BAB 1

707 19 0
                                    

SURIA KENCANA merebahkan badannya di bawah sebatang pohon rendang. Terasa bahang sang mentari seolah-olah membakar kulit badan. Dia meletakkan dua buah uncang di hadapannya. Sebuah berisi baju dan sebuah lagi berisi bahan makanan. Antara yang dibawa ialah garam, bawang, bilis, cili dan rempah-rempah.

Purnama Nilam yang sedari tadi masih berdiri mengibas-ngibas baju yang kebasahan peluh turut duduk di sebelah Suria Kencana.

"Di mana kita sekarang sahabatku?" Suria Kencana bertanya sambil mengelap wajah berkeringat dengan sehelai kain.

Purnama Nilam menoleh-noleh sekeliling.

"Agaknya kita sudah keluar dari sempadan negara. Jika kita teruskan perjalanan usai solat asar nanti, mungkin kita akan sampai ke kawasan perkampungan, insya-Allah."

Suria Kencana melepaskan keluhan kecil. Bukan mengeluh, cuma kepenatan. Seharian dia dan panglima istana merangkap sahabat baiknya, Purnama Nilam berkelana keluar dari Panca Sakti tanpa berehat.

Mendengar keluhan itu, Purnama Nilam tersenyum. "Engku beristirahatlah sementara kita menanti masuk waktu asar. Patik hendak mencari kalau-kalau ada sungai berdekatan," ujar Purnama Nilam lantas bangkit.

Suria Kencana hanya mengangguk. Dia melepaskan butang bajunya, membiarkan angin sejuk membelai tubuh yang kepanasan. Sesudah Purnama Nilam berlalu meninggalkannya mencari air, Suria Kencana langsung bersandar melunjurkan kaki. Terasa nikmat bila angin bertiup lembut menyejukkan badan. Dia melontarkan pandangannya ke arah lalang yang dibuai angin. Fikirannya melayang, mengingati peristiwa semalam di istana.

"AYUH jawab pertanyaan ayahanda, anakandaku Suria Kencana!" Keras titah baginda sultan menggegarkan balairung seri istana.

Para pembesar, menteri-menteri dan seluruh penghuni istana membatu, menanti jawapan daripada Raja Muda Panca Sakti yang hanya tunduk terpunduk, membisu.

"Ampunkan anakanda, ayahanda dan bonda. Bukanlah maksud anakanda untuk mengundang kemurkaan ayahanda dan bonda. Tetapi, biarlah soal jodoh ini anakanda tangguhkan dahulu. Anakanda masih lagi mahu berbakti pada tanah air".

"Jika anakanda sudah bernikah, anakanda masih boleh berbakti pada Panca Sakti," ujar Sultan Sukma Adiwijaya, cuba mematahkan hujah anakandanya yang baginya tidak berasas.

Suria Kencana tetap tunduk. Tiada keberanian dalam dirinya menentang mata ayahandanya ketika itu. Dia hanya mengulum jawapan, bimbang kata-katanya kelak disalahertikan. Derhaka jadinya membawa padah. Namun, dalam hatinya dia menyusun harap agar ayahanda Sultan mampu memberi sebuah pengertian. Yang dia mahukan hanyalah menumpukan sepenuh kerahnya untuk membentuk kerajaan yang gemilang. Begitu cita-citanya sedari kecil.

"Anakandaku, Suria Kencana. Ayahanda sudah tua. Mungkin esok, mungkin lusa Allah Taala akan menarik nafas ayahanda. Ayahanda khuatir perginya ayahanda nanti, kerajaan-kerajaan di sekeliling, bahkan rakyat jelata akan menidakkan kewibawaan anakanda dalam menggantikan tampuk pemerintahan Panca Sakti kerana anakanda tidak punya isteri dan keturunan. Ayahanda gusar ada tangan-tangan ghaib yang akan mengambil kesempatan ke atasnya. Fahamilah kehendak serta kebimbangan ayahanda, anakku," pujuk Sultan Sukma Adiwijaya.

Kedengaran lepasan keluhan yang memberat keluar dari bibir Suria Kencana. Dia kebuntuan mencari jawapan. Sungguh dia kalah dek pujukan ayahandanya, lalu dengan perlahan dia mengatur bicara.

"Jika begitu besarnya kegusaran ayahanda, baiklah. Akan anakanda junjungi titah perintah ayahanda."

Baginda sultan tersenyum. Belum sempat baginda menurunkan titah, puteranya menyambung, "Akan tetapi, izinkanlah anakanda keluar mengembara. Mencari sendiri calon isteri anakanda itu."

Dahi baginda Sultan Sukma Adiwijaya berkerut. "Negara kita bukan tidak punya gadis-gadis yang cantik. Malah, anak-anak Datuk Nikah Kahwin, Datuk Temenggung, Datuk Bentara Mangkubumi semuanya jelita-jelita belaka. Tinggal anakanda pilih saja yang mana berkenan dalam hati. Mengapa harus keluar dari Panca Sakti untuk mencari calon isteri?"

Lama Suria Kencana mendiamkan diri. Seluruh isi istana turut membisu. Suria Kencana dapat merasakan mata-mata di sekeliling memerhatikannya, menunggu jawapan. "Ampunkan anakanda, ayahanda. Mencari seorang perempuan itu suatu yang mudah, ayahanda. Tetapi, untuk mencari seorang wanita, seseorang itu harus mengharung gunung dan lembah, malah sehingga merentas samudera. Apa yang anakanda inginkan sebagai isteri adalah seorang wanita. Bukan perempuan semata-mata."

Baginda sultan membulatkan mata. "Maksud anakanda?"

"Seorang wanita itu indahnya mencakupi akal dan hati. Maruahnya dijaga rapi. Akhlaknya tersanjung tinggi. Walau bagaimana perih cubaan yang ditempuh, dia tetap utuh memegang pegangannya."

Mendengar jawapan Suria Kencana, para pembesar dan menteri-menteri saling berpandangan. Dayang-dayang istana pula berbisik-bisik. Suasana yang tadinya hening mula kedengaran suara-suara halus.

Kala itu Purnama Nilam yang duduk diam di sebelah ayahandanya Datuk Paduka Bendahara, mengarahkan pandangan kepada Suria Kencana. Serelung rasa simpati terukir dalam hati. Dia sangat memahami perasaan sahabatnya itu. Dia sendiri acap kali diasak kedua-dua orang tuanya untuk menamatkan zaman bujang bersama pilihan keluarga. Namun, dia masih mampu menolak kerana dia juga mahu berbakti kepada sultan dan negara. Dalam diam dia berdoa agar Allah memberi kemudahan kepada sahabatnya.

Setelah lama Sultan Sukma Adiwijaya berdiam diri, akhirnya baginda bertitah, "Baiklah anakanda, ayahanda perkenankan permintaan anakanda itu. Carilah di segenap benua akan wanita yang benar-benar sepertimana yang anakanda kehendaki. Ayahanda beri tempoh tujuh purnama kepada anakanda. Jika anakanda gagal, maka anakanda haruslah pulang menikahi salah seorang puteri pembesar istana."

Baginda sultan mengalihkan mata ke arah Purnama Nilam seraya bertitah, "Datuk Panglima, pergilah temani Raja Muda Suria Kencana dalam kelananya. Perjalanan itu mungkin ada banyak cubaan dan berbahaya."

Purnama Nilam bangkit perlahan lalu menjunjung titah.

Suria Kencana dan Purnama Nilam berpandangan dan tersenyum. Dia menarik nafas lega. Lega kerana tiada orang lain yang lebih sesuai menemaninya selain Purnama Nilam.

"JAUH benar Engku termenung. Rindukan Panca Sakti?" Suara Purnama Nilam memecah lamunan Suria Kencana. Purnama Nilam menghampiri Raja Muda itu seraya menghulurkan bekas buluh berisi air.

Suria Kencana hanya menjawab dengan senyuman. Setelah membasahkan tekak dan menyegarkan badan dengan air yang dibawa oleh Purnama Nilam, mereka berdua bersiap sedia mengambil wuduk dan menunaikan solat asar bersama-sama.

Usai solat, Purnama Nilam bingkas lalu memikul uncang milik Suria Kencana, namun Suria Kencana menegahnya.

"Jangan, Purnama. Biar aku gendong sendiri."

Purnama Nilam tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengiakannya. Dia menyerahkan semula uncang-uncang itu kepada Suria Kencana dengan berat hati.

"Jangan kau manjakan sangat sahabatmu ini, Purnama. Nanti naik minyak," seloroh Suria Kencana seraya menyambut uncang-uncang itu dan memikulnya.

Purnama Nilam tersenyum. Walaupun Suria Kencana bakal mewarisi takhta pemerintahan Panca Sakti, tetapi dia lebih memilih untuk merendah diri. Mereka bersahabat sejak kecil, malah mereka berdua seperguruan dalam ilmu persilatan dan keagamaan. Tidak pernah sepanjang persahabatan mereka Suria Kencana mendabik dada dan menggunakan kekuasaannya terhadap Purnama Nilam. Akhlaknya yang mulia itu menjadikan dia seorang yang dikasihi rakyat jelata dan disegani masyarakat luar.

"Berbaktilah dikau kepada sultanmu nanti, Purnama. Gunakanlah keilmuan dan kebijaksanaanmu untuk melindungi Suria Kencana. Bantulah dia menjadi seorang raja yang adil, saksama dan disayangi rakyat jelata."

Begitu nasihat Tuk Guru kepada Purnama Nilam sebelum mereka menamatkan perguruan. Kata-kata itulah yang menjadi pegangannya. Telah ditanam azam dalam hatinya untuk berbakti kepada Suria Kencana hingga penghujung hayat.

Suria Kencana dan Purnama Nilam mula mengatur langkah. Rehat yang cukup telah membuatkan mereka berdua kembali bertenaga untuk meneruskan perjalanan. Mereka berdua sama-sama berharap agar mereka sempat tiba di kawasan perkampungan sebelum senja melabuhkan tirai. 

SINDROMWhere stories live. Discover now