JGA 2: Ilmu Si Penebang Kayu

129 3 0
                                    


"Halim... Halim... pulanglah nak.." 

Racauan Mak Jah membuatkan jiran tetangganya yang datang bertandang tidak senang duduk. Ada yang mengipaskan Mak Jah menggunakan surat khabar, ada pula yang sibuk meminta anak dara mereka menjerang air. Kalsum, menantu Mak Jah yang sedang sarat mengandung pula terkedek-kedek berjalan sambil menatang sedulang air buat tetamu lain. 

"Halim..."

Semakin lemah panggilan Mak Jah terhadap anak lelaki tunggalnya, Halim. Kalsum berasa berat hati. Halim masih tidak pulang walau sudah tiga minggu berada di hutan. 

Masih terngiang-ngiang kata-kata Halim terhadapnya sebelum dia masuk ke dalam hutan untuk menebang kayu. Jelas terbayang hari itu ketika Halim bersiap-siap mengambil peralatan menebangnya tatkala Mak Jah baru sahaja sampai di rumah mereka atas pertolongan beberapa orang pemuda kampung. Diletakkan peralatan itu ke dalam perahu yang bertambat tidak jauh dari halaman rumah. Berselut kaki Halim menaiki rumah tetapi tidak dipedulikannya. Sekejap sahaja Halim bersiap memakai sehelai baju berlengan panjang berwarna hitam sepadan dengan seluar jeans lusuh yang selalu dibawanya untuk menebang kayu. Dia kemudiannya menuruni anak tangga, hampir saja terlanggar Mak Jah yang berdiri betul-betul di hadapan tangga tersebut.

Kelam-kabut Halim berjalan mengelilingi rumah sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Kalsum memerhatikan Halim dari tangga bersama-sama Mak Jah yang masih memegang bakul rotan berisi pakaian hariannya. Usai membuat tiga kali pusingan mengelilingi rumah kayu kecil itu, Halim berdiri di hadapan isterinya. Tidak memandang Mak Jah langsung.

"Sayang, kalau abang tidak pulang dalam masa seminggu jagalah anak kita baik-baik. Jaga mak abang, macam sayang jaga mak sendiri" 

"Abang kenapa ni?" tanya Kalsum. Belum pernah dia melihat suaminya begitu. Halim masih ketara benar tidak keruan. 

"Halim, mak baru sampai ni. Kamu kenapa? dah bertahun mak telefon kamu. Kamu asyik pindah nombor telefon, asyik pindah rumah. Mak ni rindu" kata Mak Jah pula sambil menahan sendu. Rindunya pada anak lelakinya sudah tidak dapat dibendung. Mahu saja dia memeluk Halim tetapi Halim bagaikan tidak sudi dengan sekujur tubuh tua yang pernah mengandungkannya suatu ketika dulu itu.

"Sayang, dengar aja lah cakap abang. Abang pergi dulu" kata Halim sambil berlalu pergi. Dicapainya beg guni yang disimpan dibawah pohon kelapa pandan, lalu melompat ke dalam perahu dan mendayung pergi. 

Kalsum memujuk mertuanya yang sudah mula menangis. Dibawanya Mak Jah naik kerumah. 

"Apa salah mak ni, Sum? anak mak macam tak suka kat mak. Dah bertahun, Sum. Bertahun Pak Su kamu mencari. Bertahun Halim pergi dari mak. Mak rindu... hari ni dah jumpa, peluk mak pun Halim tak sudi.." berderai air mata Mak Jah membasahi wajah senja yang tersirat derita. Kalsum memeluknya. Sedih dengan perlakuan suami sendiri tetapi tidak dikeluarkan. Nanti ibarat mencalit garam pada luka mertuanya lagi. 

"Sudahlah mak. Kalsum ada. Elok juga mak disini. Sekurang-kurangnya Kalsum ada jagakan mak. Nanti abang Halim baliklah tu. Mungkin abang Halim susah hati sebab dah berapa hari dia tak menebang kayu. Tiada permintaan dari tauke. Bukan sebab mak" rendah nada suara Kalsum menerangkan. Cuba berfikir positif. 

"Tapi Sum..."

"Takpa. Kita tunggu abang Halim balik, mak. Hmm.. Kalsum ada masak sayur peria sumbat kegemaran mak. Ikan masak singgang dengan ulam pun ada. Mak makan dengan Kalsum ya?" 

Mak Jah mengangguk perlahan. Kalsum tersenyum, berlalu ke dapur dengan perutnya yang memboyot. Dipanaskan lauk yang ada, sambil tangannya ligat membuat sambal belacan. Kalsum membawa hidangan tersebut masuk ke ruangan sekangkang kera tempat Mak Jah sedang duduk sambil termenung jauh. Sesekali dia mengusap matanya. 

JANGAN GANGGU AKUWhere stories live. Discover now