PURNAMA NILAM beristighfar. Dia meraup wajahnya yang berpeluh. Kedinginan malam itu sedikit menggigit dan dia menggigil kesejukan. Perlahan dia bangkit dari tempat tidur. Dia berjalan ke telaga dan mengambil wuduk. Pesan Tuk Guru, kalau terjaga daripada mimpi yang bukan-bukan, seeloknya berwuduk dan kerjakanlah solat malam.
Setelah memberi salam, Purnama Nilam memanjatkan doa agar diberi kemudahan dan kekuatan buat dirinya dan Raja Mudanya itu menghadapi apa jua rintangan dalam kembara mereka, di samping berdoa agar perjalanan mereka dilindungi daripada anasir-anasir yang tidak baik.
Suria Kencana terjaga. Dia mengusap-usap mata. "Sudah masuk waktu subuhkah, Purnama?" tanya Suria Kencana dalam suara yang separuh serak. Dia bangkit kemudian duduk di anak tangga. Dicapainya air dalam tempayan di sudut tepi anak tangga lalu membasuh muka.
"Masih belum lagi, Engku. Patik terjaga daripada tidur sebentar tadi lalu terus solat tahajud."
"Kenapa kau tak kejutkan aku sekali, Purnama?"
"Patik kira Engku masih mahu beristirahat. Penat semalam pasti belum hilang lagi."
Suria Kencana senyum seraya berkata, "Sudah aku katakan, jangan dimanjakan sangat diriku ini."
Suria Kencana kemudian membetulkan bajunya dan lantas memakai capal dan berlalu ke telaga.
Selesai solat tahajud dan seterusnya solat subuh, mereka berdua mengemas barang-barang. Mereka berdua bercadang untuk meneruskan perjalanan selepas subuh ini. Sedang mereka sibuk mengemas, Pak Malim keluar dari pintu pondok.
Dia sedikit terkejut melihat kedua-dua orang muda itu sudah pun siap-siap bangkit. "Awal benar kalian bangun."
Suria Kencana dan Purnama Nilam segera mendapatkan Pak Malim dan bersalaman.
"Pak cik, kami berdua hendak meminta diri dulu."
Pak Malim mempelawa mereka berdua minum pagi sebelum bertolak bagi mengalas perut. Namun, Suria Kencana menolak dengan lemah lembut.
"Terima kasih, pak cik. Pak cik sudah memberi keizinan untuk kami menumpang tidur di rumah pak cik pun sudah sangat memadai."
Berkeras agar mereka berdua tidak memulakan perjalanan dengan perut kosong, Pak Malim memerintahkan isterinya memberi sedikit bekalan makanan. Sebuah bungkusan daun pisang berisi ubi rebus diserahkan kepada Suria Kencana.
Setelah mengucapkan terima kasih dan bersalaman, mereka berdua berjalan meninggalkan Kampung Sejinjang. Matahari sudah mula memunculkan diri. Setelah keluar dari kawasan kampung, mereka meredah sebuah padang yang seluas mata memandang. Kedengaran suara burung berkicau-kicau.
Ketika matahari sudah menerangi alam, Suria Kencana mengajak Purnama Nilam duduk sebentar di bawah sepohon pokok yang rendang tidak jauh dari situ dan mereka berdua membuka bekalan yang dibawa dari rumah Pak Malim tadi.
Ubi rebus yang masih suam-suam itu dijamah bersama-sama.
Sedang masing-masing asyik menikmati makanan, Suria Kencana terpandang sesuatu kepada sahabatnya.
"Purnama, aku lihat kau kelihatannya lesu sekali."
Purnama Nilam membisu buat sedetik. "Patik bermimpi sesuatu yang aneh lewat malam tadi."
Suria Kencana berhenti mengunyah. "Ceritakanlah Purnama."
Purnama Nilam menarik nafas sebelum memulakan bicara, "Patik bermimpi didatangi satu bayangan bercahaya yang datang memanggil-manggil. Suaranya halus, persis suara seorang wanita.
Ketika patik mendekat, tiba-tiba patik rasakan ada satu lagi cahaya datang dari diri patik. Ketika patik cuba mencari puncanya, cahaya itu malah menjadi semakin lama semakin terang sehingga memaksa patik menutup mata."