BAB 2

218 13 2
                                    

Hospital Umum Bandar Kuching.

"DOKTOR AFIFAH?"

Afifah tersentak. Matanya yang tadi kuyu serta-merta menjadi segar. Dia menghalakan fokusnya kembali kepada jururawat di sisi.

"Needle holder, doktor."

Afifah menyambut pemegang jarum jahitan dari tangan jururawat tersebut lalu mengucapkan terima kasih. Dia menggeleng sendiri. Kesal kerana membiarkan dirinya terleka walau sesaat ketika sedang mengendalikan pesakit. Satu kepantangan bagi seseorang yang bergelar perawat. Sesaat kecuaian boleh membahayakan nyawa manusia di bawah tanggungjawabnya.

Dengan penuh hati-hati, Afifah meneruskan prosedur suturing atau jahitan penutup pada bahagian luka pesakit yang dirawatnya. Setelah beberapa minit menyudahi jahitan dan membalutnya dengan pembalut bersteril, Afifah mengarahkan jururawat untuk membawa pesakit ke wad sementara untuk berehat.

"Tolong semak status imunisasi pesakit. Kalau dia belum mendapat sebarang suntikan dalam masa terdekat, berikan tetanus prophylaxis kepadanya." Sempat Afifah berpesan.

Jururawat mengangguk lalu membantu pesakit yang mengalami kecederaan akibat kemalangan itu duduk di kerusi roda dan menyorongnya ke wad sementara.

Usai tugasnya di unit kecemasan, Afifah menapak keluar. Dia melirik jam di dinding hospital. 15 minit berlalu setelah jam 10.00 pagi, menandakan sudah hampir 18 jam Afifah bertugas. Kebiasaannya, dia hanya bekerja selama 12 jam sehari. Namun, kerana kekurangan staf, Afifah mengambil inisiatif untuk bekerja lebih masa. Dia tidak kisah kerana sudah menjadi minatnya.

Afifah menggeliat. Kepenatan bekerja seharian ditambah dengan keadaannya yang tidak cukup rehat dan tidur itu membuatkan dia berasa lesu. Teringat pula akan keempukan katil yang menanti di rumah, lalu Afifah mengambil keputusan untuk segera pulang melepaskan lelah.

Dalam mengatur langkahnya ke bilik persalinan, telinganya tertangkap suara riuh di kaunter pentadbiran tidak jauh dari laluannya.

Kelihatan seorang wanita sedang menangis merayu-rayu kepada kerani yang bertugas di kaunter. Butir perbualannya tidak dapat ditangkap daripada esakannya yang kedengaran. Sementara kerani yang bertugas cuba hendak menenangkan, namun keadaan sepertinya sudah tidak dapat dikawal.

"Minta maaf, ada apa yang boleh saya bantu?" Afifah mencelah.

"Sebenarnya doktor..."

Belum sempat kerani tersebut menyudahkan penjelasannya, wanita yang dirasuk amukan tangis penuh emosi itu segera memegang tubuh Afifah, menyebabkan Afifah terkesima seketika.

"Bu doktor, saya mohon jasa baik bu doktor agar memberi sedikit belas kasihan kepada saya. Saya nggak punya uang yang banyak untuk melangsai ongkos rawatan yang terlalu banyak seperti ini dalam masa yang terdekat. Saya..."

Suara wanita itu tersekat. Kata-katanya tidak mampu untuk diteruskan. Dia tertunduk dalam menahan esak tangisnya yang semakin menjadi-jadi.

Afifah membawanya ke kerusi menunggu berdekatan dan memintanya duduk agar tenang. Dia meminta wanita itu menjelaskan kepadanya apa yang berlaku.

Setelah beberapa ketika menenangkan diri, wanita itu menghamburkan isi hatinya. Dia, seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran. Beberapa minggu yang lalu, dia telah membawa anak lelakinya yang berusia tiga tahun ke hospital kerana demam denggi. Dia terpaksa bercuti kerana mahu menjaga anaknya dan pendapatan yang diperoleh hasil pekerjaannya sebagai pelayan di restoran yang dibayar mengikut hari bekerja tidak dapat menampung kos rawatan yang dikenakan. Lagi pula, dia seorang ibu tunggal yang telah kematian suami dan kehidupan yang terdesak telah menghantarnya bekerja jauh dari kampung halaman.

SINDROMWhere stories live. Discover now