boleh berkongsi cerita yang sama dan boleh saling memahami.
YOU ARE READING
ENCIK SEBELAH JIWA
RomanceDan, sejauh mana Effan dan Maria mampu bertahan dan pertahankan sebelah daripada jiwa mereka?