"ASSALAMMUALAIKUM! Cinta...ooo Cinta. Cinta, aku ada hal nak bincang ni...boleh tak?"
Laungan dari halaman rumah memecahkan kesunyian kawasan banglo dua tingkat milik Datuk Kamarul. Cinta Hartina, anak gadis sunti Datuk Kamarul yang bakal menduduki SPM pada tahun itu begitu mengenali suara tersebut. Laju sahaja dia mengenakan selipar getahnya, hampir terlanggar bibik yang menatang dulang berisi dua cawan air oren Sunquick dan kuih pelita di dalam bekas kaca. Cinta terpempan seketika.
"Neng Cinta, itu temannya udah menunggu di luar dari tadi. Mau bawa masuk ke dalam rumah atau neng pilih minum di halaman?" tanya bibik yang berusia lewat 30-an itu.
"Tak apalah, bik. Di halaman saja. Ada benda perlu dibincangkan ni jadi situ pun best juga" balas Cinta. Bibik mengangguk faham, kemudian berjalan menuju ke suatu sudut yang menghala ke arah halaman cantik banglo itu untuk meletakkan isi dulangnya tadi. Dia kemudiannya mempersilakan tetamu itu minum sebelum berlalu pergi untuk meneruskan kerjanya.
Cinta mencapai sebuah buku nota kecil dari atas para berdekatan almari barangan antik papanya. Dia tersenyum sendirian, sambil melangkah keluar ke arah halaman. Di situ, seorang gadis berbaju labuh dan bershawl coklat gelap sepadan, Syakila, sudah menunggu dengan wajah kemerahan akibat berpeluh. Dilihatnya sahabat baiknya itu berkipas-kipas dengan tangannya walaupun angin bertiup dengan nyaman di halaman rumah tersebut. Sesekali gadis itu meneguk sedikit jus yang dihidangkan kepadanya."Huh... Cinta, basi aku tunggu kau dari tadi. Kenapa kau tak datang ke sekolah? Cikgu Khairul asyik tanya aku aje mentang-mentanglah rumah aku tu menghadap satu-satunya jalan yang kau pakai hari-hari nak pergi ber-huha-huha" Syakila menjuihkan bibirnya. Dia meletakkan cawan berisi jus berdekatan dengan buku notanya di atas meja berwarna putih halaman rumah tersebut.
Cinta tergelak besar.
"Ehh dia ketawa pulak. Betul ni. Berbuih mulut aku terangkan kat dia, yang aku tak tau. Boleh dikatanya aku ni tak peka langsung, tak ingat kawan lah. Ingat aku ni CCTV ke? kau tengok muka aku. Ada rupa CCTV?" katanya lagi sambil menuding jari telunjuk ke arah mukanya. Mata Syakila membulat. Cinta masih ketawa.
"Ila, aku terlewat bangun. Kau pun tahu, Papa aku tiada dirumah sejak semalam" Cinta menghulurkan kuih pelita yang dihidangkan oleh bibik tadi kepada Syakila. Syakila mengambil kuih tersebut dari tangan Cinta.
"Emm... kau berjaga lagi?" tanya Syakila. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Cinta. Tangannya menjungkit isi kuih pelita dengan sudu kecil yang memang tersedia disitu, lalu menyuapkan kuih tersebut ke dalam mulutnya. Cinta tersenyum manis.
"Betul. Aku nak siapkan projek lukisan aku, tapi entahlah... aku rasa semenjak kebelakangan ni aku tak boleh melukis benda lain. Aku asyik teringat kat sesuatu"
Syakila memerhatikan wajah Cinta. Lama betul ditenungnya sahabatnya itu.
"Kau ni, dah macam orang angau. Aku tak marah pun kau nak buat aktiviti kau. Biar aku teka, kau dengan Hazrie dah kapel eh? tu muka kau merah-merah" usik Syakila. Cinta terpinga-pinga.
"Eh? mana ada! Hazrie tu playboy la, Ila. Aku tak suka dia. Lagipun, kita kan dah nak SPM. Hal hati semua ni, aku rasa belum masanya lagi untuk aku. Ya lah, muda lagi. Banyak yang kita perlu pelajari. Habis kau tu? apa cerita dengan crush kau sir Edmund?"
Syakila tersengih-sengih. Edmund Wong, cikgu bahasa Inggeris yang kacak, peramah dan mempunyai susuk badan atlet renang di sekolah mereka segera membayangi matanya. Cinta menongkat dagu dengan tangannya.
"Someone is in love..." usiknya. Muka Syakila berubah kemerahan.
"Eh, speaking of him... aku kemari pun sebab sir yang minta. Cinta, sir nak aku bincang dengan kau fasal pementasan drama untuk Interschool English Competition bulan depan. Sir nak aku tanyakan, kau boleh sediakan prop pementasan tak?"