Suara seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menangis di tepi sungai memecah keheningan petang hari di Kampung Kuala Dungun. Sesekali kelihatan kanak-kanak itu mengelap air mata dengan gaun paras lutut lusuh yang dipakainya ketika itu. Tangisnya menenggelamkan bait-bait perkataan yang diucapkannya. Keadaan itu diperhatikan oleh seorang lelaki tua bermisai agak keputihan. Dia berjalan perlahan-lahan mendekati budak perempuan itu sambil membawa baldi berisi pancing- pancing yang tersusun rapi dan ikan segar.
"Ina, kenapa duduk kat sini ni? dah petang ni, nak. Baliklah kerumah dulu" pujuknya sambil mengusap-usap kepala budak perempuan yang bernama Ina tersebut.
"Tak nak!" balas budak itu kemudian tangisannya mendayu-dayu semula. Lelaki tua itu menggaru kepala.
"Kenapa tak nak?" tanyanya lagi walaupun dia sudah dapat mengagak jawapan yang akan diberikan kepadanya.
"Umi jahat! Umi tak sayang Ina!" keras suara budak perempuan itu menjawab dalam tangisnya. Lelaki tua itu mengusap air mata budak perempuan yang berusia tujuh tahun tersebut.
"Ina, kalau Ina begini umi tambah sedih tahu? apa yang umi buat?" pujuk lelaki tua itu lagi.
Ina mengambil masa untuk cuba menghentikan tangisnya. Lelaki tua itu setia menanti jawapan yang diberi.
"Umi marah Ina. Umi minta Ina jagakan adik. Ina nak pergi sekolah, umi tak benarkan. Umi pukul Ina kalau adik nangis" jawab Ina sambil tersedu-sedu. Lelaki tua itu cuma menggelengkan kepala. Simpati dengan nasib budak yang berada di sisinya.
"Ni... biar tok bawa kamu balik ke rumah. Umi dah tak marah lagi tu. Mari. Kalau umi marah nanti tok cakap dengan umi. Nak?" pujuk lelaki tua itu lagi.
"Betul, Tok Ngah?" tanya Ina. Matanya yang bengkak memandang tepat ke arah lelaki tua yang dipanggilnya Tok Ngah itu.
"Betul"
Ina melompat girang. Mereka berjalan pulang menyelusuri denai sepanjang tepi sungai. Angin petang menghembus perlahan membawa suara seorang wanita yang memanggil nama anaknya.
"INAA! INAAAAA!!"
Membulat mata Ina mendengar namanya dipanggil berulang kali. Dia menggenggam tangan Tok Ngah.
"Jangan takut. Tok Ngah ada. Mari" orang tua itu menariknya perlahan mendekati sebuah rumah kecil di tepi dusun buah tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Seorang wanita yang memakai t-shirt dan berkain sarung sedang menunggu di hadapan pintu rumah sambil bercekak pinggang.
"Assalammualaikum" Tok Ngah memberi salam. Ina cuba bersembunyi di belakang Tok Ngah. Tidak berani memandang uminya.
"Waalaikumsalam" jawab wanita yang masih memandang anak kecilnya. Sinar kemarahan masih terpancar dari mata redupnya. Tangannya sudah dijatuhkan dari bahagian pinggangnya.
"Rokiah... ini... anak kamu ni aku jumpa tadi. Jadi aku hantarlah balik kemari. Tak elok biarkan budak ni berjalan seorang diri. Kamu pun tahu kan kawasan berdekatan dengan sungai tu?" kata Tok Ngah sambil mengusap-usap rambut Ina yang masih berdiri di sisinya.
Rokiah mengangguk perlahan. Dia tidak mahu berbalah dengan pak ciknya itu, satu-satunya saudara yang dia ada selepas ibu bapanya pergi. Tok Ngah orang yang dihormatinya sama seperti bapanya sendiri.
"Ina, mari naik. Tok Ngah penat tu. Pak Ngah tak mahu minum dulu ke?" pelawanya.
"Lain kalilah. Mak Ngah kamu sibuk nak menyuruh pulang awal hari ni. Kalsum balik dengan suaminya, jadi katanya nak ikan segar untuk dibuat lauk malam nanti" balas Tok Ngah sambil melepaskan Ina pergi. Budak perempuan itu berjalan perlahan-lahan. Sesekali dia menoleh ke arah Tok Ngah, berharap agar dia tidak perlu pergi dekat ke arah uminya.